Translate

Sunday, 30 November 2014

Empat Perubahan Teras Dalam Melaksanakan Sesebuah Kurikulum Baharu (Fullan et al., 1989)

Sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami beberapa anjakan paradigma dalam usaha menyampaikan maklumat daripada pengajar kepada murid. Sekolah merupakan salah satu agen penting dalam memartabatkan sistem pendidikan berkualiti kepada warga pelajar dan sekaligus dapat menonjolkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia di rantau ini. Pada umumnya konsep sekolah dewasa kini diperkenalkan untuk membolehkan murid menjadi lebih bermaklumat (informed), mempunyai ilmu pengetahuan (knowledge) yang mantap dan kukuh, lebih berfikir (thoughtful) untuk menggalakkan budaya berfikir secara kritis dan kreatif dan lebih aktif mencari dan menguji ilmu serta menjalankan penyelidikan. Kurikulum yang mantap dan bersepadu mampu membawa perubahan positif dalam sistem pendidikan di negara ini.

Dalam hal ini, kurikulum merupakan suatu elemen terpenting dalam sistem pendidikan negara. Ia merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang mencorakkan generasi akan datang. Bagi menjana suatu sistem pendidikan yang berkualiti, kurikulum itu sendiri perlu bersifat dinamik dan relevan dengan kehendak semasa mahupun keperluan masa akan datang. Kurikulum di Malaysia ditakrifkan sebagai suatu program pendidikan yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai kebudayaan serta kepercayaan untuk membantu perkembangan potensi seseorang murid secara seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS). Pernyataan kurikulum ini perlulah diterjemahkan melalui pelaksanaan aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah dan melalui proses pengajaran dan pembelajaran serta interaksi guru-pelajar di dalam dan luar bilik darjah.

Sejajar dengan pendapat Fullan et al. (1989) yang mengatakan bahawa sesebuah kurikulum baharu perlulah bersifat anovasi. Dalam hal ini, saya bersetuju dengan pendapat beliau bahawa perubahan dalam sesebuah kurikulum perlu disandarkan kepada peranan guru di sekolah. Perubahan ke arah inovasi dan pencapaian standard yang tinggi adalah perlu seiiringan dengan kemajuan dunia hari ini. Dalam melengkapkan usaha ini guru harus memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan sesuatu inovasi kurikulum. Tanpa penglibatan guru secara aktif, matlamat kurikulum yang dirancang sukar untuk dicapai. Komitmen guru untuk melaksanakan sesuatu inovasi di dalam dan luar bilik darjah banyak membantu dalam usaha melaksanakan sesebuah kurikulum baharu.

(a)       Dalam kumpulan kelas dan organisasi

Pada peringkat kumpulan kelas dan organisasi cabaran Malaysia menghadapi status negara membangun serta cabaran dan tekanan besar dalam mendepani persaingan abad ke-21 memang tidak dinafikan lagi. Menjelang tahun 2020, Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, iaitu mencapai kemajuan seimbang daripada segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan. Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara yang masyarakatnya bersatu padu dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, berpegang teguh kepada nilai agama, moral dan etika serta menikmati kehidupan yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, perkongsian ekonomi yang adil dan saksama, progresif dan makmur, serta menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamik, tangkas serta berdaya tahan. Perubahan pesat dunia hari ini menuntut Malaysia untuk segera berubah agar mampu melonjak ke tahap maju. Fasa tersebut juga telah mengetengahkan bidang pendidikan yang masih memerlukan penambah baikan dan perhatian khusus agar dapat melakukan lonjakan terakhir untuk mencapai status negara maju yang dicita-citakan dalam Wawasan 2020.

Pada peringkat negara, pendidikan yang berkualiti menjadi peneraju dalam membangunkan modal insan (human capital) yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian mulia. Sejajar dengan itu pendidikan negara perlulah ditingkatkan secara menyeluruh dan berterusan supaya selaras dengan misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu membangunkan satu sistem pendidikan bertaraf dunia. Hal ini digandingkan dengan inovasi teknologi yang menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan. Cabaran negara Malaysia waktu ini adalah untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi (knowledge economy) bagi menghadapi persaingan dengan negara lain. Ini menuntut negara Malaysia membangunkan sumber tenaga manusia yang berketerampilan tinggi dalam pelbagai bidang dan berdaya saing. Fokus kurikulum yang maju dan mapan menjadi hala tuju sistem pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menggubal misi pendidikan sebagai fokus yang ingin dicapai dalam mengangkat martabat Malaysia dalam dunia global. Seterusnya misi pendidikan negara Malaysia membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara Malaysia (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2008).

Di peringkat organisasi sekolah para guru merupakan kumpulan pelaksana proses kurikulum yang amat penting. Mereka merupakan pelaksanaan inovasi kurikulum yang berkesan di sekolah. Mereka harus dilengkapkan dengan aspek motivasi agar tugas sebagai pelaksanan kurikulum di sekolah menjadi signifikan dengan tingkah laku mereka dalam pelaksanaan inovasi dan tugas-tugas guru secara umumnya. Hargreaves (1994) dalam rumusan kajiannya mencadangkan sekiranya guru mempunyai tahap motivasi yang tinggi, hasil kerja mereka akan meningkat, pelaksanaan tugas menjadi cekap dan mereka bertindak balas secara berkesan dalam melakukan tugas-tugas yang diamanahkan. Keadaan ini mampu mencetuskan  perubahan baik dalam perlaksanaan kurikulum di sekolah. Manakala kunci mutakhir kejayaan sesuatu perubahan pendidikan dan kemajuan sekolah ialah guru (Fullan & Hargreaves, 1992; Fullan, 1993).

Selain itu, pihak pengurusan sekolah juga salah satu organisasi terpenting dalam menjayakan perlaksanaan inovasi sesebuah kurikulum baharu di sekolah. Mengikut Shahril (2000), pengetua sebagai agen perubahan bermaksud orang atau individu yang pertama atau utama yang membuat modifikasi dalam organisasi sekolah. Justeru itu, sebagai agen perubahan pengetua haruslah membuat penyesuaian serta perubahan dalam bidang tertentu agar ianya sesuai dengan perubahan persekitaran supaya sekolah sebagai sebuah institusi sosial dapat terus hidup dan berfungsi. Tugas ini harus digembleng bersama barisan pengurusan kurikulum sekolah agar selari dengan matlamat menjadikan sekolah sebagai agen perubahan.

Dengan kata lain kecemerlangan atau kejayaan sesebuah sekolah sebagai pelaksana kurikulum banyak dipengaruhi dan disebabkan oleh kepimpinan pengetua atau guru besar yang berkesan. Ini bermakna, pengetua atau guru besarlah yang dapat menggerakkan sekolah itu maju ke hadapan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kegiatan ko-kurikulum. Menurut Sweeney (1982), terdapat enam ciri kepemimpinan pengetua atau guru besar yang berkait dengan kepimpinan pengajaran di sekolah yang berkesan. Ciri-ciri pengetua atau guru besar itu ialah:
  1. Memberi penekanan terhadap pencapaian pelajar dalam bidang akademik;
  2. Menyusun dan menetapkan strategi pengajaran;
  3. Menyedia dan mengekalkan suasana yang kondusif di sekolah (Iklim sekolah);
  4. Kerap menilai pencapaian akademik pelajar;
  5. Menyelaras program pengajaran; dan
  6. Membantu dan memberi semangat kepada para guru.
(b)       Dalam bahan-bahan

Kurikulum yang digubal juga harus selari dengan bahan-bahan yang berkaitan bagi membolehkan murid-murid mencapai kemahiran dalam bidang komunikasi, bidang manusia dengan alam sekeliling dan perkembangan bidang diri individu yang sesuai dengan keperluan, minat, bakat dan kemampuan mental serta kesediaan para pelajar. Dalam hal ini, bahan-bahan adalah dirujuk sebagai bahan bantu mengajar yang  kreatif, cantik dan menarik.  Bahan bantu mengajar itu pula perlu diinovasikan. Fullan (1991) menyatakan komponen-komponen bahan-bahan adalah seperti berikut; (i) penggunaan bahan-bahan kurikulum yang disemak semula atau baharu atau berteknologi; (ii) penggunaan pendekatan baharu; dan (iii) pengubahsuaian kepercayaan, contohnya, andaian pedagogi dan teori berkenaan polisi baharu atau inovasi.

