GLOBALISASI BARAT TELAH
BERJAYA MERESAP DAN MENDOMINASI TERHADAP BUDAYA ISLAM
PENGERTIAN GLOBALISASI
Globalisasi sering dikaitkan dengan proses menjadikan dunia satu perkampungan
sejagat yang berkembang pesat sejak akhir-akhir ini. Thomas Friedman, di
dalam bukunya The Lexus and The Olive Tree menganggap globalisasi sebagai
'Orde Baru Dunia' yang diwarwarkan kuasa-kuasa Barat selepas tamatnya Perang
Dingin dengan blok Komunis. Ramai mengaitkan globalisasi dengan ideologi
neo-liberalisme yang kini menjadi pilihan begitu banyak kuasa-kuasa dunia. Ada pelbagai definisi mengenai gelombang persejagatan yang melanda dunia
dewasa ini. Namun secara umumnya, bolehlah diertikan bahawa globalisasi
membawa erti proses saling-pergantungan yang makin meningkat bagi seluruh
dunia yang semakin kecil. Dunia semakin hari menjadi entiti yang 'satu'.
Definisi yang komprehensif mengenai globalisasi ialah proses perubahan dalam
segala aspek yang mengecilkan dunia menjadi perkampungan sejagat.
KONSEP DAN TEORI GLOBALISASI
Dewasa ini, istilah “globalisasi” diberi beberapa pengertian dan difahami di
dalam pelbagai konteks penggunaannya. Berikut adalah beberapa
definisi dan penjelasan tentang globalisasi. Menurut Princeton N. Lyman, Felo
Kanan di Institut Keamanan, Amerika Syarikat dan bekas Duta negara itu ke
Afrika Selatan, globalisasi biasanya diertikan sebagai merujuk kepada “rapid
growth of interdependency and connection in the world of trade and finance.”
Tetapi beliau sendiri berpendapat bahawa globalisasi tidak boleh dihadkan
kepada fenomena perdagangan dan pengaliran kewangan yang berkembang dan kian
meluas. Ini kerana “There are other trends driven by the same explosion of
technological capability that have facilitated the financial changes.
Globalization of communications is one such trend.”
Dalam terbitan yang menjelaskan agenda penyelidikannya, Pusat Kajian
Globalisasi dan Regionalisasi,
Globalisasi yang diberi erti luas ini adalah suatu hakikat yang tidak dapat
dipertikaikan. hakikat yang dinamakan globalisasi itu sebenarnya sudah wujud
sebelum istilah globalisasi diperkenalkan lagi. “Globalization was a reality
without a name.” Globalisasi tanpa nama ini sudah wujud bukan sahaja dalam
era penjajahan dan imperialisme Barat yang bermula di sekitar tahun 1500
tetapi juga sebelumnya dalam era tamadun Islam menguasai dunia. Malahan trend
globalisasi dalam era dominasi Islam pula dapat dikesan akar umbinya ke zaman
pra Islam. Pada sifatnya, imperialisme adalah suatu bentuk globalisasi.
Paling tidaknya, ia boleh dianggap sebagai agen globalisasi. Setiap
imperialisme mempunyai kecenderungan untuk menglobalisasikan objek-objek
tertentu. Dari segi ini, kita boleh memperkatakan bahawa sebelum Islam,
tamadun Romawi dan tamadun Parsi telah mencetuskan trend-trend tertentu
globalisasi dalam eranya atau pun memperpesatkan trend-trend yang sedia ada.
Dalam membuat dakwaan bahawa globalisasi adalah suatu kenyataan sebelum zaman
kontemporari. Terdapat perbezaan ketara antara globalisasi dalam satu era
dengan globalisasi dalam era yang lain. Namun demikian, perbezaan itu bukan
dari segi sifat tetapi dari segi ciri-cirinya.
Fenomena globalisasi boleh dikiaskan sebagai gelombang yang melanda dunia.
Gelombang globalisasi pada zaman moden lebih besar, kuat dan laju daripada
gelombang globalisasi dalam era Islam. Tetapi gelombang
globalisasi zaman pasca moden lebih besar lagi, lebih perkasa dan lebih
pantas lagi jika dibandingkan dengan gelombang globalisasi zaman moden.
GLOBALISASI DALAM ERA DOMINASI ISLAM
Globalisasi dalam era Islam tertonjol dalam empat bidang, iaitu bidang ilmu,
bidang ekonomi khususnya perdagangan, bidang agama dan bidang sains dan
teknologi. Bukanlah suatu perkara yang menghairankan kita kalau Islam muncul
sebagai pencetus dan penggerak utama globalisasi pada masa lampau atau pada
bila-bila masa. Sesebuah kuasa atau sesuatu peradaban tidak boleh menjadi
penggerak globalisasi sekiranya ia tidak memiliki semangat globalisme. Adalah
suatu kebenaran bahawa “tidak ada globalisasi tanpa globalisme.” Islam
mempunyai semangat globalisme dan sangat berminat untuk melihat segala
persoalan kemanusiaan dari perspektif global. Salah satu sumbangan besar
Islam terhadap peradaban dunia ialah semangat globalisme dan kesejagatan yang
telah dipupuknya dan ditiupnya ke segenap penjuru dunia. Semangat inilah yang
telah memungkinkan Islam menjadi pengasas penulisan sejarah dunia, ilmu
perbandingan agama, sosiologi, tradisi sains sejagat, institusi saintifik
bertaraf “antarabangsa” dan penggembaraan dunia. Tanpa terasas semua amalan
yang berdimensi global ini, sudah pasti kemajuan dunia dan proses globalisasi
di zaman-zaman berikutnya lebih perlahan.
Di samping mempunyai semangat globalisme, Islam juga mempunyai institusi yang
berperanan besar dalam meniupkan roh globalisasi di sepanjang zaman.
Institusi haji merupakan agen terpenting globalisasi dalam peradaban Islam.
Peranan institusi ini memang unik. Ia mencetuskan dan menggerakkan
globalisasi dalam berbagai-bagai bidang termasuklah globalisasi maklumat dan
ilmu dan globalisasi politik. Oleh kerana institusi ini kekal sifatnya, maka
peranannya sebagai agen terpenting globalisasi dalam Islam juga berkekalan.
Hari ini pun, pada ketika dunia Islam tidak bermaya menghadapi cabaran globalisasi
kontemporari, institusi hajilah satu-satunya institusi yang dapat menjamin
semangat globalisme akan terus dihayati oleh dunia Islam.
Ilmu adalah salah satu penggerak utama peradaban Islam. Sikap positif Islam
terhadap semua jenis ilmu pengetahuan telah memungkinkan tercetusnya
gelombang pertama globalisasi ilmu yang pernah disaksikan oleh dunia. Dalam
zaman kemegahannya, institusi ilmu seperti universiti betul-betul telah
berperanan sebagai agen globalisasi ilmu dalam pengertian yang difahami hari
ini. Pelajar-pelajar bukan Islam dari Cina di sebelah Timur dan dari England
sebelah Barat seperti Roger Bacon dari Oxford telah menuntut di pusat-pusat
ilmu dunia Islam untuk menimba ilmu pengetahuan. Sebagai salah satu kesan
globalisasi ilmu ini, bahasa Arab telah diglobalisasikan sebagai bahasa
ilmiah antarabangsa yang perlu dipelajarai oleh sesiapa juga yang inginkan
kemajuan pada masa itu. Mulai kurun kesepuluh Masehi, bahasa Arab telah
diajar di pusat-pusat ilmu di Jerman, Perancis, England, dan Itali.
Kepantasan penyebaran ilmu terkini juga mengkagumkan. Telah dilaporkan bahawa
dua saintis agung Islam, Ibn Sina dan al-Biruni yang hidup sezaman pada kurun
kesepuluh telah berdebat di Asia Tengah tentang beberapa isu saintifk.
