Translate

Thursday 17 January 2013

Definisi Kurikulum


Kurikulum pada dasarnya berasal daripada perkataan curere yang merupakan perkataan latin yang membawa maksud jejak atau laluan. Selain itu, kurikulum dalam bahasa inggeris memberi maksud jelmaan. Kurikulum dapat didefinisikan sebagai skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di sekolah, senarai kesemua mata pelajaran (kursus pengajian) di sekolah dan institusi pendidkan (Kamus Dewan Edisi Keempat 2007). Manakala definisi kurikulum mengikut Kamus Pelajar Edisi Kedua ialah semua mata pelajaran yang diajar di sekolah, kolej dan lain-lain institusi pendidikan. Merujuk kepada definisi tersebut, jika sesuatu program pendidikan hendak dirancang dan bertujuan untuk mendapatkan kemajuan yang berterusan diperlukan, maka konsep tentang sesuatu kurikulum adalah amat penting untuk dijadikan landasan kepada perlaksanaan sesuatu kurikulum tersebut (Ralph W. Tyler 1990).
Terdapat pelbagai definisi terhadap kurikulum yang diberikan oleh pakar-pakar dan pengkaji. Sesetengah pengkaji berpendapat kurikulum merupakan satu pengalaman. Menurut Neagly dan Evans dalam Kamaruddin Hj. Husin dan rakan-rakan (2004) kurikulum ialah semua pengalaman yang dirancang dan dikemukakan oleh pihak sekolah yang bertujuan untuk membimbing murid memperoleh hasil pembelajaran yang telah ditetapkan mengikut keupayaan masing-masing. Saylor dan Alexander mendefinisikan kurikulum sebagai rancangan dalam menyediakan kesempurnaan pembelajaran bagi mencapai tujuan secara menyeluruh dan objektif yang spesifik.
Kurikulum dapat dibahagikan kepada dua reka bentuk kurikulum iaitu reka bentuk kurikulum yang berasaskan standard dan kurikulum berbentuk modular. Kurikulum yang berbentuk standard adalah berasaskan standard kandungan dan standard pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid. Manakala kurikulum yang berbentuk modular mengandungi kandungan yang telah diorganisasi dan  disampaikan dalam bentuk bahagian atau unit dan bahagian unit inilah yang dinamakan modul. (Kementerian Pelajaran Malaysia 2009).
Oleh yang demikian, Kurikulum Prasekolah Kebangsaan dibangunkan berasaskan kedua-dua rekabentuk kurikulum tersebut. Tujuan utama penetapan standard dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan adalah untuk ekuiti dan kualiti. Peluang pendidikan yang sama akan diberikan kepada semua murid untuk tujuan ekuiti bagi penetapan standard pendidikan prasekolah. Kualiti pula membawa maksud bahawa semua murid perlu diberi pendidikan yang berkualiti. Standard kandungan merupakan pernyataan spesifik tentang perkara yang murid perlu ketahui dan boleh dilakukan dalam suatu tempoh persekolahan yang merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Manakala aspek pembelajaran pula adalah merupakan satu penetapan kriteria atau indikator pencapaian dalam bentuk objektif tingkahlaku (behavioural) untuk memastikan pencapaian setiap standard kandungan (Kementerian Pelajaran Malaysia 2009).
Dengan ini, kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan (Kurikulum PERMATA Negara) dijadikan Kurikulum Kebangsaan. Skop yang terkandung di dalam Kurikulum PERMATA adalah meliputi 6 bidang pembelajaran dan mengandungi aspek pengasuhan yang lengkap iaitu perkembangan sosio-emosi, sahsiah dan kerohanian, perkembangan bahasa, komunikasi dan literasi awal, perkembangan pra-matematik dan pemikiran logik, perkembangan deria dan pemahaman dunia persekitaran, perkembangan fizikal dan kemahiran mengurus diri, perkembangan estetika dan daya kreatif serta aspek pengasuhan yang meliputi aspek-aspek keselamatan, pemakanan seimbang, penjagaan bayi dan kanak-kanak dan amalan pengasuhan.
Manakala kurikulum yang berbentuk modul mengandungi dua jenis modul iaitu Modul Asas dan Modul Bertema. Modul Asas pula terdiri daripada Komponen Bahasa (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil) Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Permainan Luar dan Matematik. Modul Bertema pula merupakan modul bersepadu yang mengandungi unsur-unsur dalam keenam-enam tunjang dan unsur kreatif, kritis dan inovatif. Modul Bertema ini juga dibina dengan menggunakan isu kehidupan seharian kanak-kanak (Kementerian Pelajaran Malaysia 2009).

2 comments:

  1. Salam... saya nak tanya apa maksud adalah untuk tujuan "ekuiti" dan kualiti & "tujuan ekuiti" bagi tujuan standard penetapan prasekolah.
    Ekuiti disini memberi erti apa ? Maaf menyusahkan.

    ReplyDelete
  2. please masukkan sumber rujukan next time

    ReplyDelete