Translate

Thursday 17 January 2013

Pembangunan Sahsiah


Manusia sebagai benda hidup terdiri daripaada dua unsur asas yang penting iaitu aspek rohani dan jasmani. Kedua-dua unsur ini memerlukan makanan dan tuntutan yang perlu dipenuhi oleh mereka. Unsur rohani yang meliputi seperti akal, hati dan perasaan menjurus kepada  sahsiah atau personaliti manusia itu sendiri. Dari segi definisi, sahsiah  atau personaliti mengikut istilah bermaksud keperibadian atau peribadi (Kamus Dewan, 2001). Sahsiah juga merujuk kepada sistem kecenderungan bertingkah laku individu seseorang individu. Ini bererti setiap individu ada cara bertindak yang tersendiri dan cara bertindak itu adalah lebih kurang sama dari sehari ke sehari (Siti Fatimah,1993). Selain itu, EE Ah Meng (1997) turut mengatakan sahsiah merujuk kepada pembentukan psikologi seseorang individu secara keseluruhan. Keadaan ini merangkumi perangai, kecerdasan, sentimen, sikap, minat, kepercayaan, cita-cita dan nilai-nilai.
Manakala konsep pembangunan merujuk kepada sesuatu yang bergerak ke hadapan, menjadi semakin baik mahupun maju. Pembangunan yang seimbang adalah pembangunan dari segi kebendaan dan kerohanian (Hazil, 1990). Konsep pembangunan itu sendiri membawa matlamat untuk pembaikan taraf hidup (Nor Aini et.al, 1996). Oleh itu, konsep pembangunan sahsiah  sangat berkait rapat dengan pembangunan manusia atau insan (Abd. Jalil, 1999) yang juga perlu dikaitkan dengan kualiti hidup guru dan seharusnya mampu menangani hal-hal yang berkaitan dengan permasalahan pelajar sama ada berkaitan dengan fizikal, kognitif, sosial mahupun kerohanian. Oleh itu pembangunan sahsiah guru perlu dirancang dengan teliti agar dapat membentuk insan yang seimbang dan harmonis, sesuai dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Dari sudut psikologi, pembangunan sahsiah merupakan perkembangan manusia yang mempunyai sahsiah diri, sifat-sifat (kelakuan, sikap) seseorang yang sudah sebati dengan diri sendiri untuk membentuk watak dirinya ke arah kebaikan. Selaras dengan kepenting Kursus Pembangunan Sahsiah dalam membentuk karektor guru yang baik dan berkesan sewajarnya perubahan-perubahan ini bertepatan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan perkembangan norma masyarakat kita. Justeru itu, pengisian kepada pembangunan sahsiah ini menjurus kepada insan guru yang sempurna dilihat sebagai wadah pengisian kepada ajaran agama, nilai-nilai budaya dalam masyarakat dengan pembangunan intelektual terhadap murid-murid mereka.

Empat Perkara Utama Pembangunan Sahsiah Guru
            Bagi membincangkan skop tugasan ini dari segi pembangunan sahsiah guru, beberapa aspek perlu diberi penjelasan seperti aspek fizikal, kognitif, sosial dan rohani. Kesemua perbincangan ini berkisar terhadap guru di sekolah.
 (a)   Fizikal 
Sifat fizikal seseorang guru bukan semata-mata berkenaan dengan jasadnya sahaja. Malah merangkumi penampilan diri yang baik dan unggul. Berkenaan dengan aspek pembangunan sahsiah ketrampilan fizikal yang baik dan berkesan dapat diperlihatkan melalui tingkah laku yang baik dan terpuji. Sahsiah yang baik adalah sifat-sifat yang bebentuk positif dan bermakna. Wan Azmi Ramli (1992) menjelaskan sekiranya perubahan itu wujud ke arah positif maka ianya akan berusaha agar dapat berdikari dengan segala nilai positif yang murni. Keadaan ini sekaligus menjadi contoh atau ‘role model’ kepada orang lain, khususnya murid-murid di sekolah.
            Daripada perspektif agama Islam, pembangunan sahsiah dari aspek fizikal dapat diperlihatkan perwatakan dan perbuatan yang baik selaras dengan akhlak (tabiat, maruah atau watak, ad’din atau fitrah, Imam Al Ghazali). Niat dan tujuan baik banyak mendominasi fitrah kebaikan yang amat berkesan sehingga menjadi bualan ramai dan ikutan ahli masyarakat. Dalam konteks masyarakat Malaysia yang kompleks ini, penonjolan aspek fizikal ini akan memberi imej yang positif serta menggambarkan suasana masyarakat yang sejahtera.
Dalam situasi sekolah, aspek fizikal guru yang baik memperlihatkan perwatakan yang sempurna dan sekaligus menjadi ikutan murid-murid. Keadaan ini bertepatan dengan peribahasa Melayu, ‘jika guru kencing berdiri, murid kencing berlari’. Hal ini senonim dengan watak guru yang mudah dicontohi, khususnya murid-murid di sekolah. Rentetan daripada ulasan di atas, agama Islam turut menekankan agar pembangunan sahsiah guru dari aspek fizikal menjurus kepada dasar pembinaan akidah (kepercayaan), ibadah (ritual), akhlak (etika dan moral) dan penampilan (mazhar) (Abdullah Nashih Ulwan (1994).