Beberapa hari kemudian, perbahasan itu telah heboh diperkatakan oleh para
ilmuwan di Sepanyol. Ini menunjukkan tahap globalisasi ilmu yang telah
dicapai dalam era pra internet.
Globalisasi moden tidak mungkin menjadi suatu kenyataan sekiranya tidak ada
tradisi pelayaran dan penggembaraan global sebelumnya. Kemunculan peradaban
Islam sebagai sebuah peradaban global telah membuka suatu era baru dalam
dunia pelayaran dan pengembaraan. Faktor-faktor khusus yang telah
merevolusikan dunia pelayaran dan pengembaraan dalam era Islam dan perihal
banyaknya tertulis kisah-kisah pengembaraan telah diterangkan oleh Seyyed
Hossein Nasr seperti berikut:
The vastness of the Islamic world, and the unity imposed upon it by a common
law, sacred language and cultural elements, facilitated travel to the
farthest regions by both land and sea. The accounts of these travels, which
vary greatly in quality, provide a precious source for the study of many
different human societies, as well as of aspects of natural history and
geography. There is hardly a region which some traveler did not visit,
whether in Central Africa, in northern Europe or in the farthest confines of
Selama empat kurun, iaitu dari kurun kesepuluh hingga ke kurun keempatbelas
Masehi, pelayar-pelayar Islam menjadi “raja laut” yang tidak ada tandingan.
Inilah zaman pengembaraan yang telah menghasilkan legenda Sinbad the Sailor
dalam kisah SeribuSatu Malam yang masih mempesona imaginasi dunia. Kemajuan dalam bidang pelayaran berkaitrapat dengan kemajuan komunikasi
dan globalisasi perdagangan. Maka bukanlah secara kebetulan sahaja bahawa
tempoh empat kurun yang dinyatakan tadi merupakan tempoh Islam mendominasi
perdagangan dan ekonomi dunia. Terdapat suatu pertalian dan interaksi yang
dinamis antara dua bidang itu. Kalaulah hari ini peniaga-peniaga Jepun,
Amerika dan Eropah membanjiri dunia Islam untuk urusan perniagaan dan
perdagangan, di masa lampau dalam kurun-kurun yang tesebut di atas
peniaga-peniaga Islam yang membanjiri pasaran dunia. Di negeri Cina, salah
sebuah pusat perniagaan terkemuka di dunia pada zaman itu, masyarakat
peniaga-peniaga Islam yang datang dari serata dunia Islam agak besar dan
mereka amat dihormati. Ibn Battuta yang pernah melawat negara itu pada kurun
keempatbelas Masehi telah merakamkan pemerhatiannya:
In every Chinese city there is a quarter for Muslims in which they live by
themselves, and in which they have mosques both for the Friday services and
for other religious purposes. The Muslims are honoured and
respected.......When a Muslim merchant enters any town in China, he is given
the choice between staying with some specified merchant among the Muslims
domiciled there, or going to a hostelry.
Rantau Nusantara yang terletak di kawasan geografi yang amat strategik di
tengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa yang menghubungkan Timur dan
Barat telah menerima pengaruh dan kesan besar daripada globalisasi ekonomi
era Islam ini. Berkat gelombang globalisasi ekonomi ini,
alam Melayu telah menerima kedatangan kaum pedagang Islam yang singgah atau
bermastautin di sini. Sebagai salah satu kesan utamanya, agama Islam mula tersebar di
dunia sebelah sini. Pada hari ini terlalu sukar untuk kita bayangkan kaum
pedagang boleh menjadi pengembang agama. Budaya pedagang moden dan
kontemporari tidak serasi dengan tuntutan “budaya bermartabat tinggi” (high
culture) sama ada budaya agama atau budaya intelektual.