Inovasi bahan-bahan dalam sesebuah kurikulum lazimnya merujuk kepada pengenalan sesuatu yang baru atau memperbaharui sesuatu yang telah sedia ada dengan diberi wajah baru. Dalam dunia moden, perkembangan teknologi begitu pantas bergerak. Di sekolah peranan teknologi amat penting. Kegagalan pihak sekolah berkembang selaras dengan kemajuan teknologi akan menghalang kepada kecemerlangan pendidikan. Penggunaan alatan moden di sekolah seperti komputer, mesin dan jentera serta teknik-teknik baru dalam pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran akan membantu meningkatkan kecemerlangan sekolah. Perkembangan terkini dalam dunia pendidikan yang menekankan penggunaan multimedia seperti Sekolah Bestari mendesak supaya perubahan dilaksanakan di sekolah. Untuk melaksanakan perubahan ini sudah tentu memerlukan guru yang memiliki pengetahuan, kemahiran serta kuasa kepakaran (expertise power) yang tinggi bagi menjamin keberkesanan proses penyampaian kandungan pembelajaran.
(c)        Dalam amalan dan tingkah laku
Peranan guru dalam proses pengajaran di sekolah adalah amat penting. Seseorang guru yang baik perlu membina dan mengembangkan idealisme sosial dan moral yang boleh dihayati oleh para pelajarnya. Dalam perlaksanaan sesebuah kurikulum baharu yang mantap dan berkesan idealisme pengajaran guru mampu melakukan perubahan dan mencorakkan pembangunan manusia yang kukuh dari segi akhlak dan moral, insan yang berpengetahuan, berdaya maju dan dapat menghadapi cabaran. Pengajaran bukan setakat menyampaikan maklumat yang kaku dan beku, berguna atau tidak berguna, relevan atau tidak relevan tetapi yang lebih penting ialah membina dan mengembangkan idealisme hidup yang baik, berhemah dan mendorong seseorang menjadi manusia yang berjaya dan berjasa. Tugas ini memerlukan profesion keguruan menekankan idealisme pengajaran yang menarik minat, bersifat ‛inspiring’, idea baharu, kualiti intelektual, menerangi kejahilan, memberi iktibar, cabaran menghadapi masa hadapan, merealisasikan jati diri, keinsafan, persefahaman dan tingkah laku yang baik.
Ciri-ciri pengajaran yang berkesan akan membentuk suatu perspektif kerengka pengajaran bagi mencapai matlamat dan idealisme pengajaran seperti yang digariskan dalam sesuatu kurikulum. Bagi mencapai matlamat kurikulum, guru perlu mengembangkan ciri-ciri pengajaran yang berkesan di samping meningkatkan peranan mereka yang lebih positif bagi melaksanakan idealisme pengajaran dan pembelajaran. Peranan dan tugas guru sebagai pelaksana kurikulum amat bergantung kepada pengetahuan, kepakaran dan profesionalisme keguruan sepenuhnya.
(d)       Dalam kepercayaan dan persefahaman
Selanjutnya, dalam melaksanakan sesebuah kurikulum yang mantap dan berkesan sikap guru dikatakan menjadi asas pertimbangan oleh kebanyakan guru dalam menyaring dan mentafsirkan segala bentuk inovasi terutama berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Fenomena sikap guru tersebut menyatakan secara umumnya guru hanya akan menerima inovasi sekiranya perkara tersebut serasi dengan epistemologi sikap mereka (Richardson,1996). lni kerana guru-guru mempunyai sikap dan kepercayaan tersendiri terhadap amalan yang dilakukan dalam pengajaran dan pembelajaran. Aspek kepercayaan yang meletakkan pengetahuan dan kemahiran adalah penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan inovasi bagi sesuatu kurikulum. Penguasaan guru dalam aspek tersebut memandu mereka untuk melaksanakan tugas dengan berkesan.
Bagi aspek tumpuan bahawa seseorang guru mempunyai tahap tumpuan tertentu dalam melaksanakan proses pengajaran di sekolah. Namun setiap orang guru mempunyai aspek tumpuan yang berbeza-beza dalam menentukan kepercayaan menerima dan melaksanakan inovasi kurikulum. Dalam konteks ini, teori-teori yang berkaitan dengan aspek kepercayaan mengandaikan seseorang guru mempunyai tahap perkembangan diri yang berlainan dan perbezaan tersebut memberikan implikasi kepada kesediaan mereka melaksanakan inovasi itu sendiri (Fuller, 1975).
Berkenaan dengan aspek kepercayaan guru-guru mempunyai pelbagai aspek kepercayaan yang agak sukar diatasi kerana melibatkan psikologi dalaman guru, motivasi, sikap, persepsi, tanggapan, ‘world view’ serta pengalaman mereka. Reaksi guru-guru terhadap inovasi kurikulum, namun perubahan akan terus berlaku, malah sukar untuk dibendung. Namun sebagai seorang guru yang bertanggungjawab dan komited dalam merealisasikan matlamat kurikulum semestinya guru berpegang kepada etika dan norma profesion keguruan ke arah persefahaman yang jitu. Sifat mengawal tingkah laku, tindakan, amalan dan tanggungjawab, berhemah dan berkualiti, menjaga nama baik profesion dan sebagainya merupakan asas yang cukup penting dalam menjaga aspek kepercayaan dan persefahaman guru agar matlamat pendidikan negara tercapai.
Justeru itu, tahap inovasi kurikulum haruslah berhadapan dengan segala cabaran yang ada. Sekolah seharusnya mempunyai visi dan pandangan dunia tcrsendiri supaya dasar-dasar yang digubal mencapai sasarannya, Sekolah harus bersedia untuk berubah mengikut zaman. Trend perubahan di Malaysia yang cukup pesat sejak akhir-akhir ini semestinya akan berterusan. Malah mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan adalah agen tumbesaran generasi masa depan dengan tujuan mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk membentuk individu yang berkemampuan menangani cabaran globalisasi tetapi mengekalkan ciri-ciri ala Malaysia.












Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Bestari

Sekolah Bestari di Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh (systematically) dari proses pengajaran, pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu pelajar menghadapi cabaran zaman maklumat. Mulai tahun 1996, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menggubal konsep Sekolah Bestari berpusatkan pengajaran dan pembelajaran berpemikiran kritis dan kreatif. Penggunaan teknologi sebagai pengupaya atau pemboleh menjadi komponen penting dalam konsep Sekolah Bestari apabila projek ini diwujudkan sebagai satu daripada aplikasi perdana MSC.

Menurut Datuk Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Sekolah Bestari merupakan:

 “An exciting development of our education system is the creation of Smart
Schools. Smart schools are being planned in stages nationally, not only to
            meet the requirements of the Multimedia Super Corridor, but also to create
a new generation of Malaysians – Malaysians who are more creative and
innovative in their thinking, adopt with new technologies, and able to
access and manage completely the information explosion.
(Blueprint Projek Rintis Sekolah Bestari, 1998 dalam Sobariyah, 2006)

Dalam konteks pembelajaran bestari terdapat beberapa jenis strategi pengajaran  yang dikenal pasti iaitu Direktif (Directive), Pemerhatian (Observation), Mediatif (Mediative), Generatif (Generative), Koperatif dan Kolaboratif (Co-operative and Collaborative), Konteks Luar (Outside-Context) Metakognitif (Metacognitive), Kontektual (Contextual), Kajian Masa Depan (Futuristic Studies). Manakala strategi pembelajaran pula meliputi pembelajaran masteri (mastery learning), kadar kendiri (self-paced learning), akses kendiri (self-acces learning) dan terarah kendiri (self-directed learning).

Berdasarkan pernyataan tersebut, Sekolah Bestari di Malaysia bukan sahaja dikategorikan dengan pengenalan teknologi semata-mata (walaupun ia merupakan komponen yang kritikal) tetapi yang lebih pentingnya ialah kemampuan menyampaikan ilmu dengan cara yang lebih baik. Sekolah Bestari juga merujuk kepada peluang teknologi maklumat interaktif untuk memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran serta proses pengurusan. Bahagian ini selanjutnya akan membincangkan tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini yang sesuai dilaksanakan di sekolah-sekolah (Sobariyah, 2006). 