(b)   Kognitif 
Aspek kognitif dalam pembangunan sahsiah guru merupakan unsur yang penting juga berkisar akan hikmah iaitu ilmu pengetahuan berupaya membawa kepada kebenaran. Hal ini merujuk kepada daya pemikiran yang kritis, kreatif dan inovatif guru. Di samping melahirkan insan guru berfikiran logik dan analitik. Dalam profesion keguruan, para guru dituntut supaya benar-benar menguasai pelbagai bentuk pengetahuan lahir daripada falsafah kognitif yang sempurna. Guru yang mempunyai banyak ilmu bermanfaat adalah guru yang berkognitif tinggi. Menurut Abd. Rahim (2005), operasi kognitif guru adalah keupayaan mengembangkan daya fikiran, kecerdasan mental, taakulan, imaginasi, penggunaan otak kiri dan kanan, daya ingatan, kreativiti, fantasi, penskemaan, menyimpan maklumat, aplikasi, sintesis, analisis, rangsangan dan penerokaan minda.
Selain itu, guru-guru yang bersahsiah tinggi harus dapat menangani stress (beban kerja) dengan bijak dan matang. Pengalaman banyak mengajar seseorang menjadi dewasa serta tidak tergesa-gesa mengambil keputusan yang boleh memudaratkan diri sendiri nanti. Dalam situasi sekarang, para guru dibebani dengan tugas yang banyak serta mencabar seperti mengajar, kerja mentadbir, perkeranian, pembantu makmal, tukang kebun dan sebagainya. Keadaan ini memberi tekanan dan beban kerja yang banyak. Justeru, aspek kognitif guru lojik dan analitik berkeupayaan menangkis sebarang bentuk permasalahan yang wujud.
Dalam kerjaya guru, banyak rintangan dan cabaran yang perlu dihadapi. Antaranya ialah perubahan ke atas system dan dasar pendidikan negara. Para guru dituntut supaya meningkatkan tahap akademik dan peluang kerjaya mereka. Bertepatan dengan usaha ini, proses pembelajaran sepanjang hayat (life long learning) turut diperkenalkan oleh banyak institusi pendidikan di negara ini. Inilah peluang guru yang bersahsiah tinggi mengurus keperluan kerjaya mereka ke peringkat yang tinggi standing dengan mereka yang sudah berjaya.
Bagi mengurus diri dalam kehidupan ini, kerjaya guru turut berhadapan dengan cabaran yang maha getir. Sesuai dengan kemajuan negara masa kini  profesian keguruan turut menuntut para guru yang bersahsiah tinggi bersedia mengurus kerperluan kerjaya mereka seiringan dengan perubahan waktu dan dasar. Oleh sebab itu, guru perlu bersedia untuk berpindah dari satu bidang ke bidang lain. Perubahan ini sesuai dengan kehendak falsafah epistemologi pengetahuan, khususnya bidang keguruan. Dalam era globalisasi falsafah epistemologi menuntut para guru perlu berubah (change) dan relevan dengan perkembangan masa. Mereka perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang pengajaran dan juga bidang-bidang lain. Selain itu juga, sifat kreatif dan inovatif para guru dituntut bagi melahirkan kesan intelektual terhadap bidang pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

