Translate

Saturday, 22 November 2014

Guru Menjadi 'Role Model'

Pengenalan

Guru merupakan insan penting dalam dunia pendidikan. Peranan utama guru secara am dan Guru Pendidikan Moral dalam memastikan perkembangan moral para pelajar pada landasan yang betul tidak dapat dinafikan lagi. Tugas mereka dilihat sangat penting dalam mendidik dan memberi teladan yang konsisten kepada anak didik mereka di sekolah mahupun di luar sekolah. Guru dilihat sebagai subjek utama dalam menggerakkan institusi sekolah dan para pelajar. Selain itu, guru sering kali dikaitkan dengan pencetus dan pendorong semua aktiviti pelajar di sekolah yang terbabit.

Dalam proses menjadi guru yang baik dan berkesan, mereka akan menjadi petunjuk kepada orang lain, memberi makna, pengasuh, memelihara, menjaga dan mendidik. Manakala dalam konteks yang lain, mereka mempunyai kaitan dengan usaha mendapatkan ilmu dan sekaligus membudayakan ilmu tersebut dalam kehidupan. Persoalan yang penting di sini adalah peranan guru sebagai teladan (role mode) secara berterusan dalam kalangan pelajar kerana dilihat mempunyai kekuatan nilai serta keperibadian mulia ditunjukkan oleh mereka.

Guru Menjadi ‘Role Model’

Guru-guru yang mempunyai idealisme yang tinggi terhadap pengajaran, pelajar dan masyarakat akan menampilkan ciri-ciri personal, interpersonal, profesional, intelektual dan kemahiran dalam pengajaran, pembelajaran dan urusan sehariannya dengan baik. Kesemua ciri-ciri di atas menggambarkan betapa layak dan berkesannya seseorang guru tersebut. Dalam konteks seorang Guru Pendidikan Moral ciri-ciri tersebut melayakkan beliau menjadi guru yang berkesan, berwibawa dan berketerampilan. Dengan kata lain, akan menjadi teladan (role model) yang baik bagi seluruh warga sekolah dan masyarakat keseluruhannya.

‘Role Model’ bagi seseorang guru dapat diperlihatkan melalui prestasi cemerlang guru berkenaan. Abdul Rahim (2005) menyatakan bahawa seseorang guru yang cemerlang adalah guru yang mencapai tahap tinggi dalam penglibatan dalam perancangan, dasar aktiviti pendidikan, pengalaman mengajar, pengekalan prestasi tinggi dalam pengajaran mata pelajaran, kepimpinan di peringkat sekolah, masyarakat dan negara. Di samping itu juga, tahap personaliti yang baik atas pembentukan nilai-nilai keperibadian yang tinggi. Oleh kerana itu, insan guru ini akan menjadi contoh (role model) kepada orang lain, khususnya pelajar dan pekerja lain di sekolah.

Nilai Keperibadian Mulia Guru

Dalam membincangkan isu keperibadian mulia guru ini ianya dilihat sebagai perkara yang amat penting dalam membentuk sahsiah pelajar. Aspek penampilan guru amat dititikberatkan. Penampilan guru yang kemas dan bersih menggambarkan mereka menitikberatkan kebersihan dan keselesaan. Ia juga menunjukkan sifat penyayang yang sudah ada di dalam diri kerana mereka mahu menunjukkan imej baik kepada para pelajar. Sebagai ‘role model’ kepada pelajarnya, guru mempunyai niat suci mahu melihat anak didik mereka memiliki sikap mengutamakan kebersihan dan kekemasan diri. Secara tidak langsung, sifat penyayang diserapkan ke dalam diri para pelajar (Yahya Don, 2005). Berkenaan dengan penampilan guru yang dianggap keperibadian mulia sememangnya sudah termaktub dalam Surat Pekeliling ‘Profesional’ Kementerian Pelajaran, Bil. 13/69 yang menyentuh ‘Pakaian Guru-Guru di Sekolah’ di mana ’...guru-guru mempunyai pengaruh yang sangat besar....memikul tanggungjawab bagi mengajar sopan-santun, akhlak dan nilai-nilai kebudayaan yang sesuai dengan masyarakat Malaysia’.

