Translate

Saturday, 22 November 2014

Kajian Bahasa Iban: Faktor-faktor Pengukuhannya

Kajian Bahasa Iban: Faktor-faktor Pengukuhannya

Maran Ramping
Universiti Putra Malaysia
2013

Kajian Bahasa

Perbezaan dan persamaan kebudayaan suku-suku bumiputera di Sarawak, khususnya kaum Iban dikatakan mencerminkan juga perbezaan dan persamaan dengan suku-suku bumiputera di kepulauan Nusantara lainnya. Sejauh manakah isu ini benar? Persoalan berhubung dengan aspek bahasa sangat rumit kerana banyak teori dan tafsiran yang dikemukan banyak tokoh mahupun sarjana yang berkaita. Antara kaum Iban dan suku Melayu, misalnya, memang zahir perbezaan kebudayaan, tetapi apakah hubungan antara kedua-duanya sehingga bahasa mereka menunjukkan kesamaan (Mohd Taib Osman, 1988).

AA. Cense dan E.M. Uhlenbeck (dalam Mohd Taib Osman, 1988) mengatakan bahawa bahasa Iban telah dianggap sebagai satu dialek bahasa Melayu. Dalam buku mereka, Critical Survey of Studies of the Language of Borneo, s-Gravenhage, 1958, hlm. 10, ada menjelaskan bahawa ada dalam kalangan kaum Iban sendiri percaya pada suatu ketika dahulu yang mereka berasal dari Sumatera. Ada pula yang cuba mengaitkan bahasa Iban dengan bahasa Mingkabau kerana diftong di hujung kata yang terdapat dalam kedua-dua bahasa tersebut (Mohd Taib Osman, 1988). Persoalannya, sejauhmana hal ini benar? Apakah hubungan ini dapat menjelaskan kaitan bahasa Iban dengan bahasa Melayu? Maka, perkembangan bahasa Iban dilihat mempunyai sejarahnya sendiri berbanding dengan bahasa-bahasa lain. Chemaline (2011) memetik bahasa Iban ini dapatlah dikatakan mempunyai benihnya sendiri memandang ianya memiliki cabang penggunaan kata-kata yang bersifat kompleks serta memperlihatkan ketinggian dan ketulenan warisan bangsa bebanding kaum lain.

Namun, Nik Safiah Karim et al. (2004), mengaitkan bahasa Iban yang dalam golongan Kalimantan termasuk Kenya-kayan dan Melanau dikatakan tergolong dalam bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa yang tergolong ke dalam satu keluarga bahasa besar yang bernama keluarga bahasa Austris. Di samping rumpun Austronesia, terdapat dua rumpun yang lain dalam keluarga ini, iaitu bahasa-bahasa Austroasia dan Tibet-Cina.

Tambah beliau lagi, rumpun bahasa Austronesia pula terbahagi kepada empat cabang, iaitu bahasa-bahasa kepulauan Melayu (Nusantara), bahasa-bahasa Polinesia, antaranya bahasa-bahasa Hawaii, Tonga, dan Moari, bahasa-bahasa Melanesia, antaranya bahasa-bahasa  di Kepulauan Fiji, New Caledonia dan Irian, dan bahasa-bahasa Mikronesia, antaranya bahasa-bahasa di Kepulauan Marianna, Marshal, Carolina dan Gilbert. Bagi Bahasa Melayu yang tergolong ke dalam cabang Nusantara dalam keluarga Austronesia mempunyai kira-kira 200-300 bahasa kesemuanya. Menurut beliau lagi, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa bahasa Iban mempunyai pertalian yang jelas dengan bahasa Melayu.

