Pendidikan peringkat rendah adalah pendidikan yang bertujuan untuk
melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu
dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan hasrat Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Falsafah Pendidikan Negara. Pada peringkat
ini, Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan
status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa
Melayu perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid
berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu,
melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Dalam hal ini proses pengajaran dan pembelajaran
yang baik dan berkesan adalah melibatkan kemahiran yang pelbagai serta
mengintegrasikan unsur-unsur lain supaya menjadi lebih berkesan dan kreatif
adalah amat penting dan berkesan. Peranan guru yang kreatif dan inovatif juga
penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mereka adalah
efektif. Abd. Rahim (1999) menyatakan daya kreativiti yang tinggi membolehkan
sesuatu kaedah atau metod pengajaran
mencorakkan perkembangan minda, emosi,
sikap dan nilai para murid. Manakala inovatif pula ialah kebolehan seseorang
guru memulakan sesuatu yang baru dalam bentuk kaedah, sistem pendekatan dan
sebagainya. Kaedah pengajaran adalah satu siri tindakan guru (cara) yang
sistematik bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan.
Strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di
peringkat sekolah rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian,
pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu
dalam Falsafah Pendidikan Negara. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan
untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid-murid.
Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik
dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan
murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir.
(i)
Pendekatan Teori
Pada
peringkat sekolah rendah pembelajaran
merupakan suatu proses yang berlaku dalam akal fikiran atau lebih dikenali sebagai kognitif dan kesan
dari proses ini akan dapat dilihat melalui perubahan dalam tingkah laku dan percakapan. Bagi memastikan proses
pembelajaran ini akan lebih berkesan kepada murid-murid salah satu teori yang ditemui
ialah Teori Konstruktif. Pengajaran dan pembelajaran (P&P) berdasarkan teori
konstruktif ini menyeimbangkan peranan guru dan murid untuk saling bersandar di
antara atu sama lain. Peranan guru hanya dilihat sebagai pengawal bilik darjah
selain mereka seharusnya menerima murid-murid sebagai individu yang mempunyai ciri-ciri
perlakuan yang berbeza. Melalui teori ini ianya dapat membuka ruang serta peluang
kepada guru untuk memilih kaedah yang sesuai dalam memperolehi sesuatu konsep
dan pengetahuan.
Konstruktif di ambil dari perkataan bahasa
Inggeris ‘konstruktivisme’ yang
membawa maksud falsafah membina. Di bawah konteks pembelajaran teori
konstruktif menganggap bahawa ilmu pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda
tetapi dibina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar iaitu pengetahuan
dibina melalui proses pengaruh di antara pembelajaran terdahulu dengan
pembelajaran terbaru yang berkaitan. Murid-murid membina ilmu pengetahuan
dengan aktif dalam merialisasikan teori ini. Pendekatan teori pembelajaran ini menyediakan
peluang kepada murid-murid untuk membina kefahaman terhadap perkara yang
dipelajari dengan mewujudkan jaringan antara idea serta fakta yang sedang
diajar atau dipelajari.
Peranan guru sebagai pembimbing dan
fasilitator juga dapat membantu dalam mengawal disiplin para murid dengan baik.
Di dalam menghadapi situasi di mana kewujudan murid yang enggan melibatkan diri
di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru seharusnya lebih kreatif
dalam mempelbagaikan aktiviti serta mengajukan pelbagai persoalan sebagai ransangan
terbaik sebagai jaminan keterlibatan aktif murid-murid dalam menemukan idea-idea
terbaru. Melalui teori konstruktif ini kita tidak lagi melihat aktiviti pengajaran
dan pembelajaran berpusatkan murid.
Manakala murid sekali-kali tidak menganggap
guru hanya sebagai pembekal maklumat tetapi sebagai sesuatu dari sumber
pengetahuan untuk membantu mereka mencari maklumat dan peransang bagi mereka
berfikir dan berkomunikasi. Ilmu baru yang terbentuk adalah berasakan kepada
inisiatif diri individu dan perkongsian pandangan di kalangan mereka selain
mengadaptasi setiap pengalaman yang dilalui dengan alam sekeliling sewaktu sesi
pengajaran dan pembelajaran berjalan. Dengan wujudnya lontaran-lontaran idea
dan pengalaman murid ini secara tidak langsung berjaya memecahkan suasana
‘dingin’ di kalangan murid itu sendiri.