Selain iu, Guru Pendidikan Moral wajar mempamerkan perwatakan yang baik di dalam bilik darjah. Guru yang menjadi teladan dan panduan untuk para pelajar membentuk sahsiah diri berdasarkan landasan yang betul. Peranan dan tanggungjawab guru bukan sahaja memberi maklumat-maklumat dan memperkayakan minda pelajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan tetapi meliputi segenap aspek didikan. Menurut Yahya Don (2005) guru yang sebenar-benarnya adalah yang dapat menyediakan pelajar-pelajar dengan asas kehidupan yang lebih baik untuk masa hadapan, tekun bekerja, melatih kemahiran, menajamkan akal fikiran, memperelok kelakuan, memajukan naluri, merakamkan adat dan nilai-nilai yang baik supaya mereka dapat menjadi tonggak harapan negara. Sehubungan dengan ini, J.S. Farrant (1987) dalam Yahya Don (2005) juga menggambarkan perwatakan guru positif semasa berada di dalam bilik darjah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran adalah medium bagi membentuk budaya penyayang di sekolah.

Tugas Guru Pendidikan Moral dalam membentuk perwatakan pelajar di dalam bilik darjah melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilihat sebagai langkah bagi membentuk sahsiah pelajar. Melalui mata pelajaran Pendidikan Moral, terdapat banyak nilai murni yang boleh diserapkan kepada pelajar iaitu kasih sayang, kerjasama, hormat menghormati, patuh, rajin, bermaruah, bersih, beradab sopan dan sebagainya. Melalui cara ini Guru Pendidikan Moral dapat mengasah dan menyemai sahsiah pelajar secara tidak langsung melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Di samping itu, penerapan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran menunjukkan sikap profesional guru terhadap budaya kerja yang bermutu tinggi. Tambahan Yahya Don (2005) guru yang berupaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan amanah serta betul seperti peraturan yang ditetapkan menggambarkan perwatakan guru yang berdedikasi dan wajar diteladani oleh semua pelajar.

Usaha Guru Pendidikan Moral menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar amat dialu-alukan. Melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1994 yang bertajuk ‘Usaha Menanam Semangat Patriotisme Di Kalangan Pelajar’ menyatakan setiap pentadbir sekolah iaitu pengetua dan guru besar, guru-guru serta pelajar hendaklah bersama-sama mengambil tindakan serius berkenaan dengan soal taat setia dan cinta kepada negara tanpa berbelah bahagi. Adalah menjadi tanggungjawab Guru Pendidikan Moral menerapkan semangat patriotisme ini agar hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ingin melahirkan insan seimbang daripada aspek fizikal, rohani, mental, emosi dan intelek dapat dicapai. Melalui nilai mulia ini sudah tentu semangat patriotisme dapat disalurkan kepada pelajar di sekolah bagi menyedarkan mereka akan perasaan taat setia individu kepada bangsa, agama dan negara.

Akhirnya, nilai keperibadian mulia Guru Pendidikan Moral bagi mewujudkan interaksi yang baik dengan pelajar. Interaksi yang baik dan positif dalam kalangan guru dan pelajar bakal memperkembangkan potensi individu serta membentuk sahsiah yang seimbang. Menurut Cronbach (1977) dalam Yahya Don (2005) beliau menyatakan kepentingan boleh ubah ‘ketertiban’ dalam pencapaian guru, sifat peramah dan tingkah laku guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan di dalam bilik darjah. Proses interaksi yang baik ini amat penting bagi mewujudkan situasi penyayang yang ingin diserapkan di sekolah. Tambahan pula, hubungan baik hasil interaksi antara guru dan pelajar akan memberi gambaran bahawa wujud kemesraan di sekolah berlandaskan norma-norma yang dibenarkan. Hubungan baik antara guru dan pelajar boleh diperolehi daripada interaksi positif antara mereka melalui aktiviti-aktiviti di sekolah (Yahya Don, 2005).

Penutup

Sebagai rumusan dapatlah dikatakan bahawa Guru Pendidikan Moral memainkan peranan amat penting dalam menjadi teladan (role model) kepada pelajar di sekolah melalui beberapa kriteria nilai keperibadian yang ditunjukkan. Tugas untuk menjadi guru contoh di sekolah bukanlah mudah ianya memerlukan sokongan padu daripada pihak pentadbir, guru lain, pelajar dan masyarakat secara keseluruhannya. Namun melalui huraian yang telah diberikan di atas menunjukkan tugas Guru Pendidikan Moral bertepatan dengan visi dan misi Kementerian Pelajaran Malaysia bagi melahiran insan pelajar yang seimbang dalam semua aspek kehidupan.

  Bibliografi:

_________.(2007). Modul HBME 2103 Pendidikan Moral Tahun 2. Universiti Terbuka Malaysia : Meteor Doc. Sdn.Bhd.

Abdul Rahim. (2005). Profesionalisme Keguruan : Prospek dan Cabaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yahya Don. (2005). Kepimpinan Pendidikan di Malaysia. Pahang : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
































2 comments: