Komunikasi berasal
daripada perkataan Latin ‘Communiatus’
yang bermaksud berkongsi sesuatu. Keadaan ini menjelaskan seseorang itu sedang
berusaha berkongsi idea atau maklumat dengan individu lain. Komunikasi juga
turut ditakrifkan sebagai “seni
memindahkan maklumat, idea dan sikap daripada seseorang kepada seseorang”
(Emery, Ault & Agee, 1965) (dalam Hassan Awang Mat). Komunikasi juga
dikatakan sebagai satu proses ke arah mewujudkan kesamaan dan berkongsi
maklumat sama ada secara lisan atau sebaliknya dan mencipta makna terhadap
maklumat itu (Siti Zobidah Omar & Romaiza Bidin, 2001).
Komunikasi turut disifatkan sebagai
satu keperluan yang amat penting dan berguna kepada manusia. Dalam kehidupan
seharian, kita memerlukan bantuan daripada individu-individu lain. Justeru, proses saling bergantung tersebut
diuruskan melalui komunikasi dengan orang lain. Oleh itu, komunikasi mempunyai
maksud yang luas dalam proses perkongsian makna, penyaluran dan penerimaan maklumat
dalam kalangan individu.
Tuan
Yacob (1998), menyatakan komunikasi sebagai informatif, iaitu seseorang
individu itu mengerti dan mengetahui, dan juga sebagai persuatif, iaitu agar
seseorang individu itu bersedia menerima sesuatu perubahan atau keyakinan untuk
melakukan sesuatu perbuatan atau kegiatan. Pada hemat saya, komunikasi adalah
alat dan sumber kepada manusia untuk terus berhubung dengan orang lain. Di
samping itu, komunikasi turut penting dalam sesebuah organisasi sekolah ke
mencapai matlamat bersama yang telah dirancang.
A.L.Ramaiah
(1999), turut menyatakan bahawa komunikasi adalah satu proses antara
perseorangan yang melibatkan pertukaran idea, maklumat dan pendapat ataupun
melibatkan penghantaran dan penerimaan simbol yang bermakna. Harold Koontz
& Heinz Weihrich (1997), mendefinisikan komunikasi sebagai pemindahan
maklumat daripada pengirim kepada penerima supaya maklumat dapat difahami oleh
si penerima. Di samping itu, Fred C. Luneberg (1995), menyatakan komunikasi
adalah proses pemindahan maklumat dan pemahaman daripada seseorang kepada orang
lain. Oleh itu, komunikasi adalah satu fenomena yang kompleks (Jaafar Muhamad,1999). Menurut beliau
lagi, komunikasi adalah satu proses pertukaran
dan pemindahan maklumat serta mesej dari sesuatu sistem yang dibentuk,
dipertahankan, diubahsuai dan dilaksanakan menurut kehendak dan penyesuaian
seseorang kepada satu arah pencapaian matlamat yang telah ditetapkan bersama.
Proses pertukaran boleh dilakukan melalui media massa, peralatan perantaraan
dan isyarat formal dan tidak formal yang digunakan dalam organisasi.
Dengan
perkataan lain, komunikasi boleh dirumuskan sebagai satu proses
penyampaian dan perkongsian maklumat
dari pihak sumber atau pengirim kepada pihak penerima. Proses komunikasi
berlaku secara berterusan. Kebiasaannya, reaksi penerima merupakan kayu ukur
utama untuk menentukan sama ada sesuatu komunikasi itu efektif atau sebaliknya.
Konsep ‘Keperluan’ Dalam Komunikasi
‘Keperluan’ dalam
proses komunikasi ialah tahap kepentingan komunikasi terhadap manusia. Dalam
hal ini, ianya dianggap satu yang amat penting dalam hidup kita. Ianya
setanding dengan keperluan asas lain seperti makanan, pakaian dan tempat
tinggal. Memandangkan alam dunia adalah nyata, jadi keperluan komunikasi
bersifat realiti dalam semua aspek kehidupan.
Kita sebenarnya dapat berhubung bagi hampir semua tujuan seperti pendidikan,
perubatan, perhubungan, politik, dan perniagaan. Dalam proses kita
bertukar-tukar pengalaman dan
pengetahuan dengan orang lain, kita mencipta makna antara diri kita
dengan orang lain (Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 2002).
Bagi memenuhi proses komunikasi yang
proaktif dan positif, kita harus mempunyai kemahiran supaya mesej dan maklumat
yang disampaikan bermakna. Menurut Abdullah Hassan & Ainon Mohd (2002),
kebolehan berkomunikasi sangat mempengaruhi sikap, nilai dan kepercayaan orang
lain kepada kita. Melalui komunikasi kita dengan orang lain, kita turut dapat
mengenali siapa diri kita berhubung dengan keistimewaan dan kelemahan diri
kita. Kita juga mengetahui sama ada orang lain
memuja kita atau sebaliknya. Justeru, kepandaian berkomunikasi turut
mempengaruhi hubungan kita dengan masyarakat.
Fungsi Komunikasi
Komunikasi
yang dilakukan oleh manusia setiap masa mempunyai fungsi yang tertentu.
Antaranya ialah:-
(i)
Fungsi
Memberitahu
Fungsi
ini adalah fungsi terawal yang digunakan oleh manusia dengan tujuan untuk
memberitahu tentang sesuatu perkara yang dirasakan oleh penyampai perlu
diketahui oleh orang lain. Fungsi memberitahu ini menumpukan perhatiannya
kepada penyampai atau sumber maklumat. Tujuan penyampai adalah untuk
memberitahu apakah reaksi daripada mereka yang menerima maklumatnya tidak
begitu dipentingkan. Untuk memastikan komunikasinya berjaya, komunikator yang
menjalankan fungsi ini seringkali mengunakan strategi seperti menyebarkan
maklumat sebanyak mungkin atau menyampaikannya dengan lebih kerap. Menurut
Adler, Rosenfeld & Towend (1999), mendefinisikan komunikasi sebagai proses
transaksi yang berterusan untuk
mewujudkan hubungan melalui pertukaran mesej.
(ii)
Fungsi
Mendidik
Fungsi ni dianggap popular kerana bertujuan
untuk mempengaruhi sikap atau tingkah laku orang lain. Di samping memberitahu
maklumat, komunikasi bentuk ini dapat menambahkan pengetahuan tentang sesuatu
perkara atau bidang. Fungsi ini mementingkan kedua-dua pihak penyampai dan
penerima maklumat memastikan fungsi mendidik tersebut dicapai. Kejayaan fungsi
ini bergantung kepada sejauh mana seseorang itu merasai pengetahuannya
bertambah hasil daripada pendedahan terhadap maklumat yang diterimanya.
(iii)
Fungsi
Membujuk
Cara
ini adalah bertujuan untuk mengubah sikap dan tingkah laku orang lain. Untuk
mendapat kesan ini, pengguna tidak terhad kepada penyebaran maklumat tetapi
mestilah dapat menembusi
perasaan dan emosi individu atau kumpulan yang menjadi sasaran maklumat
itu. Ada kalanya fakta dan maklumat yang disampaikan kepada kita tidak tepat
atau disengaja diputarbelitkan, misalanya iklan dalam rancangan televisyen
dengan tujuan untuk mempengaruhi dan mengubah sikap atau tingkah laku manusia
di samping membuat rayuan emosi kita.
Komunikasi dan Sekolah
Sekolah
merupakan sebuah organisasi pendidikan yang diselenggarakan oleh golongan
pendidik yang berinteraksi melalui suatu proses berstruktur untuk mencapai
hasrat dan Falsafah Pendidikan Negara. Pendidikan dapat menghasilkan individu
yang akan menikmati gaya hidup lebih selesa dan memuaskan. Ini hanya akan dapat
diperoleh sekiranya sesebuah sekolah atau organisasi itu diuruskan dengan baik
(Azizi Hj Yahya, et al, 2008). Hubungan manusia amat penting bagi menjamin
kestabilan dan keharmonian sesuatu sistem pendidikan. Justeru, aspek komunikasi
yang berkesan adalah amat penting di sekolah.
Dalam konteks sekolah, aspek
komunikasi bukan sahaja penting untuk kemajuannya sebagai sebuah organisasi
malah turut menyumbang ke arah pembangunan mapan sesebuah sekolah. Selaras
dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) hari ini, asas
teknikal dalam organisasi yang melibatkan komunikasi adalah hal yang berkaitan
dengan menstrukturkan data dan proses pengantaraan menjadikan sistem maklumat
berhubungan antara satu dengan yang lain seterusnya memaksimumkan organisasi.
Dalam peringkat pengurusan sekolah para murid, guru dan pengurusan memainkan
peranan penting bagi menghubungkaitkan komunikasi yang baik dan berkesan.
Pendidikan era ini mencetuskan reformasi baru lebih dinamik dan interaktif
dengan penggunaan teknologi multimedia interaktif dalam proses pengajaran dan
pembelajaran, penggunaan masa pernbelajaran, penilaian pencapaian murid,
peranan guru, peranan murid dan pengurusan pendidikan. Pendek kata, kemudahan
teknologi terkini, wajib digunakan secara optimum dapat meningkatkan kualiti
pendidikan sesuai dengan keperluan abad ke-21(Nik Azis Nik Pa,1997). Usaha ini
adalah sebahagian daripada bidang komunikasi dalam pendidikan yang berteraskan
kemajuan dunia hari ini.