(c)    Sosial 
Mengikut falsafah dan kriteria seseorang guru yang bersahsiah tinggi mereka harus berkebolehan berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik serta berkesan. Aspek sosialisasi sangat memberi perhatian terhadap keupayaan guru berbicara dan berkomunikasi yang baik agar ilmu yang disampaikan mudah difahami dan mengelakkan salah faham. Komunikasi berkesan akan melahirkan pelajar yang mempunyai ilmu serta mengikut cakap. Kaedah komunikasi penting untuk memastikan pelajar berasa senang bersama guru tersebut. Kaedah ini merupakan amalan yang dilakukan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. semasa menyampaikan dakwahnya (Azhar Muhamad et. al (2007).
Di samping itu, guru hendaklah bersikap ramah dan jangan mengasingkan diri daripada guru-guru lain. Selain itu, guru yang bersahsiah tinggi hendaklah bekerjasama dan saling bantu-membantu sesama guru sekolah semasa menjalankan tugas masing-masing. Bagi menyakinkan diri mereka berhadapan dengan orang lain mereka perlu mengamalkan sikap bersih, cekap dan amanah dalam menjalankan tugas dipertanggungjawabkan. Oleh hal demikian, kesopanan dari sudut pemakaian dan perwatakan umum adalah sangat penting di mana, seseorang guru itu perlu menjaga perwatakan sebagai seorang guru yang bersahsiah tinggi sepanjang karier mereka. Dengan ini, guru-guru lain akan menyukai profesion dan seronok bekerjasama dengan guru-guru lain di sekolah.
Dari sudut persediaan untuk memberi pendapat dan menerima pendapat, seseorang guru harus matang fikiran dan bersifat keterbukaan dalam pemikiran mereka. Pemikiran yang sihat dan bernas mampu menjana pertukaran serta penerimaan idea daripada orang lain pada tahap yang baik dan berkesan. Justeru, Brammer,1973 (dalam Amir, 1986 dan Salema Ahmad, 2006), menyatakan bahawa seseorang guru itu perlu memiliki dan mengamalkan sifat-sifat seperti kesedaran tentang diri dan nilai-nilai, mempunyai perasaan, sebagai model, minat kepada manusia dan perubahan sosial, memiliki etika dan bertanggungjawab, berempati, kemesraan dan sikap ambil berat, keikhlasan, hormat dan berperasaan positif serta tegas dan khusus. Sehubungan itu untuk menjadi seorang guru yang bersahsiah tinggi berjaya, seharusnya memiliki dan mengamalkan sifat-sifat yang berkenaan.

(d)   Rohani 
Unsur-unsur rohani dan emosi merangkumi aspek yang berkaitan dengan keyakinan terhadap Tuhan. Sikap kepercayaan beragama sangat dituntut kerana ianya berupaya melahirkan kemantapan jiwa, penghayatan nilai-nilai murni, norma masyarakat, budi bahasa dan semangat sanggup berkorban. Sebagai seorang guru yang bersahsiah tinggi dan mulia, mereka dikendaki berperanan sebagai pendidik yang berwibawa. Menurut Agama Islam, aspek rohani melihat pembangunan sahsiah seseorang dari segi pembangunan insan merangkumi jasmani, naluri dan akal. Pembangunan sahsiah merangkumi keseluruhan aspek diri individu iaitu pengetahuan agama, akidah, ibadah, penghayatan Al-Quran, adab kehidupan, kehidupan berkeluarga, mencari rezeki, perhubungan sesama manusia, akhlak dan budi pekerti dan pembangunan jiwa dan hati.
Untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis, semua potensi yang ada pada diri manusia perlu dikembangkan secara selaras, menyeluruh dan harmonis. Individu yang seimbang dan harmonis adalah manusia yang mempunyai sahsiah yang tinggi (bersepadu), menikmati ketenangan dan kesejahteraan dalam jiwanya. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan cabaran hidup serta sentiasa berikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapi dengan fikiran yang tenang. Seimbang merujuk kepada moral yang baik, manakala harmonis adalah akhlak yang mulia. Kesepaduan inilah yang akan melahirkan insan yang baik. Keadaan begini, akan mencetuskan perhubungan yang baik dan mesra sesama manusia, manusia dengan alam dan manusia dengan Tuhan. Ini akan melahirkan insan seimbang antara akhliah dan rohaniah (Mohamed Fuad Ahmad, et al, 2008).
Berkenaan dengan jiwa yang kental, sebagai seorang guru yang bersahsiah tinggi perlu mendokong etika dan moral setiap masa. Hal-hal moral ini menyentuh akan prinsip-prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul. Untuk membentuk etika yang baik, tingkah laku seseorang guru bersahsiah tinggi itu adalah penting dan perlu ada panduan dan peraturan yang berkaitan dengan tingkahlaku bagi mengawal dirinya dalam setiap tindakan yang dilakukan.
Konsep kendiri yang mantap juga perlu diselaraskan dengan kepercayaan dan keimanan yang tinggi terhadap kekuasaan Tuhan (Allah S.W.T). Setiap guru harus mendekatkan diri mereka dengan ajaran agama masing-masing. Konsep kendiri yang mantap bagi seseorang guru merupakan sifat semulajadi yang kekal dan tabiat yang berkaitan dengan moral dan agama yang terpuji. Keadaan ini akan menjurus kepada amalan duniawi yang baik selaras dengan kebaikan (virtue) yang menjadi nadi agama seseorang.

1 comment: