Translate

Thursday, 15 August 2013

Strategi Pembelajaran


Strategi pengajaran adalah merujuk kepada cara-cara bagaimana guru mengendalikan sesuatu aktiviti pembelajaran dengan sistematik dan bukan dengan cara cuba jaya. Ia merupakan tindakan-tindakan spesifik yang dilakukan dengan sengaja oleh guru untuk mencapai matlamat-matlamat khusus dalam proses pembelajaran. Guru memerlukan kemahiran untuk merancang dan menguruskan kaedah dan teknik pengajaran supaya dapat disampaikan kepada murid-murid untuk memperolehi hasil pembelajaran maksimum. Aspek-aspek yang perlu diambil kira oleh guru semasa menentukan strategi pengajaran yang sesuai ialah objektif pengajaran, proses pengajaran, isi kandungan, persediaan dan kebolehan mengajar, gaya peribadi pengajaran dan persekitaran di dalam bilik darjah.

             Antara contoh-contoh strategi pengajaran ialah strategi pemusatan guru, strategi pemusatan murid, strategi pemusatan bahan dan strategi berasaskan tugasan. Dari segi strategi pemusatan guru, ia dikenali sebagai eksplisit. Ia merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah lama diamalkan di dalam bilik darjah. Strategi pemusatan guru ini meletakkan guru ditengah-tengah aktiviti bilik darjah. Dalam strategi ini, guru perlu menguasai dan mengawal segala aktiviti pembelajaran. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru memainkan peranan yang penting sedangkan murid hanya berperanan sebagai penonton sahaja. Bentuk komunikasi dan interaksi diantara guru dan murid adalah sehala. Guru banyak bercakap dan murid banyak mendengar. Ciri kepimpinan guru juga bersifat autokratik. Murid-murid tidak berpeluang menyumbangkan pendapat mereka. Guru yang banyak bertindak dan memberi arahan. Strategi pengajaran dan pembelajaran pula lebih mengutamakan pencapaian objektif pengajaran guru. Penyebaran ilmu pengetahuan lebih diutamakan daripada penyebaran nilai-nilai murni dan perkembangan emosi oleh guru.

            Strategi ini mementingkan pencapaian murid-murid berdasarkan keputusan ujian dan peperiksaan. Teknik guru mengajar adalah tertumpu kepada penyampaian fakta-fakta. Pembelajaran murid banyak berbentuk mengingat dan menghafal. Justeru itu, murid kurang berupaya membuat interpretasi. Interaksi diantara murid juga pasif dan sifat-sifat social positif kurang dipupuk. Strategi ini mementingkan pengolahan kaedah keseluruhan kelas. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat tidak diberi perhatian oleh guru. Akibatnya, dibawah strategi ini, murid-murid menjadi kurang kreatif dan berinisiatif. Strategi ini menggunakan persembahan bahan dalam langkah-langkah kecil dan sistematik dengan hentian untuk menyemak pemahaman murid. Strategi pemusatan guru mengandungi pengajaran yang mempunyai langkah-langkah kecil yang menegaskan latihan amali murid selepas setiap langkah. Peranan guru ialah menyampaikan bahan, membimbing murid pada sesi awal latihan amali dan membekalkan setiap murid dengan amali yang lebih tinggi dan kerap.
             Strategi pemusatan murid pula menunjukkan murid memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti ini menjadikan murid sebagai fokus utama dalam proses pembelajaran. Murid-murid digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah kumpulan, inkuiri penemuan, perbincangan, penyoalan, penyelesaian masalah, bermain, simulasi dan lain-lain. Strategi ini mungkin lebih sesuai apabila maklumat tidak dapat disampaikan dengan berkesan melalui strategi pemusatan guru dan apabila matlamat pengajaran merangkumi kemahiran kreatif dan kritikal. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid memainkan peranan penting, sedangkan guru hanya sebagai pembimbing kepada murid. Komunikasi dan interaksi diantara guru dan murid adalah dua hala. Guru menggunakan kaedah menyoal dan membimbing murid supaya berfikir dan bertindakbalas memberi jawapan. Ciri kepimpinan guru bersifat demokratik dan murid sentiasa digalakkan memberikan pendapat mereka untuk mencapai objektif pembelajaran murid. Guru mengamanahkan tanggungjawab yang lebih kepada murid.
            Strategi ini lebih berkesan dalam mengembangkan kebolehan murid dalam mengaplikasikan konsep dan sikap positif, menggalakkan motivasi, mengembangkan penyuburan diri dan menggalakkan kemahiran sosial berkumpulan. Strategi ini menimbulkan dan mewujudkan persekitaran kelas yang membolehkan murid dapat berinteraksi dengan guru dan murid lain.
          Strategi pemusatan berasaskan bahan terbahagi kepada dua kategori iaitu bahan pengajaran dan bahan pembelajaran. Bahan-bahan yang digunakan adalah seperti carta, graf, peta, spesimen, model gambar, slaid video, perakam pita dan projektor. Bahan yang lebih canggih adalah pakej pembelajaran berasaskan komputer, CD ROM, komputer multimedia, caker padat interaktif, bahan daripada internet, persidangan tele dan persidangan video. Strategi ini memupuk sifat-sifat social yang positif khasnya apabila murid dan guru berkongsi sumber dan bahan. Murid akan mendapat pengalaman realistik kerana dapat melihat situasi sebenar atau bahan maujud dan konkrit serta boleh menjadikan proses pengajaran lebih bermakna. Interaksi yang berlaku dalam bilik darjah banyak hala iaitu antara guru dengan bahan, bahan dengan murid dan guru dengan murid dan bahan. Strategi ini mengutamakan kecekapan dan kemahiran murid dalam memanipulasikan pelbagai jenis bahan. Strategi ini sesuai digunakan guru kerana ia menekankan perkembangan jasmani, kognitif dan rohani murid. Pembelajaran berasaskan sumber sangat berguna dalam membantu guru menghadapi murid pelbagai keperluan serta menyediakan pelbagai wahana untuk murid belajar pada kadar masing-masing pada setiap masa dan tempat.
               Guru yang menggunakan strategi berasaskan tugasan melibatkan murid dalam aktiviti atau memberi peluang untuk mengamalkan dan mengaplikasikan apa yang sedang mereka belajar. Aktiviti atau tugasan tersebut membuka peluang kepada murid menerima bimbingan, pelbagai strategi mempermudahkan tugasan atau scaffolding bentuk lain yang diperlukan untuk membolehkan mereka melaksanakan tugasan dengan jaya. Aktiviti yang dipilih dengan bijak perlu disampaikan dengan berkesan, dipantau dan diteruskan sekiranya inginkan kesan maksimum. Justeru itu, guru perlu menyediakan murid dengan memberikan bimbingan dan maklum balas semasa aktiviti dan menstruktur refleksi pasca aktiviti selepas sesuatu aktiviti.
         Semasa memperkenalkan aktiviti, guru perlu menekankan tujuannya dengan cara yang boleh membantu murid melibatkan diri dalam aktiviti tersebut dengan idea yang jelas akan matlamat yang ingin dicapai. Kebanyakan tugasan bersama dengan murid akan memberi maklum balas tentang persembahan mereka dan mengukuhkan idea utama dengan mengaitkan kepada matlamat keseluruhan. Antara tugasan yang boleh diberikan ialah berlakon, menyanyi, membuat model, perbahasan dan perbincangan.

Strategi Pembelajaran
Guru digalakkan untuk menggunakan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran untuk mengoptimumkan pembelajaran. Strategi yang dicadangkan berasaskan pada satu kontinum dari pemusatan guru pemusatan murid. Strategi yang dipilih untuk pengajaran dan pembelajaran efektif mesti memenuhi keperluan pelajar dan ia sesuai dengan iklim sekolah. Antara jenis-jenis strategi bagi strategi pembelajaran ialah strategi direktif, strategi pemerhatian, strategi mediatif, strategi generatif, strategi kolaboratif, strategi “Outside-context” dan strategi metakognitif.
          Strategi direktif memerlukan murid belajar melalui penerangan tentang konsep atau kemahiran oleh guru dan kemudian diikuti oleh ujian kefahaman dan latihan dengan bimbingan guru. Contohnya adalah seperti melalui kuliah dan latih tubi. Strategi pemerhatian pula memerlukan murid belajar dengan memerhati perbuatan orang lain atau perlakuan sesuatu kemahiran. Antaranya adalah seperti demonstrasi  dan model.
Strategi mediatif ialah murid belajar melalui interaksi yang dirancang oleh guru untuk menolong murid. Pertama, ianya memerlukan murid belajar bagaimana untuk mengaplikasi pengetahuan untuk menyelesaikan masalah. Kedua, membuat keputusan. Ketiga, mengenalpasti andaian dan keempat, menilai kebenaran andaian, keputusan dan hipotesis. Contohnya ialah ‘dialectical reasoning’, ‘concept attainment’, ‘concept formation’, ‘inquiry training’ dan ‘open-ended discussion’.
         Strategi generatif pula menggalakkan murid menjana idea kreatif dan kritis. Ia membantu murid menyelesaikan masalah secara kreatif dengan menggunakan idea asli atau unik. Contohnya melalui sumbangsaran, peta minda, ‘synectics’, pemikiran lateral dan kreatif serta metafora.
Strategi kolaboratif pula memerlukan murid bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah iaitu melalui pembelajaran koperatif.
           Strategi ‘Outside-context’ ialah murid belajar melalui aktiviti yang berfokus dan intensif dalam satu tempoh masa melalui seminar, bengkel dan projek.
Strategi metakognitif pula memerlukan murid memikirkan tentang proses pembelajaran, rancangan pembelajaran, pemantauan dan penilaian kendiri. Antara contoh-contoh soalan yang boleh difikirkan adalah seperti:
*     Bagaimana saya boleh mempertingkatkan prestasi saya?
*     Apakah yang saya telah belajar?
*     Apakah bantuan yang saya perlukan?








No comments:

Post a Comment