Aplikasi ICT yang diperluaskan di sekolah merupakan fokus utama
pembestarian terutama dari segi pengajaran dan pembelajaran. Menurut Abd. Rahim
(2005) sistem pengurusan pembelajaran dan peranan guru sudah tentu akan
memberikan cabaran baharu menjelang abad ke-21. Membentuk generasi yang celik
computer dapat merealisasikan dasar dan matlamat Negara bagi menjadikan
Malaysia sebuah Negara maju dalam bidang ini. Aspek komunikasi yang systematik
dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan kepada penggunaan
internet, ‘website’, ‘online’, ‘e-mel’
dan pendekatan dan kaedah lain berasakan
komputer merupakan elemen penting dalam organisasi sekolah.
Selaras dengan sekolah sebagai sebuah organisasi bagi melahirkan tenaga
mahir yang diperlukan negara maka matlamat membentuk sumber manusia yang
beriwibawa dan produktif serta berpengetahuan harus dimulai dengan aspek
komunikasi yang berkesan. Cabaran profesion keguruan bagi membentuk warganegara
Malaysia yang berdaya maju ini juga harus disesuaikan dengan kualiti pendidikan
yang ada. Kecekapan sekolah dalam menentukan semua ini memungkinkan setiap
warganegara berupaya menerima dan menyampaikan komunikasi pada tahap yang
tinggi dan baik juga.
Dalam menjayakan komunikasi di sekolah, banyak kajian telah dibuat oleh
para pengkaji. Misalnya, Eisenberg et.al, (1983) menjalankan kajian yang
berkaitan dengan komunikasi, lebih-lebih lagi tentang komunikasi ke atas
berbanding dengan komunikasi ke bawah dan komunikasi mendatar bagi memberi
maklum balas kepada pihak pengurusan untuk menjayakan organisasi. Pendapat umum
mengatakan aspek komunikasi penting di antara pihak pengurus dan anggota
bawahannya dapat melahirkan kepuasan kerja. Dalam hubungan Pengetua atau Guru
Besar di sekolah dengan guru-gurunya harus melibatkan aspek komunikasi yang
yang baik dan berkesan dalam mewujudkan iklim sekolah yang kondusif. Komunikasi
yang baik dan berkesan akan meningkatkan prestasi sekolah secara
keseluruhannya.
Seterusnya,
terdapat tiga bentuk komunikasi yang lazimnya terdapat di sekolah. Pertama;
komunikasi ke bawah yang merujuk kepada arahan atau maklumat daripada
Kementerian Pelajaran kepada pejabat
pelajaran dan sekolah melalui surat pekeliling, nota, surat atau minit
mesyuarat. Kedua; komunikasi ke atas, di mana memungkinkan maklumat yang
disampaikan oleh sekolah-sekolah kepada pejabat pelajaran, jabatan dan
seterusnya ke kementerian. Ketiga; komunikasi mendatar yang memperlihatkan
hubungan antara kakitangan melalui surat menyurat, mesyuarat, perhubungan
sosial dan sebagainya. Lazimnya, semua kakitangan dapat berbincang dan
bertukar-tukar idea di samping mengeratkan hubungan siratulrahim dalam kalangan
mereka.
Pengetua atau Guru Besar sebagai
pemimpin di sekolah banyak bergantung kepada aspek komunikasi bagi membawa misi
untuk kejayaan sekolahnya. Gaya kepimpinan pengetua yang pelbagai menjurus
kepada corak komunikasinya sama ada bersifat 'laissez-faire', demokratik, ataupun autokratik. Komunikasi ialah
sebahagian yang amat penting dalam sesebuah organisasi sekolah. Kecekapan dan
kejayaan sekolah bergantung kepada sistem komunikasi yang digunakannya oleh
mereka. Dalam sistem komunikasi terdapat banyak halangannya. Sebagai seseorang
Pengetua atau Guru Besar yang efisien, beliau dapat mengesan halangan-halangan
tersebut dan memperbaiki sistem
perhubungan di sekolahnya. Pendapat ini dapat disokong dengan hujah Tunku
Ismail bin Tunku Md Jewa (1978), ‘The key
to the success of the large school depended on good internal and external
communication and it was the duty of the principal to keep them in order. In
addition to the formal pattern of communication, the informal communication
among the staff was also important'.
Antara lain, aspek komunikasi di
sekolah mempunyai struktur tersendiri dan menghubungkaitkan setiap jawatan dan
kakitangan tertentu dengan matlamat organisasinya. Struktur yang digunakan
adalah seperti carta organisasi dan panduan-panduan tugas kerana ia mengandungi
maklumat tertentu tentang matlamat, kakitangan, aktiviti-aktiviti dan hubungan
setiap satu dengan yang lain. Justeru itu, untuk menjadikan sesebuah sekolah
lebih cekap dan efektif, aspek komunikasi yang betul dan berkesan wajar
digunakan.
