1.0 Pengenalan : Falsafah Pendidikan
Kebangsaan
Pada tahun 1982, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
(KBSR) telah dilaksanakan secara percubaan di 305 buah sekolah seluruh
Malaysia. Menyorot kembali latarbelakang penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
Jawatankuasa Kabinet telah memberi perhatian serius kepada pembangunan
kemanusiaan. Tindakan untuk menterjemahkan perkara tersebut telah menjelma
dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah seperti yang ternyata dalam huraian
matlamat pendidikan sekolah rendah di bawah:
“…matlamat pendidikan rendah
adalah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh. Perkembangan ini
meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak,
nilai-nilai estetika sosial.”
(Kurikulum Baru Sekolah Rendah, 1991:5)
2.0 Falsafah Pendidikan Kebangsaan , matlamat, dan objektif
(a) Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan merupakan tonggak kemajuan, sama ada kemajuan individu,
masyarakat mahupun negara. Pendidikan juga menentukan corak manusia dan
masyarakat. Manusia yang berpendidikan lebih berdisiplin berbanding manusia
yang tidak mendapat pendidikan sempurna. Pendidikan yang sempurna dan berkesan
dapat diperoleh apabila wujud satu sistem yang teratur. Dalam sistem itu digarisi visi dan misi,
matlamat, peraturan dan undang-undang. Antara
aspek pendidikan sempurna dan bersistem ialah apabila digubal satu falsafah
pendidikan yang seragam untuk semua bangsa dalam sebuah negara berdaulat. Pada
awalnya, falsafah pendidikan dalam sistem pendidikan Malaysia dinamakan
Falsafah Pendidikan Negara, sebagaimana di bawah.
Pendidikan di
Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Sekitar akhir tahun 1990-an, penyataan falsafah
pendidikan itu disemak dan diperkemaskan. Kini ia dikenali sebagai Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, sebagaimana di bawah.
Pendidikan di
Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk
melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara.
(b) Matlamat Pendidikan
Bagi mencapai
pelaksanaan falsafah, Kementerian Pendidikan telah merangka satu sukatan
pelajaran bagi setiap subjek yang diajar di sekolah. Bagi mata pelajaran Bahasa
Melayu dinamakan Sukatan Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa
Melayu untuk digunakan di sekolah rendah, manakala Sukatan Pelajaran Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Bahasa Melayu untuk kegunaan di sekolah
menengah. Dalam sukatan berkenaan digarisi satu matlamat pendidikan, iaitu;
Matlamat
kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan
keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan ini untuk
memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian.
(c) Objektif Pendidikan
Setiap sukatan mata pelajaran
bagi sekolah rendah dan menengah mempunyai objektif masing-masing. Objektif ini
akan berubah-ubah setiap kali semakan dilakukan. Hal ini bagi memenuhi
keperluan semasa dan demi satu sistem pendidikan yang berkesan. Objektif Sukatan
Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa Melayu (edisi semakan)
cetakan tahun 2003 ialah sebagaimana di bawah;
I. mendengar
dengan teliti serta memahami dan menghayati pengucapan dalam konteks perbualan
harian dan situasi formal;
II. bertutur dengan
petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai situasi;
III. berbincang dan berkongsi pendapat untuk
menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan, dan membuat keputusan tentang
sesuatu perkara;
IV. membaca pelbagai bahan sastera dan
bahan berunsur pengetahuan dengan menggunakan teknik membaca yang sesuai dan
berkesan untuk memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis;
V. menyemai budaya membaca sebagai satu
amalan dalam kehidupan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan;
VI. memperkembang kekuatan imaginasi,
kreativiti, pemikiran kritis dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti
bertutur, membaca dan menulis;
VII. mengenali dan menghasilkan pelbagai
jenis penulisan bentuk kreatif dan berunsur pengetahuan dengan menggunakan
kemahiran menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul;
VIII. menggunakan bahasa baku yang meliputi
ejaan, kosa kata, tatabahasa, dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar,
bertutur, membaca, dan menulis;
IX. menghargai dan menghayati keindahan
bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu; dan
X. menghayati dan
mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme, dan perasaan
cinta akan negara.
No comments:
Post a Comment