Kepentingan Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan Kebangsan
Bahasa memainkan peranan penting dalam pembangunan negara
kerana melalui bahasa, sesebuah negara akan lebih dikenali dan jati diri
sesuatu bangsa dapat dipupuk. Contohnya, walaupun bahasa Indonesia dan bahasa
Malaysia merupakan bahasa yang serumpun, namun identiti bahasa-bahasa ini
berlainan kerana jati diri yang mendukungnya. Dalam perbincangan ini kita akan
melihat bertapa pentingnya bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan
yang boleh menentukan hala tuju pembangunan negara.
(i)
Sebagai
Pemersatuan Bangsa
Salah satu peranan penting bahasa Melayu ialah sebagai
pemersatuan bangsa (Asmah Hj. Omar, 1985). Ini adalah kerana sebelum merdeka
terdapat banyak bahasa serumpun seperti bahasa Minangkabau, Acheh, Mandaling,
Jawa dan bahasa bumiputera Sabah dan Sarawak. Selain bahasa serumpun, rakyat di
negara ini juga bertutur dalam bahasa-bahasa asli di Semenanjung Malaysia.
Malah ada rakyat negara ini yang bertutur dalam bahasa yang berasal dari India
Selatan dan Sri Langka seperti Tamil, Telegu dan sebagainya. Bahasa Indo-Eropah
seperti Inggeris, Hindustan, Benggali dan Urdu turut dituturkan. Manakala,
golongan yang kelima pula ialah bahasa Arab. Walaupun bahasa Arab ini kurang
pemakainya, namun pengaruhnya dalam bahasa Melayu juga agak ketara.
Selain
itu, pola bahasa yang pelbagai dan bahasa itu sendiri mempunyai perbezaan
dalaman, seperti cara sebutan yang berbeza walaupun dituturkan oleh orang yang
datang dari kaum yang sama. Misalnya, bahasa Melayu keturunan Perak tidak sama
sebutannya dengan bahasa Melayu orang keturunan Kelantan. Selain faktor di
atas, perbezaan cara hidup dan bahasa juga disebabkan faktor geografi yang
memisahkan antara dua wilayah. Oleh itu, bagi mempersatukan bangsa, maka bahasa
Melayu yang mendasari sistem pendidikan negara dimartabatkan sebagai bahasa
pengantar di sekolah-sekolah di Malaysia pada tahun 1967, kecuali Sabah dan
Sarawak (yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada tahun
1973).
Kesimpulannya,
ketika negara menghadapi konflik ekonomi hingga tercetusnya peristiwa 13 Mei
1969, bahasa Melayu merupakan alat yang boleh menyatupadukan rakyat negara ini.
Begitu juga dengan hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Salah
satu alat yang boleh menyatupadukan kesemua rakyat yang berbeza taraf ekonomi
dan budaya ialah bahasa,khususnya bahasa Melayu. Hal ini bukan sahaja dapat
menyatupadukan rakyat di Semenanjung, tetapi juga dapat mendekatkan rakyat yang
terdapat di Malaysia Timur. Langkahnya ialah, sistem pendidikan ini memainkan
peranan yang penting.
(ii)
Pembina Jati Diri
Kepentingan bahasa Melayu dalam dasar pendidikan kebangsaan
dapat dilihat apabila bangsa dan ketamadunan tidak dapat dipisahkan kerana
tiada bangsa membina tamadunnya tanpa kepustakaan bahasanya sendiri (Abdullah
Hassan, 2002). Dalam sejarah ketamadunan dunia, bangsa yang maju mempunyai
bahasa yang kukuh. Kemajuan negara-negara seperti Jepun, Korea, Jerman,
Perancis dan sebagainya adalah disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh
bahasanya sendiri. Pendek kata, semakin maju negara tersebut, semakin kukuh
jati diri mereka. Hal ini sejajar dengan pandangan yang dikemukakan oleh Ibnu
Khaldun (Muqaddimah, Bab 2) yang mengatakan bahawa bangsa yang dikalahkan
(dijajah) akan meniru tingkah laku bangsa yang mengalahkan mereka kerana mereka
beranggapan, bangsa yang mengalahkan mereka itu lebih sempurna daripada mereka.
Dalam
konteks bahasa, golongan yang kalah ini akan lebih senang dan lebih selesa
menggunakan bahasa bangsa yang menjajah mereka berbanding bahasa sendiri. Dalam
hal ini Leibniz, seorang sarjana barat pernah menyatakan rakyat yang bersifat
seperti ini akan kehilangan jati diri dan kebebasan pemikiran. Di sinilah kita
melihat bahasa yang dipilih sebagai bahasa pengantar itu harus mendasari setiap
bidang ilmunya, seperti kata pepatah Melayu “melentur buluh, biarlah dari
rebungnya”. Ini menunjukan bahawa, menerapkan bertapa pentingnya bahasa
mestilah dimulakan dari awal persekolahan.
(iii)
Bahasa Nilai Ekonomi
Tidak dapat dinafikan bahawa, bahasa Melayu telah
memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi negara. Jika ditinjau dari
tafsiran Fagerlind dan Saha (1983), tentang maksud pembangunan, iaitu perubahan
sosial, peningkatan taraf hidup dan pemodenan sesuatu negara atau rakyatnya,
maka bahasa Melayu telah memainkan peranan yang baik. Bukti yang paling nyata
dalam membicarakan hal ini adalah dengan melihat bilangan pemegang ijazah
sains, kejuruteraan dan teknologi (SAKTI). Menurut Shaharir Mohamad Zain
(2002), sejak tahun 1973, iaitu sejak lahirnya siswazah SAKTI, sudah ada
puluhan ribu siswazah SAKTI berada dalam pasaran kerja. Hal ini menjelaskan bahawa
siswazah SAKTI yang mendapat ilmu tersebut dalam bahasa Melayu berupaya
membantu menjana ekonomi negara.
No comments:
Post a Comment