Perkembangan Bahasa Iban

Bahasa Iban dikatakan mempunyai sifat homogen. Menurut C.A. Bamfylde (1898), kaum Iban merupakan kumpulan etnik pribumi yang paling homogen (sejenis sahaja) iaitu tidak ada suku-suku tertentu, menggunakan bahasa yang sama dan mewarisi nilai, tradisi, kepercayaan, adat resam serta kebudayaan yang sama. Kaum Iban kaya dengan keunikan bahasanya sebagai bahasa ilmu dan komunikasi. Padal awal perkembangan bahasa Iban digunakan dalam hubungan seharian dalam kalangan masyarakat mereka. Dalam aspek komunikasi, bahasa Iban digunakan bagi menyampaikan idea dan pemikiran. Mereka berinteraksi dengan orang lain dengan menggunakan bahasa Iban mereka sendiri. Keadaan ini memperlihatkan tahap perkembangan bahasa Iban telah maju setapak lagi.

Chemaline et al. (2011) menyatakan jumlah penduduk kaum Iban yang kian bertambah telah menjadikan  bahasa Iban semakin penting dan selari dengan matlamat penggunaanya. Idea ini turut diperjelaskan oleh E.H. Gomes (1911), melalui pemerhatiannya semasa tinggal di bumi Sarawak. Catatan beliau, corak kehidupan kaum Iban yang kian bertambah baik dari segi pemikiran, penjagaan kesihatan, pertanian setelah mereka mengutamakan aspek pendidikan. Para pelajar yang sudah berjaya menamatkan persekolahan apabila mereka kembali ke kampung sendiri berupaya menjadi contoh (role model) kepada orang lain. Keadaan ini telah memberi impak positif akan peri pentingnya bahasa Iban sebagai bahasa ilmu dan perhubungan di peringkat komuniti mereka. Ukuran yang menjadi keutamaan kaum Iban bagi cara berfikir dan bersaing adalah melalui pendidikan. Mereka yang memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi mampu menghasilkan karya penulisan yang berkisar akan agama, cerita, karangan, salasilah dan sebagainya. Ekoran daripada itu mereka sudah pandai menulis surat kepada orang lain.

Bahasa Iban standing dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini, dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan komunikasi selaras dengan perubahan dan pembangunan komuniti itu sendiri. Langkah-langkah untuk memantapkan bahasa Iban dari segi tatabahasa, system ejaan dan sebagainya bertepatan dengan tahap kesediaan dan penerimaanya sebagai bahasa ilmu. Di Sarawak, banyak institusi mengambil berat terhadap penggunaan bahasa Iban. Misalnya, institusi gereja, Radio Malaysia Sarawak (RTM) adalah antara dua buah institusi yang menggunakan bahasa Iban secara pesat hingga ke hari ini. Organisasi seperti Tun Jugah Foundation (TJF) berdiri teguh meningkatkan serta memartabatkan aspek kesusasteraan kaum Iban. Selain itu, Majlis Adat Istiadat Sarawak turut memainkan peranan mereka mengkaji aspek salasilah, adat, budaya dan undang-undang dalam komuniti kaum Iban. Pertubuhan seperti Sarawak Dayak National Union (SDNU) dan Sarawak Dayak Iban Association (SADIA) berfungsi serta bekerjasama dengan institusi lainnya mempergiatkan usaha mereka dalam memartabatkan perkembangan bahasa Iban pada tahap yang tinggi.

Bahasa Iban mengikut kajian sarjana lingustik dikatakan cabang dalam rumpun Austronesia. Asmah Hj. Omar (2008), menyatakan bahasa Iban sememangnya serumpun dengan bahasa Melayu tetapi tetap mempunyai ciri-ciri dan kekuatan tersendiri berteraskan terminology serta kekukuhan kepercayaan, adat dan perundangan kaum Iban. Menurut beliau lagi bahawa bahasa Iban sudah berkembang lebih kurang 1000 tahun yang lalu. Kajian A.A. Cence dan M. Unlenbeck (1958) turut memperjelaskan bahawa bahasa Iban sebagai cabang dialek bahasa Melayu. Jika diselidiki secara mendalam dari segi etimologi bahasa Iban sememangnya tidak dapat dinafikan perhubungan kedua-dua bahasa ini namun bahasa Iban tetap mempunyai identitinya tersendiri sebagai bahasa bagi kaum Iban.

Menurut Padang Luna et al. (2011) bahasa Iban mempunyai benihnya sendiri dan berdiri atas kapasiti sebagai bahasa ibunda kaum Iban yang bertunjangkan ketinggian adat dan daya kehidupan melebihi kaum-kaum lain. Sebagai contoh, dalam aspek kesusasteraan kaum Iban terdapat tiga kategori fungsi bahasa Iban yakni bidang infomasi, hiburan dan adat resam. Struktur atau kategori penggunaan bahasa Iban secara standard dipergiatkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Pusat Perkembangan Kurikulum sebagai bahasa yang dipelajari di peringkat sekolah rendah dan menengah. Bahasa Iban turut dinilai dalam peperiksaan awam seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini dipelajari sehingga ke peringat Diploma (Institut Perguruan Malaysia) dan peringkat Ijazah di Universiti, khasnya Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Jika dibuat perbandingan  secara leksikostatistik bahasa Iban dengan bahasa Melayu mempunyai perhubungan yang agak ketara. Menurut Asmah Hj. Omar (2008), bahasa Iban dengan bahasa Melayu mempunyai 63% bekognat (berkaitan) berbanding bahasa Jawa hanya 35% sahaja. Walau bagaimanapun, Padang Luna et al. (2011) setakat hari ini belum ada kajian dibuat menjelaskan orang yang berbahasa Melayu di Pulau-pulau Melayu seperti Indonesia, Malaysia dan Filipina serta tempat-tempat lain di Asia Tenggara sehingga ke Indo-China, ke Pulau Madagaskar, Afrika dan Pulau-pulau di Pasifik dapat berbahasa Iban atau mengetahui maksud dalam bahasa Iban sekiranya tidak mempelajarinya. Freeman (1980) mengatakan bahasa Iban mempunyai sejarah perkembangan dan ketulenan lebih 5000 tahun yang lalu. Dalam masyarakat Iban ianya menunjukkan bahasa Iban  itu sendiri memiliki ketulenan apabila digunakan dalam banyak soal kehidupan mereka.

Faktor Pengukuhan Bahasa Iban

Bahasa Iban mempunyai aglutinatif, bermakna ianya berasaskan daripada kata imbuhan kepada kata akar. Perkembangan bahasa Iban berpegang kepada sifat penerimaan dan kelenturan morfologi. Bahasa Iban mempunyai aspek pengayaan leksikon dan kelainan berbanding bahasa lain. Menurut Chemaline et al. (2011) perkembangan bahasa Iban berlaku  berikutan daripada kemajuan gaya hidup serta disokong elemen-elemen lain dalam kata akar, imbuhan awalan, penambahan, dan elemen-elemen lain yang terdapat dalam morfologi bahasa Iban.


Bahasa Iban mempunyai sepuluh huruf vocal /a/, /a’/, /e/, /e’/, /i/, /i’/, /o/, /o’/ dan /u/, /u’/.  Satu perkara yang membezakan bahasa Iban dari segi sebutan ialah fitur fonetik huruf vokal yang memiliki glotis. Ini bermakna, huruf vokal dalam bahasa Iban disebut sekaligus dan vocal yang disebut bersekat glottis. Huruf vocal yang bersekat glotis hanya terdapat pada hujung perkataan sahaja. Sebagai contoh, /a/ dalam perkataan /naga/ berbunyi terbuka tetapi /a’/ dalam perkataan /naga’/ berbunyai glotis. Fitur  vokal dan glotis dalam bahasa Iban menjadikan kelebihan unik dalam bahasa Iban di mana memilik acuannya tersendiri. Walau bagaimanapun, dalam aktiviti penulisan ianya tidak ditulis. Perkataan yang berakhir huruf vocal berbunyi glotis hanya nyata dalam lisan sahaja. Oleh yang demikian, bahasa Iban mempunyai jati diri yang praktikal dalam menyampaikan maksud tertentu supaya dapat meliputi sesebuah konsep itu dengan menyeluruh (Chemaline, 2011).