Menurut Yauch (1949) dalam Azizi Hj Yahya et. al, (2008),
prinsip-prinsip am untuk mengurus sesebuah sekolah selaras dengan komunikasi
yang berkesan adalah seperti berikut : [1]. Amalan demokrasi merupakan
perhatian utama, jadi pertimbangan penting yang pengetua perlu lakukan ialah
untuk mengurus guru secara individu dan kolektif; [2]. Masalah manusia yang
dianggap kecil selalunya memerlukan perhatian dan pertimbangan yang luas; [3].
Pengetua hendaklah mengamalkan ciri-ciri kepimpinan Demokratik; [4]. Kakitangan
pengajaran yang profesional adalah kumpulan sosial yang kompleks dan memerlukan
pakar untuk memenuhi keperluan dan keinginan mereka; [5]. Pengetua
bertanggungjawab untuk memudahkan interaksi antara kakitangan, dan [6]. Kesemua
individu yang terlibat dalam sebarang keputusan hendaklah diberikan peluang
menentukannya.
Daripada perspektif lain, aspek komunikasi di sekolah dapat dilihat dari
segi tugas guru yang mengajar di sekolah. Guru-guru yang dilatih di institusi
keguruan ataupun universiti dituntut supaya mengamalkan budaya komunikasi yang
baik serta berkesan selaras dengan prosedur perkhidmatan mereka. fokus
komunikasi para guru lazimnya ditunjukkan melalui kepimpinan akademik dan
tanggungjawab mereka yang luas kepada murid. Menurut Abd Rahim (2005) tahap
komunikasi yang baik para guru diserasikan dengan pencapaian suatu standard
yang telah ditentukan dan dikehendaki oleh institusi yang mengiktiraf seperti
pihak berkuasa yang bertanggungjawab dengan profesion keguruan. Para guru wajar
mempunyai hubungan yang baik dan akrab dengan murid mereka agar satu komunikasi
yang berkesan dapat dilahirkan.
Komunikasi yang melibatkan murid dengan murid turut berlaku dalam
konteks organisasi sekolah. Perhubungan ini dapat dikesan dalam proses
pembelajaran di bilik darjah, penglibatan dalam aktiviti ko-kurikulum dan
sebagainya. Kebanyakan komunikasi yang berlaku bersifat tidak terancang dan
kurang formal. Pengalaman ini amat bermakna kerana boleh mewujudkan suasana
pergaulan yang mesra dalam kalangan mereka di sekolah. Bagi guru, tugas mereka
sebagai pemimpin dapat digembleng dengan
menggalakkan hubungan baik antara murid-murid mereka kerana ini bakal
memudahkan tugas guru mendapatkan kerjasama dan sokongan daripada guru-guru
lain, murid dan pihak lain. Mewujudkan hubungan yang harmoni dan mesra dalam
organisasi sekolah amat penting bagi mendorong kejayaan dan kecemerlangan
pendidikan (Abd Rahim, 2005).
Tidak kurang pentingnya hubungan organisasi sekolah dengan masyarakat
luar. Hubungan sekolah dengan masyarakat luar terutamanya dengan ibu bapa adalah
amat penting sekali. Sekolah yang berkesan adalah sekolah yang mementingkan
perhubungan sihat dengan pihak luar. Pihak pengurusan sekolah seharusnya pandai
membuat hubungan dengan komuniti di persekitaran sekolah terutamanya masyarakat
di luar agar masalah-masalah di sekolah yang berkaitan dengan disiplin,
pelajaran, aktiviti sekolah dan kewangan sekolah dapat ditangani bersama,
contohnya melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Persatuan Bekas-Bekas
Pelajar (ALUMNI). Keadaan ini memperlihatkan satu bentuk komunikasi yang
berkesan di sekolah pada hari ini.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, dapatlah dikatakan bahawa aspek komuniasi yang baik dan berkesan sangat
penting bagi organisasi sekolah. Bidang komunikasi yang begitu luas dan
mencabar sangat berguna kepada kehidupan kita sebagai anggota masyarakat moden
hari ini. Aspek komunikasi bukan sekadar satu ‘keperluan’ malah bertunjangkan
fokus komunikasi yang memberitahu, mendidik dan membujuk dalam konteks
masyarakat global. Idea ini diterjemahkan dengan lebih lanjut melalui sekolah
sebagai organisasi yang penting di samping menjadi agen perubahan sosial yang
utama di negara ini. Dengan perkembangan ICT hari ini, idea dan matlamat
komunisasi di sekolah semakin penting dan mencabar, khususnya dalam mendidik
anak bangsa Malaysia yang cerdik, berkemahiran serta berdaya saing di peringkat
global. Maka tugas dan peranan pihak pengurusan, guru dan sekolah itu sendiri
sangat penting dan amat diharapkan.
hi
ReplyDelete