Sehubungan dengan pendekatan teori psikolinguistik dan
semantik dalam konteks pendidikan dan pengajaran bahasa di sekolah rendah,
responden (guru) terbabit sangat memahami
teori huraian bahasa sebagai pendapat yang memerihalkan teori dalam
bahasa menurut pandangan satau pemikiran tokoh-tokoh seperti Panini, Bloomfield , Chomsky dan
Halliday berhubung dengan fonologi, morfologi, dan sintaksis. Sebagai seorang
guru yang mengajar bahasa yang baik beliau berupaya menggunakan bahasa Melayu
yang menjurus kepada fungsi sebagai alat komunikasi bagi menggambarkan fikiran
dan emosi murid-murid.
(ii)
Prinsip Pedagogi
Pengajaran dan pembelajaran adalah proses yang berterusan dan tidak statik selari dengan
perubahan-perubahan di sekeliling kita. Dalam era teknologi moden kini,
perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran menuntut profesionalisme guru
mendalami inovasi dalam pedagogi bagi memperbaiki serta memperkukuhkan kapasiti
sebagai seorang pendidik. Bagi mengoptimumkan keberkesanan proses pengajaran
dan pembelajaran terdapat pelbagai teori pembelajaran menjelaskan bagaimana
seseorang belajar. Pendekatan teori-teori pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan penting
dalam menentukan keberkesanan sesuatu pengajaran dan pembelajaran dalam bidang
pendidikan.
Pada pandangan saya pengajaran responden lebih
berasaskan kepada Teori Pembelajaran Konstruktivisme di mana aliran
Behaviorisme, proses pembelajaran individu mensasarkan pengetahuan diperolehi
secara kognitivisme. Kaedah pembelajaran telah ditemui berhubung dengan manusia
sebagai cara untuk mengubah tingkah laku manusia (behavior change) dan potensi (potential
behavior change) yang ada pada seseorang, khususnya murid-murid. Dengan
lain perkataan, proses pembelajaran manusia atau organisma berlaku berasaskan ‘hukum
pekaitan’ (Law of Association) yang
diutarakan oleh ahli Falsafah Yunani awal seperti Aristotle. Ivan Pavlov
seorang ahli psikologi Rusia telah menjalankan satu siri percubaan secara
saintifik dan sistematik mengkaji bagaimana pembelajaran berlaku pada sesutau
organisma. Menurut Ivan Pavlov
(1849-1936) ‘sesuatu organisma akan teringat sesuatu kerana sebelum ini ia
pernah mengalami sesuatu yang berkaitan’. Tambah beliau lagi, ‘Learning is a result on an
association formed between a stimulus (such as food) and a respond (the animal
salivating)’. Dalam kajian ini, anjing telah ‘belajar’ mengaitkan bekas
makanan yang dilihat dengan makanan yang diberikan kelak. Oleh sebab itu,
pemilihan prinsip pedagogi pengajaran yang sesuai untuk sesuatu pelajaran amat
penting supaya penglibatan murid-murid pada tahap optimum.
Bertitik tolak daripada aliran Behaviorisme ini, proses
pembelajaran murid-murid mensasarkan
pengetahuan diperolehi secara kognitivisme. Seorang sarjana, Jean Piaget
mengatakan bahawa kognitivisme adalah perwakilan mental yang dikenali skema.
Skema akan menentukan bagaimana data dan maklumat yang diterima akan difahami
oleh minda manusia. Jika maklumat tersebut sesuai dengan skema yang ada, maka
skema tersebut diterima atau mungkin ditolak atau diubah suai.