Dari segi linguistik, bahasa Iban mempunyai enam huruf; vokal a(pepet), e(taling), idan u. Jadual 1.0 menunjukkan huruf-huruf vocal dalam bahasa Iban.
Jadual 1.0: Huruf-Huruf Dalam Bahasa Iban
Huruf
Simbol
Hadapan
Tengah
Belakang
a
a
api
tali
jaga
e pepet
e
empai
sepan
-
e taling
e
-
-
chire
i
i
iru
dinga
mali
o
o
oksigen
koma
chunto
u
u
ubi
buka
biru
Sumber : Kementerian Pelajaran Malaysia: PPK (2000)

Bagi huruf-huruf konsonan, bahasa Iban memiliki dua puluh satu kesemuanya. Huruf-huruf konsonan /b, c, d, f, g, h, j, k, l, m, n, p, q, r, s, t, v, w, x, y, z/.  Sebilangan  perkataan yang tumbuh menggunakan huruf konsonan, misalnya /ch/, /ng/ dan /ny/. Contoh konsonan sebegini dalam perkataan adalah seperti /ch/ dengan perkataan /charik/ (koyak); /ng/ dengan perkataan /ngaum/ (menyokong); /ny/ dengan perkataan /nyabak/ (menangis). Terdapat dua cara menekankan bunyi perkataan dalam bahasa Iban, iaitu tekanan premier dan tekanan skunder. Contoh, dalam penggunaan tekanan premier /ch/ dalam perkataan /charik/ (koyak) dan penggunaan tekanan skunder dalam perkataan /pechah/ (pecah). Bermakna, bunyi sebutan yang bersifat lembut /eh/ wujud di tengah-tengah perkatan bahasa Iban. Tuntasnya, cara sebutan yang bersifat lembut melambangkan intonasi bahasa Iban yang baik dan beradab. Sebutan yang betul memperlihatkan ketinggian standard dalam bahasa Iban yang digunakan sehari-hari. Jadual 2.0 juga turut memperlihatkan huruf-huruf konsonan di dalam bahasa Iban.
Jadual 2.0: Huruf-Huruf Konsonan Dalam Bahasa Iban
Huruf
Simbol
Hadapan
Tengah
Belakang
b
b
batu
sabut
bab
c
ch
chabut
bacha
-
d
d
dapur
puda
abad
f
f
fosil
sulfur
tarif
g
g
gerah
agi
beg
h
h
hari
sehari
rumah
j
j
jari
gaji
kolej
k
k
kami
aku
pandak
l
l
lima
malam
tikal
m
m
minta
amat
kasam
n
n
nadai
tanah
ikan
p
p
nadi
apai
asap
q
q
Quran
-
-
r
r
raban
kara
achar
s
s
sukat
asuh
panas
t
t
tiga
ketup
sekut
v
v
vitamin
universiti
-
w
w
wai
lawa
-
x
x
xeroks
-
-
y
y
yu
ayuk
x-ray
z
z
zoo
plaza
kuiz
ng
ng
ngajat
angin
pisang
ny
ny
nyamuk
anyut
-
Sumber : Kementerian Pelajaran Malaysia : PPK (2000)
Menurut Profesor Dato’ Asmah Haji Omar (1995) dalam kertas kerja yang dibentangkan oleh beliau dalam forum “Pandangan Terhadap Sistem Ejaan Bahasa Iban Yang Disediakan oleh Dayak Cultural Foundation: Atur Sepil Jaku Iban”mendapati perkaitan atau hubungan yang mendalam dengan bahasa Melayu. Usaha ini dijadikan platform dalam menggubal ssstem ejaan yang mantap bagi bahasa Iban yang standard dan baik. Dalam ketetapan yang telah diambil, pemilihan prinsip lingustik, ketulenan, kesederhanaan, fleksibel, dan praktikal diambil kira dalam memurnikan aspek ejaan dan tatabahasa bahasa Iban yang standard.