Oleh yang demikian, adalah suatu yang terpuji bahawasanya kaum pedagang Islam
telah memberi sumbangan signifikan terhadap pengembangan agama Islam di
rantau ini. Zaman yang sama juga telah menyaksikan
peningkatan globalisasi keagamaan menerusi aktiviti global dakwah Islam.
Kedatangan Shaykh Isma’il, utusan Sharif Mekah, ke Samudra pada kurun
ketigabelas M. untuk berdakwah dengan disertai oleh bekas Raja Ma’abri
(Coromandel coast), Sultan Muhammad, yang sanggup turun takhta demi dakwah
dan kedatangan Makhdum Karim (Tuan Sharif Awliya’) ke Sulu pada kurun
keempatbelas M. untuk menyebarkan Islam di kawasan itu harus dilihat dalam
konteks globalisasi dakwah yang mendapat momentum baru mulai kurun
ketigabelas M. Sebagai akibat dua dimensi globalisasi ini, Islam telah
berkembang pesat di alam Melayu. Peradaban Melayu-Islam muncul sebagai
peradaban terbesar dan paling berpengaruh di Asia Tenggara.
Globalisasi ekonomi dalam era Islam juga mengamalkan pasaran dan perdagangan
bebas tetapi amalan itu berdasarkan nilai-nilai kerohanian dan moral seperti
keadilan dan kamakmuran bersama. Peradaban ekonomi yang negara ini perlukan
ialah sistem, institusi dan amalan ekonomi yang didasarkan kepada nilai-nilai
seperti itu. Prinsip-prinsip ekonomi dan ajaran-ajaran lain yang relevan
dengan ekonomi seperti yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
boleh memberi sumbangan besar terhadap usaha untuk membentuk peradaban
ekonomi yang dihajatkan ini. Tetapi malangnya, dari segi teori dan amalannya,
prinsip-prinsip ini agak terbiar. Apa yang disebut-sebut sebagai ekonomi
Islam oleh beberapa kalangan perlu dikaji semula.
Di Barat sendiri ada wacana tentang konsep pembangunan yang berasaskan
keimanan dan kepercayaan agama (faith-based development). Misalnya, baru-baru ini dialog telah diadakan di Universiti Harvard
antara agama-agama tentang konsep pembangunan ini. Dialog itu dianjurkan
oleh beberapa pihak dan beberapa buah badan termasuk World Peace Foundation,
Archbishop of Canterbury, Aga Khan Foundation dan World Bank. Tumpuan
perbincangan ialah kepada pendekatan Islam terhadap isu pembangunan yang
berasaskan keimanan. Institusi ekonomi yang didasarkan kepada ibadat haji dan
prinsip zakat adalah contoh penting pembangunan ekonomi dalam pengertian yang
diperkatakan. Ini menunjukkan bahawa idea pembangunan ekonomi yang
berteraskan ajaran-ajaran Islam boleh diglobalisasikan.
GLOBALISASI DALAM ERA PENJAJAHAN BARAT
Dunia Islam dan peradabannya tidak jatuh seluruhnya serentak. Peradaban naik
dan turun mengikut hukum-hukum alamnya sendiri. Ia tidak naik secara
tiba-tiba dan tidak turun dengan serta merta. Setelah merosot ke suatu tahap,
ia boleh naik semula ke puncak baru. Dalam era yang diperkatakan
ini masih muncul kuasa baru dari kalangan umat Islam. Khasnya, Turki telah
muncul sebagai kuasa dunia yang digeruni Eropah. Seluruh Balkan
ditaklukinya. Tentera Turki mara hingga ke “gates of Vienna.” Tetapi pada
umumnya, proses kemerosotan peradaban Islam telah bermula. Namun demikian, di
tengah-tengah kebangunan Eropah ini dengan kuasa yang kian mendominasi dunia,
Islam terus menerus memberi tentangan dan persaingan hingga ke hari ini.
Globalisasi era kedua ini yang berakhir dengan kemerdekaan bangsa-bangsa yang
telah dijajah oleh kuasa-kuasa Barat bolehlah dilihat sebagai pertarungan
sengit antara kuasa-kuasa Barat dan kuasa-kuasa Islam dan sebagai perebutan
pengaruh antara peradaban Barat dan peradaban Islam. Dari segi pandangan
kuasa-kuasa Barat sendiri, semangat globalisasi dalam gelombang kedua ini
disemarakkan oleh tiga G yang masyhur, iaitu God, Gold and Glory. Dalam
bahasa Melayunya, 3 K, iaitu “Ketuhanan, Kekayaan dan Keagungan.” Amat
mustahak kita memahami semangat tiga G ini sekiranya kita ingin menyelami
psiki (psyche) Barat yang mendorong mereka untuk mendominasi bukan sahaja
globalisasi era penjajahan ini tetapi juga globalisasi kontemporari. Ada
kesinambungan semangat antara dua era globalisasi ini.
GOD ( KETUHANAN )
Barat berminat untuk menyebarkan agama Kristian ke seluruh dunia. Agama
Kristian macam juga agama Islam adalah agama tabligh. Tetapi Islamlah yang
mula-mula menglobalisasikan agama. Dunia Barat menglobalisasikan agama
Kristian sebagai reaksi dan persaingan kepada Islam yang telah pun menjadi
agama global. Fakta ini akan terus menjanjikan perebutan pengaruh dan
pengikut antara dua agama ini. Implikasi politiknya juga banyak. Sepanyol dan
Portugal yang merupakan dua kuasa dunia terawal dari Barat dalam era
globalisasi yang diperkatakan ini telah berjaya menjadikan benua Amerika
Selatan sebagai benua Katolik. Asia Tenggara turut menerima kesan globalisasi
agama Sepanyol yang mula tiba di kawasan ini di pertengahan kedua kurun
keenambelas M. Kepulauan Filipino telah diKristiankan. Hanya keberanian dan
kegagahan bangsa Moro yang telah menyekat kemaraan Kristianisasi ke Filipina
Selatan. Apa pun, konflik 300 tahun di Filipina Selatan yang masih berterusan
adalah kesan berpanjangan globalisasi agama yang diterajui oleh Sepanyol. Walaupun
selepas kurun ketujuhbelas M pengaruh agama Kristian di Barat mengalami
kemerosotan, namun di Afrika dan Asia agama itu terus berkembang. Dewasa ini, banyak kumpulan gereja di Barat bergerak cergas sebagai agen
globalisasi agama Kristian. Kumpulan evangelical muncul sebagai penggerak yang paling aktif
dan agresif.
GOLD ( KEKAYAAN )
Kuasa-kuasa Barat berminat untuk mengaut kekayaan tanah jajahan untuk dibawa
pulang ke negara masing-masing. Perebutan emas dan sumber kekayaan lain di
tanah jajahan di tiga benua dan monopoli perdagangan dunia merupakan
penggerak utama globalisasi era ini. Mereka telah
berperang sesama sendiri kerananya. Alam Melayu terjejas bermacam cara dengan
konflik di kalangan kuasa-kuasa kolonial ini. Khususnya, pembangunan dan kemajuan
peradaban Melayu-Islam terjejas teruk.
GLORY ( KEAGUNGAN )
Dunia Barat telah mempunyai tanggapan yang berubah-ubah mengikut perubahan
zaman. Di peringkat awal era penjajahan ini, maksud “glory” yang meliputi ide
kebanggaan dan kemegahan ditujukan kepada raja dan bangsa. Kemudian, apabila
timbul kesedaran meluas terhadap hakikat peradaban Barat yang dikongsi
bersama oleh pelbagai bangsa Eropah, konsep keagungan mula dipindahkan kepada
peradaban Barat. Hari ini yang diagungkan ialah nilai-nilai Barat seperti
nilai dan sistem demokrasi, yakni sistem pemerintahan. Dalam
konteks zaman ini, tiga G merujuk kepada “gold, governance, and God.”