Pandangan
kognitivisme telah melahirkan Teori Pembelajaran Konstruktivisme yang
menjelaskan pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir. Dalam
konteks ini, murid-murid tidak menerima sebarang maklumat (pengetahuan) tanpa
berfikir dan menyesuaikannya dengan idea dan maklumat baru selaras dengan
pengetahuan sedia ada mereka. Keadaan ini terbentuk hasil daripada interaksi
sosial[1]
bersama guru dan rakan mereka. Bagi mencapai matlamat ini, guru perlu memilih
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan pelbagai kebolehan dan
minat pelajar.
Teori Konstruktivisme ini merupakan proses pembelajaran
yang mewujudkan bagaimana pengetahuan (knowledge)
disusun dalam minda pelajar. Teori ini bertitik tolak daripada pandangan
aliran Behaviorisme yang mengkaji perubahan tingkah laku sehingga kepada
kognitivism yang mengkaji tentang cara manusia (murid-murid) belajar dan
memperolehi pengetahuan yang menekankan perwakilan mental mereka. Pengetahuan (knowledge) dikembangkan secara aktif
dan lazimnya pembelajaran berpusatkan murid-muirdn(student-centred)[2].
Bruner (1973) turut menyatakan bahawa pembelajaran
merupakan proses di mana murid-murid membina idea atau konsep baru
berdasarkan pengetahuan semasa
mereka. Kelebihan proses ini murid-murid
dapat memilih dan menginteprestasikan maklumat, membina hipotesis dan membuat
keputusan yang melibatkan pemikiran mental (struktur kognitif seperti skema dan
model mental) memberi makna dan
pembentukan pengalaman dan membolehkan
individu ‘melangkau melebihi maklumat yang diberikan’ (Beyond the information given). Justeru, pembelajaran adalah usaha
murid sendiri dan bukannya dipindahkan daripada guru kepada murid. Konsep
‘menuang ilmu’ kepada murid-murid itu sendiri tidak wujud, sebaliknya mereka
berusaha dan menggunakan pengalaman atau pengetahuan sedia ada mereka.
Prinsip pembelajaran teori konstruktisvisme lebih
menekankan aspek pembelajaran (learning)
berbanding dengan pengajaran (teaching).
Kekuatan teori ini memberi peluang dan ruang bagi murid-murid memilih goal (goal), strategi dan penilaian ke atas pembelajaran mereka. Para
guru hanya berperanan sebagai fasilitator (pemudah cara) serta membimbing
murid-murid ke arah pembelajaran mereka. Keadaan ini akan memberi lebih
keyakinan dan motivasi kepada murid-murid dalam meneroka pembelajaran
berdasarkan inisiatif sendiri. Keupayaan murid-murid mengkonstruk pengetahuan
melalui aktiviti pembelajaran seperti projek atau kajian dan seumpamanya telah
memaksimumkan kecenderungan kognitif (cognitive
predisposition) mereka. Bagi mengatasi murid-murid yang lemah membaca,
penekanan diberi kepada mereka bagi membentuk kemahiran (skill) dan pengetahuan (knowledge)
dengan mengaitkan pengalaman lampau untuk kegunaan masa depan. Murid-murid
harus membina sendiri proses berfikir mereka dan kemahiran berkomunikasi yang
baik dan jelas.
(iii)
Pendekatan Pembelajaran
Sebagai seorang guru bahasa Melayu yang baik dan
berkesan responden telah menggunakan pendekatan pembelajaran induktif dalam
proses pengajaran dan pembelajarannya.
Berdasarkan tajuk yang diajar, ‘haiwan’ di mana beliau mengarahkan
murid-murid mengumpul dan mentafsir maklumat dan seterusnya membuat
generalisasi (kesimpulan). Melalui langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran
terdapatnya aspek ansur maju dalam usaha membimbing murid-murid. Kaedah inkuiri
penemuan diamalkan apabila mengajar mata pelajaran bahasa Melayu [dalam langkah
2] dengan meminta murid-murid menyatakan cirri-ciri binatang berdasarkan
petikan yang diberi.
Prinsip penggunaan pendekatan pembelajaran induktif
digunakan oleh guru apabila murid-murid dibimbing untuk mencari kesimpulan
dalam konteks kognitif dan sosial. Selain itu, responden ternyata menggalakkan
murid-muridnya sentiasa berfikir dan mengakses maklumat sendiri dengan
menggunakan akses internet. Dalam hal ini keupayaan berfikir berkait rapat
dengan keupayaan berbahasa murid-murid. Menurut Tarigan (1990) proses kognitif
dalam bacaan membantu pembaca mengorganisasi, menginterprestasi dan
menghubungkan pertalian dengan maklumat baru bagi menyalin makna. Selain itu,
pembelajaran aktif dianggap sebagai aktiviti sosial juga menggalakkan dialog
dan perbincangan sesama pelajar atau antara guru dan pelajar. Oleh yang
demikian, faktor berbahasa (membaca) dan kemahiran berfikir dalam kalangan murid perlu dititikberatkan.
Dari sudut bahan bantu mengajar (BBM) yang baik,
mencukupi dan berkesan ianya dilihat sebagai langkah yang proaktif dalam meningkatkan suasana pembelajaran yang
menarik, bermakna dan seronok dapat dihasilkan. Antara lain, penggunaan
deria-deria murid dalam pelbagai aktiviti bahasa dapat membentuk interaksi
sosial murid dengan persekitaran telah membentuk maklumat dan idea baru ke
dalam struktur pengetahuan yang sudah sedia ada. Murid-murid akan menjadi kreatif dan kritis. Aapabila berlaku
pertembungan idea lama dan baru, murid-mutrid akan berupaya membuat analisis
dan membentuk idea baru mereka yang lebih konkrit dan relevan.
(iv)
Kaedah Pengajaran
Dalam
proses mencerap responden ternyata beliau dapat membuat persediaan sebelum
proses pengajaran dan pembelajaran; semasa proses pengajaran dan pembelajaran;
dan selepas proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Kaedah pengajaran adalah satu siri tindakan guru (cara) yang
sistematik bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan.
Kaedah pengajaran juga merupakan usaha keseluruhan yang terdiri daripada
prosedur yang tersusun berdasarkan pendekatan yang dipilih (Shahabuddin Hashim,
Rohizani Yaakub dan Mohd. Zohir Ahmad, 2003).
Pada
peringkat permulaan pelajaran responden berupaya mencungkil pengetahuan yang
sedia ada pada murid; mengaitkan pelajaran lepas dengan pelajaran baru; dan
menumpukan perhatian serta minat murid pada pelajaran yang akan dipersembahkan.
Responden dapat menghubungkaitkan set induksi dengan isi pelajaran berhubung
dengan ciri-ciri binatang. Murid-murid turut teransang untuk belajar secara
lebih lanjut. Kaedah pengajaran yang digunakan oleh responden adalah bersoaljawab, mengakses maklumat, dan
membimbing murid-murid dari mula hingga akhir proses pengajaran dan
pembelajaran.
Pada peringkat perkembangan pelajaran, peringkat ini soalan digunakan untuk menduga kefahaman murid mengenai bahan pelajaran yang dibincangkan; memastikan penyertaan murid yang aktif; dan mengekalkan minat
murid serta tumpuan perhatian mereka.
Manakala peringkat penutup, soalan pada peringkat penutup digunakan untuk membuat rumusan pelajaran;
menguji kefahaman murid secara menyeluruh. Pada umumnya turutan menyoal di dalam kelas boleh dijalankan
seperti yang berikut; [1] guru
mengemukakan soalan kepada murid, [2] guru memberi masa untuk murid menjawab;
[3] guru boleh tujukan soalan tersebut kepada semua murid di kelas; [4] guru
boleh memanggil murid tertentu menjawab; dan [5] guru memberi perhatian kepada
jawapan yang dikemukakan dan seterusnya ajukan jawapan murid tersebut kepada
murid lain.
Oleh itu
pengajaran terancang memerlukan murid menghabiskan masa mereka memperoleh
pengetahuan atau memaparkan pengetahuan yang telah diajar. Pengajaran terancang
merupakan teknik pedagogi utama yang dibangunkan oleh pakar teori Skinner
sebagai aplikasi eksplisit tentang prinsip teori pembelajaran operan atau teori
peneguhan. Oleh itu setiap pencapaian mestilah diikuti dengan peneguhan.
(v)
Bahasa
Keupayaan mengajar merupakan salah satu peramal kepada prestasi
kerja guru. Dua dimensi penting bagi keupayaan mengajar ialah pengetahuan asas
dan pengetahuan pedagogi isi kandungan guru. Dalam pengajaran bahasa terdapat
beberapa kemahiran yang perlu diajarkan oleh guru kepada pelajar.
Kemahiran-kemahiran itu diajarkan secara berperingkat-peringkat iaitu kemahiran
mendengar yang merupakan kemahiran asas, kemahiran bertutur, membaca dan
kemahiran menulis. Dalam kajian ini, responden mampu melahirkan penerbitan
bahasa dalam pertuturan dan komunikasi dalam kalangan murid-muridnya dengan
membaca teks prosa, mempelajari system bahasa seperti ayat tunggal dan ayat
majmuk di samping menguasai kosa kata yang berkaitan dengan isi pelajaran.
Aspek interaksi sosial antara guru dengan murid, dan
murid sesama murid merupakan kecekapan komunikatif penguasaan bahasa secara
naluri (instinc) yang dimiliki oleh
seseorang penutur (murid) yakni keupayaan murid menggunakan dan memahami bahasa
secara wajar dalam proses berkomunikasi dan berinteraksi dengan individu lain
dan jalinannya dengan konteks sosial. Dari sudut psikolinguistik penerbitan
bahasa guru dan murid-murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran merupakan
pertuturan mengkaji segala proses mental yang berlaku dalam otak ketika
seseorang cuba
berfikir.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas
proses formulasi adalah berkaitan dengan konsep penterjemahan bahasa dari segi
fonologi, sintaksis dan semantik. Operasi semantic dalam proses pengajaran dan
pembelajaran ini melibatkan pemilihan perkataan yang sesuai dengan makna
petikan prosa seperti liar, berlari, beranak dan melompat. Operasi sintaksis
pula merupakan hal pemilihan pola ayat
yang sesuai dan dalam pola ayat inilah semua perkataan yang terpilih itu
disusun supaya menjadi frasa dan ayat tunggal dan majmuk.
Sebagai contoh frasa ialah ‘hidup liar’; ayat tunggal;
‘Monyet bergayut di atas pokok’; dan ayat majmuk; ‘Katak melompat ke dalam
kolam sewaktu dikejar oleh seekor ular tedung selar’. Manakala fonologi pula melibatkan tugas
menerbitkan idea dalam bentuk bunyi bahasa yang dihasilkan oleh sistem ujaran
seperti lidah. Dalam hal ini kaedah menyebut dan membaca perkataan dan ayat perlu betul selaras dengan sukukata dan
struktur ayat tersebut. Pengajaran dan pembelajaran membaca, membina dan
menulis ayat ditekankan oleh responden dalam kajian ini.
(vi)
Kajian Proses Pelajaran
Berkenaan data-data yang diperolehi melalui instrument
pencerapan pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan oleh pengkaji didapati
respoden telah menjalankan satu proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik
[instrument dilampirkan]. Persediaan sebelum proses pengajaran dan pembelajaran
telah dirancang dengan baik umapamanya rancangan pelajaran tahunan, harian,
pengurusan kelas dan set induksi yang sesuai. Responden berjaya
menghubungkaitkan set induksi dengan becerita mengenai binatang dengan isi
pelajaran berhubung dengan ciri-ciri binatang. Isi pelajaran berkaitan dengan
set induksi yang dipilih oleh responden. Keadaan ini dapat menarik perhatian
dan minat murid-murid beliau untuk terus mengikuti pelajaran selanjutnya.
Semasa proses pengajaran dan pembelajaran responden
mampu merancang dan menyampaikan isi pelajaran dengan baik dan berkesan kerana
mempunyai pengetahuan mata pelajaran yang mendalam, penggunaan bahasa yang
tepat, beransur maju, pengurusan masa yang baik, BBM yang baik, pengintegrasian
ICT[3],
pembelajaran berpusatkan murid, murid aktif, teknik penyoalan yang berkesan,
penilaian dan peneguhan berterusan, kawalan kelas yang baik serta membuat
rumusan yang tepat dan bersesuaian dengan topik. Melalui pemerhatian oleh
pengkaji respon murid-murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran beliau
sangat aktif. Teknik ansur maju dalam proses penyampaian isi pelajaran sangat
menepati kehendak kurikulum KBSR. Tambahan pula, murid-murid disyorkan meneroka
dan mengakses maklumat[4]
berhubung dengan topik yang diajar bagi mendapatkan seberapa banyak maklumat
yang berkaitan.
Selepas proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung
responden turut memberi tugasan dan latihan kepada murid-murid. Di samping itu,
di akhir sesi pengajaran dan pembelajaran beliau turut membuat refleksi dan
hasil tugasan murid-murid disemak dengan teliti. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran
responden turut mengadakan aktiviti bimbingan ke atas murid-murid yang lemah
dan bai murid-murid yang cergas beliau turut memberikan latihan tambahan
(pengayaan) kepada mereka. Keadaan ini dilihat sangat baik dan berkesan dalam
mewujudkan suasana pembelajaran yang efisien dan kondusif.
Penutup
Sebagai rumusan dapatlah dikatakan bahawa melalui kajian
kes ini responden sebagai guru bahasa Melayu mampu menunjukkan komitmen dan
usaha bersungguh-sungguh dalam menjayakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
BBM yang sesuai dan menarik minat murid turut memberi kesan kepada suasana
pembelajaran yang aktif. Murid-murid sangat aktif melibatkan diri dalam
pengajaran beliau. Tambahan pula, aspek ansur maju dalam perkembangan isi
pelajaran tidak membunuh semangat dan usaha murid-murid untuk terus belajar.
Sikap guru yang proaktif dalam mendorong dan memotivasikan murid-murid dalam
rumusan pengajaran dan pembelajarannya dapat mengukuhkan lagi kefahaman mereka
dari segi kognitif dan sosial. Justeru, murid-murid akan sentiasa bersemangat
dan tidak sabar menunggu sesi pengajaran dan pembelajaran selanjutnya.
Bibliografi:
________ (2009). Modul
HBML 3303 Psikolinguistik dan Sematik. Universiti Terbuka Malaysia : Meteor Doc. Sdn. Bhd.
Abd. Rahim Abd. Rahsid (1999). Kemahian Befikir Merentasi Kurikulum.
Kuala Lumpur :
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Brown, H.D. (1994). Teaching by
principle : An introductive approach
to language pedagogy. New
Jersey : Prentice Hall Reprints.
Bruner,
J. (1973). Going Beyond the Information
Given. New York
: Norton.
Lev. S. Vygotsky (1978). (Terjemahan) Teori Pembelajaran Sosial.
Mok Soon Sang
(2002). Pedogogi Untuk Kursus Diploma
Perguruan. Subang Jaya. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Shahabuddin, et.al
(2003) dalam Ana Melissa binti Zainal
dan rakan-rakan. Pendekatan Proses
pengajaran dan pembelajaran. 21 – 24 Mei 2007 : Hotel Capitol, Kuala Lumpur .
Tarigan, H.G. (1990). Membaca dalam Kehidupan. Bady. Penerbit
Angkasa.
[1] Lihat, L.S. Vygotsky (1978), “interaksi sosial”, amat penting dalam
membentuk perkembangan kognitif pelajar.
[2] Lihat, Brown (1994), “The
student-centred approach is best suited to support student for optimum learning
as the subject matter is intregrated in one lesson. It allows students to
discover (discovery learning) for themselves in the process of learning”.
[3] Aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan menggunakan
komputer yang berasaskan teori konstruktivisme dalam pembinaan perisisian
pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan penting dalam membekalkan program
pengajaran yang sesuai dan mengembangkan potensi murid.
[4] Lihat Papert (1998) menegaskan bahawa komputer mempunyai impak ke
atas kanak-kanak (murid) kerana dengan menggunakan komputer ia dapat memberi
pengalaman yang konkrit.
No comments:
Post a Comment