Bahasa merupakan alat perhubungan yang penting
dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa seseorang itu dapat berkomunikasi
dengan orang lain untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman,
buah fikiran, pengetahuan, mendapatkan informasi, menambahkan ilmu pengetahuan,
memahami orang lain dan sebagainya (Raminah Hj. Sabran, 1993). Pembelajaran
bahasa secara formalnya berlaku di sekolah. Oleh itu, guru-guru bahasa Melayu
memainkan peranan yang utama bagi memastikan murid-murid di sekolah dapat
mempelajari bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya.
Kepentingan terhadap
penguasaan bahasa lebih ketara dalam bidang pendidikan kerana bahasa menjadi
medium utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahasa digunakan dalam interaksi
lisan antara guru dengan murid. Hal ini jelas dinyatakan dalam Sukatan
Pelajaran Bahasa Malaysia (Melayu) sekolah rendah dan juga sekolah menengah.
Banyak aktiviti dan kemahiran yang menekankan aspek-aspek kemahiran bahasa
dalam sukatan pelajaran. Perkara ini diberi tumpuan utama bertujuan untuk
mencapai objektif pengajaran bahasa Melayu iaitu membolehkan murid-murid mendengar,
bertutur, membaca dan menulis.
Kemahiran Menulis merujuk kepada keupayaan murid
menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan
yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah
dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul,
serta tulisan yang jelas dan cantik. Murid juga digalakkan untuk menggunakan kreativiti
mereka bagi menghasilkan penulisan bahan berunsurkan pengetahuan dan penulisan
imaginatif (Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tahun 1, 1983). Dalam
konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pihak Kementerian Pendidikan
Malaysia (1989) menegaskan bahawa Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif
(KBKK) merupakan unsur yang diberikan penekanan baru dalam proses menulis di
samping kemahiran-kemahiran lain.
Perkembangan pembelajaran murid-murid pada usia
yang masih rendah, khususnya kebolehan berbahasa adalah sebahagian daripada
kemahiran berfikir mereka. Kebolehan menulis dengan baik merupakan kemahiran
yang penting diperolehi oleh murid-murid
di peringkat usia muda. Usaha untuk melahirkan murid-murid yang kreatif dan
pintar bermula pada peringkat ini. Bak kata perpatah, ‘melentur buluh biarlah
dari rebungnya’. Oleh itu, guru bahasa Melayu memainkan peranan yang penting
dalam menentukan kejayaan murid-murid mereka dalam penguasaan bahasa Melayu. Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt & Ab. Rahim Selamat (1997) menggariskan empat peranan guru bahasa Melayu iaitu
sebagai perancang pengajaran dan pembelajaran; penggerak dan pendorong
pengajaran dan pembelajaran; pembimbing murid; dan pemupuk semangat dan
pembentuk sahsiah murid.
No comments:
Post a Comment