BUKTI GLOBALISASI BARAT TELAH BERJAYA MERESAP DAN MENDOMINASI TERHADAP BUDAYA
ISLAM :
KESAN POSITIF GLOBALISASI BARAT
(1) Wujudnya peranan pelaburan asing (FDI) dalam mewujudkan pekerjaan dan
mengurangkan kemiskinan di sebilangan negara.
(2) Wujudnya peningkatan mobiliti sosial dan pengukuhan kelas menengah.
(3) Wujudnya peluang yang lebih luas untuk mendapatkan maklumat dan
menyebarkan ilmu pengetahuan berkat teknologi baru komunikasi dan maklumat.
(4) Wujud komunikasi yang lebuh mudah dan juga murah.
(5) Wujud peluang yang lebih luas untuk manusia dari berbagai-bagai kumpulan
etnik, budaya dan agama berinteraksi.
(6) Wujud peluang lebih luas untuk menzahirkan simpati dan rasa
keperimanusiaan mereka terhadap mangsa-mangsa pelbagai jenis bencana alam dan
tragedi buatan manusia di seluruh dunia.
(7) Wujudnya penonjolan idea-ide dan amalan pemerintahan yang baik seperti
pertanggungjawaban awam, peraturan undang-undang dan hak-hak asasi manusia
(8) Telah berlakunya penonjolan hak-hak asasi kaum wanita.
KESAN NEGATIF GLOBALISASI BARAT
1) kualiti alam sekitar semakin merosot sebagai akibat terlalu mementingkan
faktor keuntungan.
2) Pembangunan yang tidak seimbang dan jurang perbezaan ekonomi yang semakin
melebar antara kawasan-kawasan di sesebuah negara dan antara sektor-sektor
ekonomi.
3) Pengabaian keperluan asas hidup di kalangan rakyat termiskin di banyak
negara terutamanya di negara-negara Selatan
4) Modal jangka pendek yang keluar masuk pasaran seperti kilat sebagai akibat
amalan baru yang menjadikan wang sendiri sebagai komoditi keuntungan.
5) Pengangguran yang semakin memburuk dan jurang perbezaan pendapatann yang
semakin melebar di negara-negara Utara sendiri.
6) Penyebaran budaya pengguna yang bertentangan dengan tuntutan nilai-nilai
kerohanian dan moral yang murni dan yang merendahkan martabat keinsanan
manusia.
7) Kecenderungan ke arah pembentukan suatu budaya global yang homogen
menerusi peranan yang dimainkan oleh perbadanan transnasional dan media
komunikasi global.
8) Penyebaran budaya pop Amerika yang “menyegarkan pancaindera dan mematikan
roh”.
9) Kecenderungan pusat-pusat pengajian tinggi untuk memberi keutamaan kepada
kursus-kursus ilmu pengurusan dan teknik dengan mengabaikan kursus-kursus
ilmu kemanusiaan dan kemasyarakat.
10) Pembanjiran maklumat yang tidak berguna.
11) Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah memanipulasikan isu-isu
demokrasi dan hak-hak asasi manusia untuk mendominasi politik dunia.
12) Pengantarabangsaan jenayah yang menyukarkan jenayah dibendung.
13) Pengantarabangsaan penyakit.
GLOBALISASI DARI PERPSEKTIF ISLAM
Bagaimana sebenarnya hubungan Islam dan proses globalisasi ini? Meskipun hari
ini globalisasi makin dilihat sebagai hegemoni Barat-Kristian yang
berkiblatkan Amerika, sifat Islam sendiri sebagai satu agama yang sejagat
memperlihatkannya memainkan peranan aktif di dalam fenomena sedunia sejak zaman
Rasulullah s.a.w. lagi. Islam dianggap agama yang benar-benar universal dari
segi penganutnya, jika dibandingkan dengan agama-agama lain. Islam
menganjurkan semangat inquisition yang meniupkan semangat kepada peneroka dan
ilmuwan menjelajah dunia mencari ilmu pengetahuan.
Kini kuasa globalisasi sedang mengubah pasaran antarabangsa merentasi jarak
geografi dan sempadan negara-bangsa. Ekonomi satu-satu negara tidak lagi
mampu memencilkan diri mereka dari arus perubahan di luar, kerana wujudnya
saling pergantungan antara satu ekonomi dengan ekonomi yang lain.
Negara-negara Islam seringkali dilihat agak ketinggalan di arus ini,
khususnya di Asia Selatan dan di Afrika.
Peradaban yang dibawa oleh Islam sendiri adalah peradaban yang memanfaatkan
globalisasi. Islam adalah antithesis kepada pemikiran 'katak di bawah
tempurung'. Sarjana-sarjana Islam dahulu mengamalkan pemikiran terbuka untuk
mempelajari ilmu pengetahuan dari peradaban Rom, Yunani dan India. Ibnu
Rusyd, misalnya, dikenali sebagai seorang Muslim yang warak meskipun mengkaji
falsafah Aristotle. Ibnu Sina, disamping penemuan yang dilakukan menerusi
kajiannya sendiri, turut menerima inspirasi dari kajian-kajian sarjana purba
Yunani di dalam menghasilkan magnum opusnya, Al Qanun Fi Al Tibb. Semangat ini
boleh dilihat bercambah dari ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah
s.a.w. - Iqra' atau "Bacalah".
Namun globalisasi hari ini banyak membawa kerugian kepada umat manusia,
memfakirkan lagi (dari segala aspek) golongan mustadhifin. Dunia barat sering
mahukan sistem nilai mereka diaplikasikan di seluruh dunia. Mereka mahu
segala tamadun di dunia ini menerima seks bebas, sekularisme, homoseks dan
individualisme, tanpa memikirkan kompleksiti peradaban-peradaban lain. Bagi
Islam, nilai-nilai Islam meskipun bersifat akomodatif dan progresif kepada
perubahan zaman, aspek-aspek fundamental teguh dan tidak berubah iaitu masih
berbalik kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Persejagatan budaya menerusi media
mencabar nilai-nilai Islam di alam masyarakat. Menurut Professor Salleh
Yappar dari USM, sekiranya tidak diawasi, globalisasi maklumat dan media
boleh meruntuhkan kesatuan institusi dan masyarakat Islam.
Kita lihat bagaimana ramalan Martin Khor pada 1995, betapa "Bagi kami di
dunia ketiga, globalisasi sudah kami kenali berabad-abad yang lampau sebagai
imperialisme," menjadi kenyataan. Tahun demi tahun, kuasa kerajaan
semakin terhakis, dan berpindah milik kepada entiti-entiti multinasional
gergasi. Badan-badan korporat baru hari ini cuba mempamerkan diri mereka
sebagai badan yang mempunyai perkiraan sosial, setelah bertahun-tahun
menindas pekerja dan alam sekitar. Kita lihat bagaimana umat Islam di Aceh
ditindas syarikat petroleum antrabangsa, Exxon-Mobil. Malangya, dosa bukan
bulat-bulat pada badan-badan korporat, tetapi juga tercalit di tangan-tangan
pimpinan Islam.