Dewasa kini, bahasa Iban yang dipelajari di sekolah rendah dan menengah di negara ini adalah selaras denga  Akta Pendidikan 1996. Kurikulum bahasa Iban di sekolah rendah mempunyai kesenambungan dengan sekolah menengah. Kurikulum bahasa Iban turut menekankan aspek kemahiran pelajar menguasai bahasa Iban selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang ingin melahirkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan bangsa Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Bahasa Iban yang dimartabatkan sebagai mata pelajaran opsyen di sekolah menyahut cabaran agar objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai. Aspek-aspek yang berkaitan dengan kemahiran berbahasa, mendengar, lisan, membaca dan menulis merupakan intipati organisasi kurikulum bahasa Iban. Dengan ini juga selaras dengan pengajaran bahasa Melayu di sekolah sekarang. Pengisian kurikulum bahasa Iban mempunyai kepelbagaian aspek bahasa yakni sistem bahasa, tatabahasa, morfologi, sintaksis, pengayaan istilah, ejaan, sebutan dan intonasi, peribahasa dan kata ganda. Kesemua aspek ini turut mempunyai persamaan dengan bahasa Melayu yang diajar di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Penutup

Kajian yang berkaitan dengan bahasa suku kaum Iban mempunyai sedikit perkaitan dengan bahasa Melayu. Kajian Asmah Hj. Omar (2008), bahasa Iban dengan bahasa Melayu mempunyai 63% bekognat memperlihatkan hubungan kekerabatan kedua-dua bahasa tersebut. Tambahan pula, pendapat mengatakan bahasa Iban dan bahasa Melayu serumpun dalam cabang Austronesia mengukuhkan lagi pertalian kedua-dua bahasa ini. Walau bagaimanapun, unit linguistik dalam bahasa Iban mengandungi struktur dan fungsinya yang tersendiri wajar diutamakan agar tidak bertindih dengan bahasa lain. Keadaan ini perlu diberi perhatian memandangkan bahasa Iban boleh berdiri dengan sendiri selari dengan keutuhan dan identitinya sebagai bahasa ibunda bagi kaum Iban di Sarawak.

Perkembangan bahasa Iban sejak dari dulu sehingga sekarang memperlihatkan pertumbungan yang pesat. Bermula sebagai bahasa lisan sehingga menjadi bahasa ilmu dan komunikasi yang penting sekarang menunjukkan bahasa Iban dapat diterima oleh semua pihak yang ingin melihat kemajuan bahasa ini setapak lagi. Usaha lain yang menjadikan bahasa Iban sebagai aset maha penting dan warisan kaum Iban wajar diperkukuhkan sebagai simbol keutuhan negara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Rujukan:

Asmah Hj. Omar (2008). Ensaiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A.A. Cence dan M. Uhlenbeck (1958). Critical survey of studies on the language of Borneo. Gravenhage: Martinus Nihoff.

Chameline Osup & Padang Luna (2011). Morfologi Jaku Iban: Malin nembiak enggau
 pengajar. Tanjong Malim, Perak: Pencetakan Salam Sdn. Bhd.

Freeman, D. (1980). Some reflections on the nature of Iban society. Canbera: Australian
            National University, Advanced School of Pacific Studies.

Jabu Numpang (1989). “Keynote Address on The culture of Sarawak : An overview’ dlm.The Sarawak Museum Journal. Vol.2.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2000). Sukatan Pelajaran, Bahasa Iban. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

 Mohd Taib Osman (1988). Bunga Rampai Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
            Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa, Abdul Hamid Mahmood (2004).Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Padang Luna & Chemaline Osup (2011). Fonologi Jaku Iban : Malin nembiak enggau
 pengajar. Tanjong Malim, Perak:  Percetakan Salam Sdn Bhd.


Rujukan Internet:



No comments:

Post a Comment