Dalam era globalisasi, sistem pendidikan mengkehendaki keperluan menyeluruh dan telah menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi berkesan. Persepsi dan pendekatan masa kini perlu diubah dari “belajar bersama ICT” kepada “belajar melalui ICT”. Keperluan golongan pelajar mempunyai asas kukuh dan pengetahuan luas dalam ICT adalah begitu mendesak. Justeru itu, penekanan terhadap integrasi ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran menjadi agenda utama kerajaan bagi memastikan ia dapat digerakkan pada setiap peringkat masyarakat.

Selain daripada pembangunan infrastruktur, pelaburan yang bukan sedikit turut dibuat untuk membangunkan perisian-perisian pembelajaran. Perkembangan terkini menyaksikan bermacam-macam penerbitan cakera padat untuk pelbagai mata pelajaran sama ada oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) atau Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), KPM yang diedarkan ke sekolahsekolah untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Persoalannya ialah apakah peranan penggunaan komputer dalam pendidikan, khususnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta apakah pula signifikannya dengan Sekolah Bestari. Menurut Fiske (1992) pembelajaran bestari haruslah menampilkan ciri-ciri yang fleksibel.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Perkins (1992) menegaskan bahawa pembelajaran bestari merupakan aktiviti-aktiviti pembelajaran berfokuskan pembinaan minda pelajar. Pengintergrasian teknologi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran berupaya meransang pemikiran pelajar berasaskan kepelbagaian sumber maklumat yang melampaui batasan bilik darjah. Penggunaan ICT seperti komputer, rangkaian jaringan setempat (LAN), jaringan kawasan luas (WAN), internet, dan pelbagai perisian multimedia berupaya mempertingkatkan kualiti pembelajaran ke arah akses kendiri (self-accessed), terarah (selfdirected), membuat penilaian kendiri (self-assessed), serta mengikut kadar pembelajaran individu (selfpaced). Semua keupayaan tersebut dapat mengoptimumkan proses pembelajaran berasaskan pendekatan berasaskan murid (Sobariyah, 2006).

Justeru, strategi pengajaran dan pembelajaran bestari bermatlamat untuk melahirkan insan berakhlak mulia dengan menekankan aspek pemupukan nilai dan pembinaan sikap serta sahsiah terpuji di kalangan pelajar. Unsur-unsur nilai dan moral merentas kurikulum diperteguhkan dalam iklim pembelajaran bestari dengan bimbingan dan panduan guru serta melalui interaksi sesama pelajar. Pembelajaran bestari dalam konteks pendidikan di Malaysia masih berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Individu yang dilahirkan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara sejajar dengan hasrat mencapai wawasan negara yang maju.

Kecerdasan Pelbagai


Gaya pembelajaran seseorang individu berbeza-beza di antara satu dengan lain. Terdapat beberapa gaya pembelajaran di antaranya ialah secara visual (visual learners), mendengar (auditory learners) dan secara pergerakan, dan 'Tactile/Kinesthetic learners'Pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran secara visual biasanya rasa perlu untuk mereka melihat 'body language' dan riak muka guru mereka. Biasanya murid-murid ini akan duduk di hadapan kelas agar dapat melihat visual keseluruhan guru yang mengajar.
            Belajar melalui mendengar, pelajar yang belajar gaya ini biasanya berminat dengan kuliah secara lisan, perbincangan, bercakap dan mendengar apa yang dikata orang. Murid akan menterjemah maksud perbualan melalui mendengar nada ton suara, pic, kelajuan dan perbezaan suara. Kecerdasan pelbagai merujuk kepada kepelbagaian kepandaian. Murid-murid adalah berbeza antara satu sama lain dari segi kemahiran, kepandaian, kecerdasan, tingkah laku dan sebagainya. Teori pembelajaran Kecerdasan Pelbagai telah diperkenalkan oleh Howard Gadner (1983) di dalam bukunya berjudul 'Frames of Mind'.
Teori ini telah membuka mata para akademik dan mulai memikirkan bahawa kecerdasan akal murid sebagai satu set dari kepelbagaian kebolehan dan kemahiran. Keadaan membantu seseorang individu faham, memeriksa dan respon kepada banyak perkara yang berbeza dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah. Terdapat 7 jenis kecerdasan pelbagai yang mungkin ada pada individu-individu iaitu anggota badan (kinetik), interpersonal, intrapersonal, logikal (matematik), muzikal (rentak), verbal (linguistik) dan visual (spartial).
Berkebolehan mengawal pergerakan tubuh dan mempunyai kemahiran memegang objek. Individu ini mengambarkan diri mereka melalui pergerakan. Mempunyai daya imbangan yang baik dan koordinasi mata dan tangan yang baik. (misalnya bermain bola, imbang diri atas palang) Berkebolehan salah satu anggota badan untuk menyelesaikan masalah, mencipta sesuatu. Melalui interaksi dengan ruang persekitaran, mereka mampu untuk mengingat dan memproses maklumat. Kemahiran individu ini termasuk menari, koordinasi fizikal, sukan, menggunakan bahasa tubuh, kraf, berlakon, menggunakan tangan untuk mencipta, membina dan menunjukkan emosi melalui tubuh.
Kebolehan untuk menghubungkait dan memahami orang lain. Individu yang bersifat 'interpersonal'  melihat sesuatu perkara dari sudut pandangan orang lain. Tujuannya adalah untuk memahami perasaan dan fikiran orang lain. Individu ini bijak menjiwai perasaan, ingatan dan motivasi. Menggalakkan kerjasama dan mengekalkan kesejahteraan. Menggunakan bahasa secara lisan dan tidak lisan iaitu bercakap, hubungan mata (eye contact) danbahasa tubuh (body language) untuk memulakan saluran komunikasi dengan orang lain
Kebolehan untuk refleksi diri sendiri dan sedar akan sifat dalaman diri. Individu ini cuba untuk memahami perasaan dalaman, impian, perhubungan dengan orang lain, kelemahan dan kekuatan yang ada. Kemahiran yang ada ialah mengenalpasti kelemahan dan kekuatan sendiri, menganalisis diri sendiri dan menilai cara berfikir.
Berkebolehan memanipulasi nombor, menggunakan sebab  akibat, menentukan jawapan secara logikal, konsep berfikir  dalam bentuk logikal dan nombor. Ada perasaan ingin tahu mengenai perkara yang berlaku disekeliling. Individu ini banyak menanyakan soalan dan berminat melakkan eksperimen. Kemahirannya meliputi penyelesaian masalah, mengkategori maklumat, bekerja dengan konsep abstrak untuk mengurai masalah, bekerja dengan bentuk geometri dan melakukan pengiraan matematik yang sukar.
(v)        Muzikal / rentak
Kebolehan untuk berfikir dalam bentuk musikal, mendengar dan mengecam paten, membezakan antara bunyi dan cipta musik. Sensitif dengan bunyi di persekitaran. Kemahiran individu ini ialah menyanyi, bersiul, mengubah musik, mengingati melodi, memahami struktur dan rentak musik.
Kebolehan menggunakan bahasa dengan efektif sama ada  secara lisan dan bertulis. Individu ini mempunyai kemahiran mendengar dan berfikir dalam bentuk perkataan. Kemahirannya meliputi mendenganra, bercakap, menulis, bercerita, menerangkan, mengingat maklumat, memahami perkataan

Kebolehan untuk berfikir secara gambaran, imej, bentuk dan paten (corak). Kebolehan untuk membentuk model secara visual dan mengaplikasi model itu kepada dunia fizikal. Individu ini gemar melihat peta, carta, gambar, video dan filem. Kebolehan individu ini ternasuk membaca, menulis, memahami carta dan graf. melakar, melukis dan menterjemah imej secara visual.

Kemahiran Generik (Insaniah)

Kemahiran generik pada individu boleh dikelaskan kepada empat kumpulan iaitu kesediaan bekerja dan sifat bekerja individu, pengetahuan dalam keusahawanan, kreatif dan inovatif, mempunyai kemahiran interpersional dan berfikir, serta ada kemahuan untuk belajar (Kearns, 2001). Kemahiran generik dalam kelompok pertama, kesediaan bekerja adalah terdiri dari pengetahuan asas pada diri murid dalam bidang tertentu dan mahir dalam penggunaan teknologi dan kedua pula mempunyai kemahiran interpersonal iaitu mahir dalam komunikasi samada secara lisan atau bertulis terutama dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan baik. Memahami dan menghormati pendapat orang lain serta memahami diri sendiri.

Kemahiran generik yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan dalam konteks pengajaran Sekolah Bestari serta program Kerjaya selepas tamat persekolahan. Penerapan kemahiran generik dalam kurikulum disebabkan memenuhi keperluan industri yang memerlukan pekerja ilmu untuk menghadapi cabaran globalisasi ekonomi industri (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1999). Kemahiran generik yang boleh didapati dalam pendidikan seperti kemahiran menyelesai masalah, kemahiran berfikir secara kritikal, komunikasi berkesan, kerja kumpulan dan tatasusila. Kemahiran ini tidak menggantikan kepada kemahiran spesifik disiplin, tetapi ia menjadikan pelajar memperolehi kemahiran teknikal dan pengetahuan profesional. Misalnya lebih mudah menerima pembelajaran dalam kumpulan dan menggunakan otak untuk berfikir serta menyelesaikan sesuatu masalah. Dengan cara ini maka pelajar akan mendapat ilmu yang dipelajarinya ( Melvyn Dodrigh,1999). 

Menurut Shymal Majumdar lagi (2002), cadangan kemahiran generik yang diperlukan untuk kehidupan pekerja ilmu dalam persaingan ekonomi pengetahuan adalah :
(i)         Kemahiran Menyelesai Masalah dan Kemahiran Berfikiran Kritikal
Murid yang berilmu perlu maju dalam kemahiran berfikir kritikal untuk menyelesaikan masalah yang komplek, bertindan, penggunaan pelbagai peralatan dan kemahiran mencari, masalah formula, menganalisis, mentafsir, mengkategorikan dan mendapat alternatif, dan cadangan penyelesaian yang baik.
(ii)        Kemahiran Berfikir Kreatif.
Murid yang berilmu perlu maju dalam kemahiran berfikir kreatif untuk menjana idea baru dalam menyelesaikan masalah, penemuan prinsip baru dan proses serta barangan baru. Diagnostik dan kemahiran rekabentuk akan memain peranan penting.
(iii)       Kemahiran Mengawal Maklumat
Murid yang berilmu perlu kepada kemajuan memperolehi maklumat, mengesan sesuatu empat, mencari dan mendapat maklumat untuk membuat keputusan yang berkesan. Mereka perlu menilai maklumat dan tahu menggunakannya dan berhubung dengan maklumat itu.
(iv)       Kemahiran Berhubung
Murid yang berilmu memajukan diri dengan kemahiran komunikasi dalam berbagai media untuk pelbagai pendengar menggunakan berbagai peralatan moden khususnya komunikasi dengan internet.
(v)        Kemahiran Kerja Berkumpulan
Murid yang berilmu memerlukan belajar dalam satu kumpulan untuk menyelesaikan masalah yang kompleks. Kolaboratif, koordinat dan kerja kumpulan akan memberi kunci kejayaan.
(vi)       Kemahiran Aplikasi Teknologi
Penggunaan teknologi khususnya teknologi komputer dengan kemahiran fizikal dan deria adalah mustahak dalam kehidupan pengetahuan. Pelajar yang  berilmu perlu kendalian peralatan dengan memahami saintifik dan memerlukan prinsip teknologi untuk meneroka, memperolehi, menyesuaikan dan sistem kendalian.
(vii)      Kemahiran Belajar Autonomi
Pertukaran teknologi yang pantas memerlukan kebolehan mengenalpasti dan menetapkan keperluan pembelajaran untuk diri sendiri. Pelajar yang berilmu akan menguruskan kerjaya mereka dan kemahiran menyambung pelajaran baru. Belajar untuk belajar dan belajar sepanjang hayat akan menjadi parameter kehidupan era ini.
(viii)     Kemahiran Memahami Pertembungan Budaya
Dalam era globalisasi, pelajar yang berilmu akan belajar dalam pelbagai budaya. Mereka memerlukan kepada memahami pertembungan budaya untuk belajar dalam kumpulan lebih berkesan. Kemahiran generik yang di terapkan oleh Kementerian Pendidikan kepada pelajar dipertimbangkan apabila releven, berguna dan tahan lama serta boleh menguatkan sistem pendidikan dan menjadi asas kepada sokongan pembelajaran sepanjang hayat (long life learning). Kemahiran generik tersebut hendaklah berfaedah dan penting untuk para pelajar menceburi dalam semua bidang kerjaya dan memenuhi keperluan majikan masa kini (Mohd Safarin, 2004). 

Justeru itu, Pihak Kementerian Pendidikan telah mengariskan kemahiran generik yang sesuai dengan semua bidang untuk diintegrasikan dalam pengajaran guru adalah:
(a)        Kemahiran Berkomunikasi
Aspek dalam kemahiran komunikasi adalah komunikasi secara lisan, tulisan, mengira dan ilustrasi. Kemahiran lisan, pelajar boleh berhubung dengan pelanggan dan orang awam samaada menggunakan telefon ataupun bersemuka. Pelajar boleh bercakap di khalayak ramai, memberi persembahan formal, taklimat dan mesyuarat. Pelajar juga dapat mendengar secara berkesan dan peka, serta dapat menerima maklumat. Kebolehan menulis, menulis secara berkesan, penggunaan bahasa, nahu dan ejaan yang betul. Mengikut format dan gaya penulisan yang menarik di samping boleh membuat ringkasan. Menggunakan urutan maklumat matematik dalam menyelesaikan masalah, boleh memahami, analisis dan guna maklumat statistik. Pelajar juga dapat memberi maklumat dalam bentuk carta, gambarajah, fotograf atau bentuk peta minda.
(b)        Kemahiran Menggunakan Teknologi
Kemahiran ini melibatkan penggunaan alat-alat bagi memahami dan menggunakan kaedah saintifik dan prinsip teknologi dalam pengendalian alat-alat mengikut prosedur dan proses dengan cekap. Di samping itu bagi sekolah yang pendekatan pembelajaran menggunakan komputer akan mengetahui bagaimana untuk mencari maklumat, penggunaan komputer untuk pembelajaran dan berhubung untuk pertukaran maklumat.
(c)        Kemahiran Merancang dan Mengelola Aktiviti
Kemahiran ini melibatkan kebolehan untuk merancang dan mengelola aktiviti diri sendiri termasuk penggunaan masa dan sumber, berupaya untuk menentukan keutamaan dan mengawasi pencapaian diri.
(d)       Kemahiran Bekerja Dengan Orang Lain Dalam Kumpulan
Keberkesanan bekerja dengan orang lain dan kumpulan berfokuskan kepada kemampuan individu berinteraksi dengan individu yang lain atau di dalam kumpulan. Ia merangkumi kesefahaman dan persetujuan ahli dari segi tujuan dan objektif.
(e)        Kemahiran Menyelesaikan Masalah
Kemahiran ini melibatkan penggunaan kemahiran penyelesaian masalah dalam pelbagai cara dan situasi, termasuk situasi yang memerlukan pemikiran dan pendekatan yang kreatif dalam mencapai sesuatu keputusan.
(f)        Kemahiran Mengurus, Memilih dan Menganalisa Maklumat
Kemahiran ini merangkumi kebolehan untuk mengenalpasti dan memilih informasi, menilai informasi, sumber informasi dan cara mendapatkan informasi dan menggunakan informasi secara efektif.
(g)        Kemahiran Menggunakan Idea dan Teknik Matematik
Kemahiran ini menggunakan teknik dan idea matematik melibatkan kebolehan penggunaan idea matematik seperti nombor dan ruang dan penggunaan teknik matematik seperti buat anggaran untuk situasi harian.
(h)        Kemahiran Memahami Budaya

Kemahiran ini merupakan kemahiran untuk memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni seperti perpaduan, bertolak ansur, hormat menghormati antara satu sama lain serta mewujudkan kemesraan dengan rakan, jiran dan masyarakat. Aspek kemahiran generik ini yang digariskan oleh pihak Kementerian Pelajaran ini adalah selari dengan industri pembinaan bangunan yang memerlukan kemahiran mengumpul, menganalisis dan mengurus maklumat, komunikasi, merancang dan mengurus aktiviti, bekerja dalam kumpulan, menggunakan idea dan teknik matematik, menyelesai masalah, menggunakan teknologi dan memahami budaya (Paul Hagel et al., 2001).

Konsep Penulisan

Bahasa merupakan alat perhubungan yang penting dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa seseorang itu dapat berkomunikasi dengan orang lain untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, buah fikiran, pengetahuan, mendapatkan informasi, menambahkan ilmu pengetahuan, memahami orang lain dan sebagainya (Raminah Hj. Sabran, 1993). Pembelajaran bahasa secara formalnya berlaku di sekolah. Oleh itu, guru-guru bahasa Melayu memainkan peranan yang utama bagi memastikan murid-murid di sekolah dapat mempelajari bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya. 

Kepentingan terhadap penguasaan bahasa lebih ketara dalam bidang pendidikan kerana bahasa menjadi medium utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahasa digunakan dalam interaksi lisan antara guru dengan murid. Hal ini jelas dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia (Melayu) sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Banyak aktiviti dan kemahiran yang menekankan aspek-aspek kemahiran bahasa dalam sukatan pelajaran. Perkara ini diberi tumpuan utama bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran bahasa Melayu iaitu membolehkan murid-murid mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

Kemahiran Menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan cantik. Murid juga digalakkan untuk menggunakan kreativiti mereka bagi menghasilkan penulisan bahan berunsurkan pengetahuan dan penulisan imaginatif (Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tahun 1, 1983). Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (1989) menegaskan bahawa Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) merupakan unsur yang diberikan penekanan baru dalam proses menulis di samping kemahiran-kemahiran lain.

Perkembangan pembelajaran murid-murid pada usia yang masih rendah, khususnya kebolehan berbahasa adalah sebahagian daripada kemahiran berfikir mereka. Kebolehan menulis dengan baik merupakan kemahiran yang penting diperolehi  oleh murid-murid di peringkat usia muda. Usaha untuk melahirkan murid-murid yang kreatif dan pintar bermula pada peringkat ini. Bak kata perpatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Oleh itu, guru bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan murid-murid mereka dalam penguasaan bahasa Melayu. Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt & Ab. Rahim Selamat (1997) menggariskan empat peranan guru bahasa Melayu iaitu sebagai perancang pengajaran dan pembelajaran; penggerak dan pendorong pengajaran dan pembelajaran; pembimbing murid; dan pemupuk semangat dan pembentuk sahsiah murid.

Saturday, 22 November 2014

Guru Menjadi 'Role Model'

Pengenalan

Guru merupakan insan penting dalam dunia pendidikan. Peranan utama guru secara am dan Guru Pendidikan Moral dalam memastikan perkembangan moral para pelajar pada landasan yang betul tidak dapat dinafikan lagi. Tugas mereka dilihat sangat penting dalam mendidik dan memberi teladan yang konsisten kepada anak didik mereka di sekolah mahupun di luar sekolah. Guru dilihat sebagai subjek utama dalam menggerakkan institusi sekolah dan para pelajar. Selain itu, guru sering kali dikaitkan dengan pencetus dan pendorong semua aktiviti pelajar di sekolah yang terbabit.

Dalam proses menjadi guru yang baik dan berkesan, mereka akan menjadi petunjuk kepada orang lain, memberi makna, pengasuh, memelihara, menjaga dan mendidik. Manakala dalam konteks yang lain, mereka mempunyai kaitan dengan usaha mendapatkan ilmu dan sekaligus membudayakan ilmu tersebut dalam kehidupan. Persoalan yang penting di sini adalah peranan guru sebagai teladan (role mode) secara berterusan dalam kalangan pelajar kerana dilihat mempunyai kekuatan nilai serta keperibadian mulia ditunjukkan oleh mereka.

Guru Menjadi ‘Role Model’

Guru-guru yang mempunyai idealisme yang tinggi terhadap pengajaran, pelajar dan masyarakat akan menampilkan ciri-ciri personal, interpersonal, profesional, intelektual dan kemahiran dalam pengajaran, pembelajaran dan urusan sehariannya dengan baik. Kesemua ciri-ciri di atas menggambarkan betapa layak dan berkesannya seseorang guru tersebut. Dalam konteks seorang Guru Pendidikan Moral ciri-ciri tersebut melayakkan beliau menjadi guru yang berkesan, berwibawa dan berketerampilan. Dengan kata lain, akan menjadi teladan (role model) yang baik bagi seluruh warga sekolah dan masyarakat keseluruhannya.

‘Role Model’ bagi seseorang guru dapat diperlihatkan melalui prestasi cemerlang guru berkenaan. Abdul Rahim (2005) menyatakan bahawa seseorang guru yang cemerlang adalah guru yang mencapai tahap tinggi dalam penglibatan dalam perancangan, dasar aktiviti pendidikan, pengalaman mengajar, pengekalan prestasi tinggi dalam pengajaran mata pelajaran, kepimpinan di peringkat sekolah, masyarakat dan negara. Di samping itu juga, tahap personaliti yang baik atas pembentukan nilai-nilai keperibadian yang tinggi. Oleh kerana itu, insan guru ini akan menjadi contoh (role model) kepada orang lain, khususnya pelajar dan pekerja lain di sekolah.

Nilai Keperibadian Mulia Guru

Dalam membincangkan isu keperibadian mulia guru ini ianya dilihat sebagai perkara yang amat penting dalam membentuk sahsiah pelajar. Aspek penampilan guru amat dititikberatkan. Penampilan guru yang kemas dan bersih menggambarkan mereka menitikberatkan kebersihan dan keselesaan. Ia juga menunjukkan sifat penyayang yang sudah ada di dalam diri kerana mereka mahu menunjukkan imej baik kepada para pelajar. Sebagai ‘role model’ kepada pelajarnya, guru mempunyai niat suci mahu melihat anak didik mereka memiliki sikap mengutamakan kebersihan dan kekemasan diri. Secara tidak langsung, sifat penyayang diserapkan ke dalam diri para pelajar (Yahya Don, 2005). Berkenaan dengan penampilan guru yang dianggap keperibadian mulia sememangnya sudah termaktub dalam Surat Pekeliling ‘Profesional’ Kementerian Pelajaran, Bil. 13/69 yang menyentuh ‘Pakaian Guru-Guru di Sekolah’ di mana ’...guru-guru mempunyai pengaruh yang sangat besar....memikul tanggungjawab bagi mengajar sopan-santun, akhlak dan nilai-nilai kebudayaan yang sesuai dengan masyarakat Malaysia’.

Selain iu, Guru Pendidikan Moral wajar mempamerkan perwatakan yang baik di dalam bilik darjah. Guru yang menjadi teladan dan panduan untuk para pelajar membentuk sahsiah diri berdasarkan landasan yang betul. Peranan dan tanggungjawab guru bukan sahaja memberi maklumat-maklumat dan memperkayakan minda pelajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan tetapi meliputi segenap aspek didikan. Menurut Yahya Don (2005) guru yang sebenar-benarnya adalah yang dapat menyediakan pelajar-pelajar dengan asas kehidupan yang lebih baik untuk masa hadapan, tekun bekerja, melatih kemahiran, menajamkan akal fikiran, memperelok kelakuan, memajukan naluri, merakamkan adat dan nilai-nilai yang baik supaya mereka dapat menjadi tonggak harapan negara. Sehubungan dengan ini, J.S. Farrant (1987) dalam Yahya Don (2005) juga menggambarkan perwatakan guru positif semasa berada di dalam bilik darjah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran adalah medium bagi membentuk budaya penyayang di sekolah.

Tugas Guru Pendidikan Moral dalam membentuk perwatakan pelajar di dalam bilik darjah melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilihat sebagai langkah bagi membentuk sahsiah pelajar. Melalui mata pelajaran Pendidikan Moral, terdapat banyak nilai murni yang boleh diserapkan kepada pelajar iaitu kasih sayang, kerjasama, hormat menghormati, patuh, rajin, bermaruah, bersih, beradab sopan dan sebagainya. Melalui cara ini Guru Pendidikan Moral dapat mengasah dan menyemai sahsiah pelajar secara tidak langsung melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Di samping itu, penerapan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran menunjukkan sikap profesional guru terhadap budaya kerja yang bermutu tinggi. Tambahan Yahya Don (2005) guru yang berupaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan amanah serta betul seperti peraturan yang ditetapkan menggambarkan perwatakan guru yang berdedikasi dan wajar diteladani oleh semua pelajar.

Usaha Guru Pendidikan Moral menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar amat dialu-alukan. Melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1994 yang bertajuk ‘Usaha Menanam Semangat Patriotisme Di Kalangan Pelajar’ menyatakan setiap pentadbir sekolah iaitu pengetua dan guru besar, guru-guru serta pelajar hendaklah bersama-sama mengambil tindakan serius berkenaan dengan soal taat setia dan cinta kepada negara tanpa berbelah bahagi. Adalah menjadi tanggungjawab Guru Pendidikan Moral menerapkan semangat patriotisme ini agar hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ingin melahirkan insan seimbang daripada aspek fizikal, rohani, mental, emosi dan intelek dapat dicapai. Melalui nilai mulia ini sudah tentu semangat patriotisme dapat disalurkan kepada pelajar di sekolah bagi menyedarkan mereka akan perasaan taat setia individu kepada bangsa, agama dan negara.

Akhirnya, nilai keperibadian mulia Guru Pendidikan Moral bagi mewujudkan interaksi yang baik dengan pelajar. Interaksi yang baik dan positif dalam kalangan guru dan pelajar bakal memperkembangkan potensi individu serta membentuk sahsiah yang seimbang. Menurut Cronbach (1977) dalam Yahya Don (2005) beliau menyatakan kepentingan boleh ubah ‘ketertiban’ dalam pencapaian guru, sifat peramah dan tingkah laku guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan di dalam bilik darjah. Proses interaksi yang baik ini amat penting bagi mewujudkan situasi penyayang yang ingin diserapkan di sekolah. Tambahan pula, hubungan baik hasil interaksi antara guru dan pelajar akan memberi gambaran bahawa wujud kemesraan di sekolah berlandaskan norma-norma yang dibenarkan. Hubungan baik antara guru dan pelajar boleh diperolehi daripada interaksi positif antara mereka melalui aktiviti-aktiviti di sekolah (Yahya Don, 2005).

Penutup

Sebagai rumusan dapatlah dikatakan bahawa Guru Pendidikan Moral memainkan peranan amat penting dalam menjadi teladan (role model) kepada pelajar di sekolah melalui beberapa kriteria nilai keperibadian yang ditunjukkan. Tugas untuk menjadi guru contoh di sekolah bukanlah mudah ianya memerlukan sokongan padu daripada pihak pentadbir, guru lain, pelajar dan masyarakat secara keseluruhannya. Namun melalui huraian yang telah diberikan di atas menunjukkan tugas Guru Pendidikan Moral bertepatan dengan visi dan misi Kementerian Pelajaran Malaysia bagi melahiran insan pelajar yang seimbang dalam semua aspek kehidupan.

  Bibliografi:

_________.(2007). Modul HBME 2103 Pendidikan Moral Tahun 2. Universiti Terbuka Malaysia : Meteor Doc. Sdn.Bhd.

Abdul Rahim. (2005). Profesionalisme Keguruan : Prospek dan Cabaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yahya Don. (2005). Kepimpinan Pendidikan di Malaysia. Pahang : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
































Perkembangan Moral Kognitif dan Faktor Berlakunya Vandalisme

Pengenalan

Zaman remaja merupakan jangka masa di mana seseorang individu (remaja) mengalami berbagai cabaran dan tekanan. Dari sudut psikologi, pengertian remaja boleh ditafsirkan sebagai suatu tempoh perkembangan fizikal, satu konsep yang abstrak, satu fenomena sosiobudaya  atau berdasarkan sikap remaja terhadap kehidupannya. Persoalan yang sering dikaitkan dengan pencarian identiti adalah merupakan persoalan utama bagi remaja (Rosiadi et.al, 2008).

Pada peringkat remaja, mereka mengalami perubahan fizikal, intelek serta emosi dan terpaksa berhadapan dengan berbagai konflik di dalam dirinya dan juga masyarakat. Havighurst dalam Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2004) membahagikan masa remaja kepada dua iaitu awal remaja (12 hingga 18 tahun) dan akhir remaja (18 hingga 22 tahun). Secara umumnya, pada peringkat ini berlaku perubahan yang pesat sama ada perubahan biologi, fizikal, mental dan emosi serta perubahan tanggungjawab dan peranan. Menurut Rosiadi et. al, (2008) untuk mengimbangi perubahan-perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan dengan masalah sosial dan konflik dalam usaha mencari identiti diri yang sebenarnya. Justeru, proses penaakulan moral kognitif golongan remaja kerap kali menyimpang daripada perspektif nilai-nilai moral dan etika masyarakat sekaligus melakukan banyak kesalahan, terutama yang berkaitan dengan vandalisme (merosakkan harta benda awam) di sekolah mahupun di tempat-tempat awam.Konsep pendekatan dalam Pendidikan Moral yang menjurus kepada penaakulan moral kognitif ianya memberi tumpuan kepada perkembangan karaktor moral, sikap membuat pertimbangan moral dan implikasi moral berupaya mengubah tingkah laku remaja (pelajar) ke arah kebaikan daripada  melakukan sebarang bentuk vandalisme yang membawa kerugian banyak pihak.

Perkembangan Moral Kognitif

Pendekatan Perkembangan Moral Kognitif adalah berasaskan kepada teori perkembangan moral Kohlberg (1962) yang memberi fokus kepada merangsang perkembangan moral para remaja (pelajar).Pedekatan ini banyak membantu membina kebolehan menaakul golongan remaja di peringkat yang lebih tinggi. Bailey (1979) dalam (Chang Lee Hoon, 2005) turut menyatakan bahawa perkembangan moral pada peringkat ini lebih tertumpu kepada perkembangan karaktor moral, sikap terhadap peraturan moral dan membuat pertimbangan moral. Di samping itu juga, istilah ‘perkembangan’ memberi satu gambaran yang menunjukkan satu perubahan yang progresif ke tahap yang lebih kompleks yang tidak boleh diterbalikkan, maka perkembangan moral membayangkan andaian mengenai apakah yang dianggap matang dari segi moral (Downey & Kelly (1978) dalam Chang Lee Hoon (2005).

Terdapat beberapa perspektif atau teori perkembangan moral yang membawa implikasi terhadap pendidikan moral, khususnya dalam kebanyakan gejala sosial yang berlaku kini. Penaakulan moral yang matang adalah penting kerana pemikiran yang rasional memudahkan pembelajaran dan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan remaja (Loganathan, 1995). Stoll & Beller dalam Loganathan (1995) turut  melaporkan bahawa sekolah-sekolah kini sedar bahawa sesuatu harus dilakukan untuk mengajar nilai-nilai murni dan yang lebih penting lagi adalah mengajar pelajar cara menaakul tentang sesuatu nilai. Namun, Wilson (1973) memang telah menjelaskan bahawa penaakulan moral merupakan suatu kemahiran yang boleh diajar dan dipelajari.

Antara perspektif perkembangan moral mengikut skema Kohlberg (1987) dengan jelas menyatakan perubahan dalam pertimbangan moral berstruktur menerusi sistem berperingkat mengikut perkembangan dan kematangan intelek atau kognitif seseorang individu.

Tahap
Peringkat
Prakonvensional
1. Orientasi dendaan dan kepatuhan
2. Orientasi instrumental relativis
Konvensional
3. Orientasi persetujuan antara individu
4. Orientasi undang-undang dan peraturan
Pascakovensional
5. Orientasi contract-legalistic sosial
6. Orientasi prinsip etika sejagat

          Sumber : Skema Kholberg (1987), diubahsuai daripada Chang L.H.(2005)

Pada tahap prakonvensional, remaja mula menaakul secara abstrak. Mereka sering menjadi amat bangga dengan kemahiran diri sendiri dan berfikir bahawa mereka berupaya menyelesaikan segala bentuk masalah. Menurut Piaget (1967) dalam Chang Lee Hoon (2005) sikap ini menjadikan remaja terlalu idealistik dan kurang menghargai batasan logik tingkah laku mereka. Tambahan pula, sikap ego pada golongan remaja akan membawa kepada perkembangan formal yang membawa kepada kekeliruan di mana pemikiran dan sahsiah diri mereka tidak disedari oleh mereka sendiri. Kekeliruan pandangan merupakan satu bentuk egosentrisme yang menekankan masalah dan pemikiran remaja bersifat abstrak (Rosiadi et.al, 2008).

 Tahap konvensional pula menekankan perspektif pembelajaran sosial (Behaviourisme) di mana golongan remaja mula sedar akan peraturan sosial yang menjadi standard moral yang bersifat subjektif yang dibina oleh individu-individu tertentu boleh berubah dan juga boleh ditentang. Peraturan sosial dilihat sebagai jangkaan sosial sama ada yang dibuat oleh ibu bapa dan masyarakat yang tidak semestinya dipatuhi oleh mereka. Pada peringkat ini, golongan remaja boleh mempelajari tingkah laku moral melalui pengajaran secara langsung mahupun teladan (imitasi) di mana dikekalkan melalui ganjaran dan peneguhan positif (seperti pujian, senyuman, hadiah atau perhatian) atau hukuman dan peneguhan negatif (seperti marah, mengurung, memberhentikan keistimewaan dan tidak memberi kasih sayang) (Chang L.H (2005). Tindakan ini akan mengawal dan mengubah tingkah laku sosial remaja di mana lama kelamaan mereka akan sedar bahawa peraturan sosial berperanan dalam menyelaraskan interaksi dengan orang lain.

Perspektif integratif dalam perkembangan moral (Tahap Pascakovensional) dengan jelas menunjukkan apabila golongan remaja berupaya mengatasi egosentrisme mereka dalam hubungan dengan orang lain. Keadaan ini menunjukkan kemajuan yang signifikan dalam penilaian moral dan pemahaman tentang tindakan  yang meningkatkan kebajikan manusia dalam pelbagai situasi. Menurut Hoffman (1980) dalam Rosiadi et.al,(2008) pengetahuan tidak semestinya diterjemahkan kepada tingkah laku sebenar tetapi sekurang-kurangnya keadaan akan memperlihatkan ciri-ciri tersebut. Aspek lain yang diperlihatkan pada peringkat perkembangan moral ini ialah ‘rasa bersalah’ golongan remaja. Remaja akan mulai sedar dan berasa bersalah apabila melakukan sesuatu yang salah. Perubahan ini berlaku apabila mereka sudah berupaya menilai apa yang dipaparkan melalui perbuatan diri sendiri. Dari sini jelas golongan remaja berupaya berfikir secara formal, iaitu kebolehan berfikir tentang idea. Pemikiran formal mereka merupakan kebolehan berfikir tentang kemungkinan, penaakulan saintifik dan kebolehan idea secara logik. Justeru, pada tahap ini golongan remaja mampu meningkatkan pemikiran formal mereka dalam menyelesaikan permasalahan secara sistematik melalui kognitif mereka.

Gejala Sosial : Vandalisme

Vandalisme bukanlah satu isu baru di negara ini malah ianya diperbincangkan hangat melalui media massa. Kamus Oxford Advanced Learner’s mentakrifkan vandalisme sebagai “willfully destroy or damage (public property) dan vandal sebagai ‘person who willfully destroys or damage works of art, public and private property, the beauties of nature, etc’ (dalam Nurain, 2007). Gejala sosial ini menimbulkan keresahan banyak pihak di mana golongan remaja dikaitkan dengan aktiviti tidak sihat ini. Permasalahan ini berlaku di banyak tempat awam, reakreasi, sekolah, pusat membeli belah dan sebagainya.

Di Malaysia, perbuatan merosakkan harta benda di sekolah dilihat sebagai suatu tindakan yang serius. Masalah merosakkan harta benda sekolah, secara sedar atau tidak, telah menjadi fenomena lumrah dalam alam persekitaran sekolah. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini mendapat perhatian serius dari pihak sekolah dan juga masyarakat. Pelajar-pelajar tidak memikirkan kepentingan dan kesejahteraan orang lain. Mereka sewenang-wenangnya merosakkan dan mengotori kemudahan dan persekitaran sekolah tanpa rasa bersalah langsung (Nurain, 2007). Perbuatan ini dilihat serius dan sejak 1968 lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengedarkan surat pekeliling yang membenarkan pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan ini dibuang dan digantung sementara waktu, di bawah undang-undang 1.3.5 merosak atau membinasakan harta sekolah (Mohd Zin Sham, 1996).

Persoalannya sekarang, mengapakah golongan remaja (pelajar) begitu mudah terpengaruh dengan aktiviti yang tidak sihat?. Bukankah perbuatan menconteng dan merosakkan harta benda awam merupakan suatu kerja yang sia-sia?. Tidakkah pelajar sedar yang perbuatan mereka tidak mendatangkan sebarang faedah? Seperti mana yang dikatakan, dunia remaja penuh dengan pergolakan untuk mencari identiti diri. Pada peringkat ini pelajar mengalami krisis psikologi dan konflik batin yang hebat. Bertepatan dengan ini pendekatan perkembangan moral kognitif adalah merupakan satu cara terbaik bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah vandalisme yang melibatkan golongan ini.

Faktor-Faktor Vandalisme

Tingkah laku vandalisme dalam kalangan pelajar dipengaruhi oleh banyak faktor. Namun, faktor yang dipilih dalam kajian ini adalah faktor pengaruh rakan sebaya, ibu bapa dan keluarga, pengaruh media massa, dan sikap apati (tidak peduli) individualistik dan materialistik masyarakat. Oleh itu, pengaruh yang paling dominan perlu diketengahkan untuk mencari penyelesaian terhadap salah laku vandalisme. Ini kerana golongan remaja khasnya adalah harapan masyarakat dalam mewarisi kepimpinan dan pembangunan negara pada masa depan. Cohen (1968) & Bowles (1982) membahagikan perbuatan vandalisme kepada enam kategori, iaitu vandalisme berbentuk keinginan; dirancang; ideological; sifat balas dendam; suka-suka; dan bersifat merosak.

Faktor-faktor berlakunya vandalisme dalam kalangan remaja, pertama; pengaruh rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan berlakunya vandalisme. Golongan remaja lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya mereka. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kebiasaanya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan. Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan sekaligus merosakkannya. Mengikut Datuk Lee Lam Thye (1997) menyatakan golongan yang merosakkan harta benda merupakan golongan remaja yang ingin bebas tetapi dikongkong oleh ibu bapa. Mereka tidak mempunyai matlamat dan gemar melakukan kesalahan ini apabila berkumpul dengan rakan-rakan mereka. Pelaku akan merasa puas setelah melakukan perbuatan tersebut.

Kedua, ibu bapa adalah pendorong kepada sifat vandalisme dalam kalangan remaja. Contohnya, ketika memandu ibu bapa membuang sampah atau kulit buah-buahan dari kereta tanpa menghiraukan sebarang kemungkinan akan berlaku. Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme ini berasal daripada keluarga yang bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup yang negatif. Menurut kajian yang pernah dijalankan menunjukkan vandalisme dendam dilakukan oleh  remaja yang ingin bebas dan berlatar belakangkan keluarga yang bermasalah. Selain itu, kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama yang mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini. Kajian Sulaiman Alias (1994) menyatakan golongan remaja yang melakukan vandalisme merosakkan harta benda tanpa ada sebarang sebab serta tidak memperolehi apa-apa keuntungan dari perbuatannya itu. Salah laku begini selalunya menunjukkan bangkangan terhadap sesuatu atau luahan kekecewaan pelaku kepada keluarga, masyarakat dan sekolah. Mereka ingin menarik perhatian orang ramai dan memperkenalkan dirinya secara negatif.

Institusi keluarga kini kurang memberi perhatian dalam pembentukan sahsiah keluarga terutama terhadap anak-anak. Akibatnya konflik keluarga akan timbul dan anak-anaklah yang menjadi mangsa. Hal ini disokong oleh Galamus dan Maggs (1991) yang menyatakan tahap konflik keluarga yang tinggi menyebabkan remaja terlibat dalam tingkah laku bermasalah, khasnya vandalisme. Alim Muntu (1988) pula menambah salah laku dalam kalangan pelajar terjadi kerana pelajar-pelajar kurang merasai kemesraan dalam keluarga.

Mengikut perangkaan statisitik yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, ternyata tingkah laku vandalisme dalam kalangan remaja meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 1993, seramai 2,226 pelajar terlibat dalam vandalisme. Pada tahun 1994 pula meningkat hingga 2,622 pelajar dan pada tahun 1995 terus meningkat kepada 2,736 pelajar. Walaupun bilangan kes tingkah laku vandalisme di kalangan 1.2 juta pelajar menengah jumlahnya mungkin kecil, namun perbuatan kesalahan yang dilakukan memerlukan tindakan serius dari pihak berkaitan bagi mengenal pasti faktor-faktor yang mendorong peningkatan aktiviti-aktiviti vandalisme dalam kalangan pelajar di negara kita.

Pengaruh media massa merupakan pengaruh yang ketiga yang tidak kurang pentingnya dalam mempengaruhi gejala vandalisme dalam kalangan remaja kita. Perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedikit sebanyak menyebabkan peranan media massa kian terserlah. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan gejala ini. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya daripada pihak terbabit.

Sikap ganas dan keterlaluan para remaja sedikit sebanyak di pengaruhi apa yang mereka baca, dengar dan tonton daripada media massa. Lantas, kesemua ini diterjemahkan melalui perlakuan devian mereka sehingga memudaratkan harta benda dan nyawa orang lain. Sebagai contoh, Akhbar Utusan Malaysia 5 April 1989 melaporkan polis menahan seorang pelajar lelaki berhubung dengan kejadian dua letupan kecil di bilik tandas Sekolah Menengah Taman Tun Dr. Ismail. Kesan letupan itu mengakibatkan tingkap-tingkap kaca pecah dan beberapa kepingan logam berselerak dalam tandas tersebut. Akhbar Metro 19 Jun 1996 melaporkan pelajar sebuah sekolah di Tampoi bertindak menconteng nama seorang guru lelaki disiplin pada dinding bangunan bilik air sekolah berkenaan dengan kata-kata lucah menggunakan penyembur cat. Malah pelajar terbabit bertindak keterlaluan menconteng kata-kata memalukan iaitu guru itu mempunyai hubungan sulit dan merogol seorang guru wanita.

Kes lain yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia 19 Jun 2000, sebuah bilik darjah Sekolah Kebangsaan Rawang telah musnah dalam satu kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat. Dalam kejadian tersebut sebuah almari berisi beratus-ratus buku rujukan, buku tamabahan serta soalan peperiksaan untuk pelajar tahun 6 telah musnah. Pihak polis telah mengesahkan terdapat unsur-unsur jenayah berdasarkan penemuan puntung-puntung mancis di kawasan berkenaan. Pihak polis tidak menolak kemungkinan besar perbuatan ini dilakukan oleh pelajar sekolah. Nampaknya gejala vandalisme dan salah laku pelajar semakin hari semakin meruncing sehingga membawa kepada perlakuan jenayah yang lebih berat lagi. Pelajar begitu berani bertindak liar dan ganas tanpa rasa perikemanusiaan langsung. Justeru, langkah-langkah drastik perlu diambil oleh pihak-pihak terbabit untuk mencegah serta membanteras tingkah laku negatif pelajar-pelajar sekolah.

Berhubung dengan faktor sikap apati, perlakuan sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak peduli terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliing mereka turut merumitkan masalah vandalisme ini. Menurut kajian, kes vandalisme banyak berlaku di kawasan bandar. Sikap individualistik masyarakat turut mengeruhkan keadaan di mana tidak peduli apa yang berlaku. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar yang sukar dikawal. Di kawasan bandar kebanyakkan penduduknya tidak ambil kisah. Oleh sebab itu, golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggunjawab terhadap harta benda awam. Kajian Anidah Ithnin (1991) yang mendapati pelajar nakal memiliki konsep kendiri yang negatif, sebaliknya pelajar-pelajar tidak nakal memiliki konsep kendiri yang positif. Maka, golongan pelajar nakal banyak melakukan vandalisme di tempat-tempat awam.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, dapatlah dikatakan bahawa perkembangan moral kognitif sememangnya berupaya mempengaruhi tingkah laku remaja (pelajar) dalam tindakan mereka, terutama dalam gejala vandalisme di tempat awam dan sekolah.  Terdapat pelbagai gejala sosial yang dilakukan oleh golongan remaja dengan tujuan atau niat tertentu. Gejala vandalisme ini dilihat sebagai serius dalam masyarakat kita di mana turut dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti pengaruh rakan sebaya, ibu bapa dan keluarga, pengaruh media massa, dan sikap apati (tidak peduli) individualistik dan materialistik masyarakat.

Bibliografi:

Alim Muntu. (1998). Satu kajian tentang faktor-faktor kekeluargaan yang mempengaruhi dispilin di kalangan pelajar sekolah menengah di Sabah. Latihan Ilmiah. Serdang : Universiti Pertanian Malaysia.

Anidah Ithnin. (1991). Konsep kendiri di kalangan remaja perempuan. Perbandingan di antara penghuni pusat pemulihan akhlak dan pelajar sekolah. Latihan ilmiah. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bowels, J.K.,(1982). The Residence hall vandalism problem: A model for examining destruction behaviour: Journal of Collage and University Student Housing. Jil 12 (1), pp 15-19.

Chang Lee Hoon. (2005). Konsep Asas Dalam Pendidikan Moral. Kuala LumpurUniversiti Malaya.

Cohen, S. (1968). The polotics of vandalism. New Society. Jil 12, pp.872-878.

Downey, M. & Kelly, A.V. (1978). Moral education: Theory and practice.   London : Harper & Row.

Galamus.L.N & Maggs, L.J.(1991). Out of school of young adolescence and self reported behaviour. Development psychology. Jil.27 (4), 644-655

Kohlberg, L. (1975). The cognitive-developmental approach to Moral Education. Phi Delta Kappan LVI (10) : 670  677.

Loganathan, R.(1995). Peringkat perkembangan moral di kalangan pelajar sekolah menengah Bandar dan luar Bandar. Latihan Ilmiah. Universiti Malaya.

Mohd. Zin Sham. (1996).Cabaran guru terhadap disiplin pelajar.Seminar disiplin pelajar kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia.Genting Highland, Pahang : 27-30 ogos.

Nurain Binti Hj. Sarpan. (2007). Faktor-faktor mempengaruhi tingkah laku vandalisme di kalangan remaja sekolah menengah satu kajian ke di Daerah Alor Gajah, Melaka. Tesis Sarjana. Fakulti Pendidikan : Universiti Teknologi Malaysia.

Oxford Advanced Learner’s Dictionary. (1991).New York:Oxford University Press.

Ramlah Jantan dan Mahani Razali. (2004). Psikologi Pendidikan : Pendekatan Kontemporari. Kuala Lumpur : McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.

Rosiadi Bin Tajudin et.al,. (2008). Penyalahgunaan Dadah Di Kalangan Remaja Dari Sudut Psikologi. Diploma Lepasan Ijazah. UPSI.

Wilson, J. (1973). The assessment of morality. Great Britain : NFER Publishing Company Ltd.
 Vandalisme dalam kalangan remaja. Dipetik daripada;
http://www.scribd.com/doc/2081250/vandalisme-dalam-kalangan-remaja (29/11/2008)

Appendik:

Lee Lam Thye (1997).Perlakuan buruk generasi baru : Tiga kategori vandalisme.
Mingguan Malaysia. 6 Jun. m.s.5.

Metro.1996.19 Jun. m.s. 5.
Utusan Malaysia.1989. 5 April. m.s.1
Utusan Malaysia. 2000.19Jun. m.s.1