Dunia Islam menguasai sebahagian besar pengeluaran petroleum antarabangsa -
namun rakyat di negara-negara pengeluar minyak, mahupun umat Islam lainnya,
tidak dapat menikmati kekayaan tersebut. Di negara Malaysia dan Indonesia
pula, sebagai contoh, kemaslahatan yang diperolehi dari globalisasi ekonomi
terhad dikalangan suku-sakat pihak tertentu. Peminggiran sesetengah rakyat
dari proses globalisasi ini membawa lahirnya proses penentangan di dalam bentuk
nasionalisme yang sempit dan ekstrim. Dialog-dialog antara negara-negara
Islam hari ini sering menghadapi masalah kepentingan negara-bangsa. Dari segi
globalisasi maklumat dan ilmu, kesan terburuk dimensi ini ialah pembanjiran
maklumat yang tidak berguna. Islam sebagai agama yang menekankan kecintaan
terhadap ilmu dan hikmah memandang dengan cukup serius masalah maklumat dan
ilmu yang tidak berguna. Bahaya maklumat tidak berguna ini perlu diatasi
dengan segera kerana ia boleh membantut usaha kita untuk melahirkan manusia
yang benar-benar berilmu dan usaha mewujudkan budaya ilmu yang sihat. Tradisi
ilmu Islam yang positif perlu dihayati. Maklumat yang tidak benar dan yang
tidak berguna mungkin sukar untuk dibendung daripada terus mengalir ke dalam
masyarakat kita. Kalaupun ia tidak boleh disekat, ia boleh dijawab dengan
maklumat dan ilmu yang benar. Kebenaran perlu disebarkan seluas-luasnya.
Selain masalah bahaya maklumat tidak berguna, kita juga berhadapan dengan
masalah jurang perbezaan peluang untuk mengakses maklumat. Jurang ini antara
rakyat bandar dan rakyat luar bandar semakin melebar. Masalahnya, ia
membabitkan perbezaan antara kaum dan kumpulan etnik. Keadilan dalam bidang
ilmu pengetahuan juga perlu dilihat dalam masyarakat kita.
Merujuk kepada globalisasi politik, kita perlu menghadapi cabaran penyebaran
idea-idea seperti fahaman demokrasi hak-hak asasi manusia dengan berpandukan
ajaran-ajaran yang ada dalam agama dan tradisi kita. Yang nyatanya, wacana
tentang idea-idea tersebut perlu dipertingkatkan. Sebilangan intelektual
Muslim yang menetap di Barat menegaskan bahawa demokrasi bukanlah sistem yang
ideal tetapi mereka juga berpendapat bahawa dalam konteks zaman ini ia
merupakan yang terbaik untuk manusia. Apa pun pandangan kita tentang demokrasi,
isu ini perlu ditangani dalam suasana bebas dan tenang. Kita yakin boleh
diwujudkan sistem demokrasi yang lebih baik lagi dan yang serasi pula dengan
ajaran Islam.
KESIMPULAN
Globalisasi, dari segi konsep, dari segi teorinya sememangnya menghidangkan
kita seribu satu manfaat. Dunia tanpa sempadan dapat memberi peluang kepada
Islam bertapak semakin kuku hdi seluruh pelusuk dunia. Islam menuntut kita
membuka pemikiran kita, jangan jumud, namun tanpa mengorbankan akidah dan
iman kita. Islam tidak mahu globalisasi yang membawa erti Amerikanisasi dan
Kristianisasi budaya dan nilai sejagat. Kita mesti belajar dari satu sama
lain, namun bukan dengan mengubah jati diri kita. Globalisasi menghidangkan
pelbagai cabaran. Cabaran untuk golongan multinasional sedunia menjadikannya
satu proses yang benar-benar membawa manfaat kepada semua. Cabaran kepada
negara-negara Islam untuk mengekalkan jati diri umat Islam disebalik
gelombang perubahan yang makin menekan. Cabaran kepada syeikh-syeikh,
amir-amir, presiden dan perdana menteri negara-negara Islam untuk memberi
peluang kepada segenap lapisan rakyat menikmati manfaat globalisasi. Dan yang
paling penting sekali, cabaran buat individu Muslim membuat keputusan yang
betul berdasarkan Iman dirinya, dengan hadirnya begitu banyak pilihan. Kebaikan globalisasi perlu dimakmurkan dan perlu dimanfaatkan oleh rakyat
negara ini. Keburukannya perlu dihindari dan diatasi sebaik mungkin supaya
budaya Islam ini tidak terjejas.
Rujukan
http://muhtarsuhaili.tripod.com
http://www.geocities.com
http://www.kompas.com
|
Translate
Tuesday, 15 January 2013
Globalisasi Barat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment