Translate

Sunday 20 January 2013

Vandalisme


Menurut Webster’s Third New International Dictionary, vandalisme bermakna merosakkan atau memusnahkan harta benda awam secara sengaja. Ini termasuklah telefon, bangku-bangku di taman rekreasi, balai raya, lampu jalan, perpustakaan, dinding tandas, papan-papan tanda jalan raya ,kerusi meja di sekolah serta kemudahan-kemudahan lain di luar kawasan  sekolah.
            Dewasa ini, masalah vandalisme ini semakin meruncing sama ada di kalangan masyarakat umum atau pelajar. Terdapat beberapa punca-punca vandalisme ini terjadi. Antaranya ialah ;
a). Pengaruh rakan sebaya
            Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan seseorang murid itu melakukan vandalisme. Mereka lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan terutamanya apabila rakan melakukan perbuatan yang tidak senonoh ini. Berdasarkan kepada Teori Pembelajaran Sosial Bandura (1977) kebanyakan tingkahlaku atau kelakuan seseorang individu dipelajari melalui pemerhatian terhadap permodelan. Sebagai rumsannya, ini bermakna seseorang murid akan memerhatikan tingkahlaku rakannya(model) dan seterusnya akan meniru segala tindak tanduk tersebut. Pengaruh rakan sebaya ini akan mencorakkan sikap,nilai dan tingkahlaku murid atau individu tersebut. Contohnya, sekiranya rakan mereka menconteng dinding maka individu itu juga akan menconteng.
b). Pengaruh ibu bapa dan keluarga
            Masalah displin di kalangan pelajar timbul mempunai perkaitan rapat dengan cara didikan di rumah. Sikap ibu bapa berupa penekanan d rumah dapt mempengaruhi perkembangan kanak-kanak dari segi sahsiah atau aspirasinya (Stodgil,1970:27). Selain itu, setiap peranan  ibu bapa adalah penting daripada taraf sosioekonomi,(W. C Miller 1971:102). Ini bermakna pengaruh ini juga merupakan pendorong kepada murid atau seseorang individu melakukan vandalisme. Misalnya, perbuatan ahli keluarganya yang marah dan melepaskan kemarahannya pada sesuatu benda, misalnya menghempaskan pintu, maka individu tersebut akan bertindak sedemikian sekiranya timbul perasaan tidak puas hati terutamanya ketika ditegur oleh guru atau rakan sebaya. Berdasarkan Teori Pembelajaran Sosial Bandura menyatakan bahawa seseorang kanak-kanak belajar dengancara memerhati dan meniru modelnya. In menunjukkan  bahawa seseorag kanak-kanak secara langsungnya meniru perlakuan ibu bapa yang sebagai model mereka.
c). Sikap pihak sekolah
            Pentadbiran sesebuah sekolah sangat penting dalam membentuk tingkahlaku murid. Secara pemerhatian, terdapat di kalangan kaki tangan sekolah yang tidak mengambil berat tentang tingkahlaku salah murid. Mereka memandang ringan terhadap sikap murid yang sedemikian.  Ini mungkin disebabkan pegawai  tersebut berasa takut untuk mengambil tindakan kerana khuatir murid tersebut melaporkan tindakan yang dikenakan kepada ibu bapa mereka. Sekiranya ibu bapa tidak dapat menerima teguran itu maka mereka akan menyalahkan pihak sekolah sehinggakan terdapat di kalangan ibu bapa yang sanggup mengambil tindakan undang-undang terhadap guru yang mengambil tindakan ke atas anak mereka. Sikap tidak memperdulikan perbuatan salahlaku ini menyebabkan masalah vandalisme tersebut semakin menular di kalangan murid-murid.
d). Pengaruh media massa
            Pada masa kini, pengaruh media massa sangat berkesan dalam mempengaruhi ingkahlaku seseorang individu atau murid. Paparan negatif dari filem atau rancangan yang mempunyai unsur-unsur pelakuan negatif (vandalisme) boleh mempengaruhi mereka melakukan vandalisme. Hal ini terjadi sekiranya tidak ada bimbingan atau tunjuk ajar daripada ibu bapa atau ahli keluarga dalam menili kesan baik atau buruknya sesuatu filem atau rancangan yang mereka tonton. Biasanya kanak-kanak belum tahu membuat penilaian terhadap sesuatu perbuatan. Ini akan menyebabkan mereka meniru segala perbuatan yang dilihat.
e). Sikap tidak peduli di kalangan masyarakat
            Sikap segelintir masyarakat yang mengamalkan sikap tidak peduli ini merupakan salah satu punca terjadinya vandalisme. Mereka tidak menghiraukan atau menegur perbuatan murid yang salah walaupun berlaku di hadapan mereka. Contohnya, terdapat murid yang suka memetik bunga atau mematahkan dahan pokok hiasan yang terdapat di tepi pagar sekolah. Apabila perbuatan ini tidak dihiraukan maka perbuatan murid tersebut akan menjadi tabiatnya.
f). Keadaan harta benda sekolah
            Kebanyakan harta benda  yang terdapat di kawasan sekolah berada dalam keadaan unsur. Keadaan sedemikian telah menyebabkan murid-murid mempunyai sikap tidak bertanggungjawab. Mereka bersikap tidak peduli terhadap harta benda sekolah yang dalam keadaan lama. Rasa tanggungjawab tidak timbul dalam diri murid dan tidak ada perasaan ingin menjaga alatan itu berbanding jika alatan itu baru. Contohnya meja yang telah berlubang atau kaki meja tidak kukuh lagi, mereka akan membuka kaki tersebut atau menebuk lubang meja tersebut.
            Berdasarkan temubual dengan segelintir murid sekolah yang terlibat melakukan perbuatan vandalisme terdapat beberapa sebab mereka melakukan perbuatan tersebut. Berikut merupakan hasil temu bual dengan murid tersebut. Antara sebab mereka melakukan perbuatan vandalisme ini ialah:

a). Keadaan emosi  yang tidak tenteram
            Apabila mereka berasa tidak puas hati terhadap rakan mereka akan melepaskan perasaan tidak puas hati terhadap benda yang di sekeliling mereka misalnya menghempaskan pintu atau membaling objek ke arah kawan sehingga mengakibatkan tingkap pecah. Selain daripada itu, sekiranya mereka tidak puas hati terhadap ibu bapa mereka, maka mereka akan melepaskan perasaan tidak  puas hati mereka di sekolah, Misalnya jika rakan mempermainkan mereka maka mereka akan marah kerana emosi tidak tenteram sejak turun dari rumah.

b). Berdendam dengan rakan
            Kegiatan mereka yang menconteng dinding, kerusi atau meja dengan menulis nama merupakan tindakan membalas dendam. Ini terjadi sekiranya mereka telah menulis nama kawan di merata-rata tempat sama ada di atas dinding, lantai meja dan kerusi.

c). Perasaan suka-suka atau berseronok sahaja
            Terdapat juga di kalangan murid yang menconteng meja sambil menyanyi. Mereka akan menulis lirik lagu di atas meja dengan harapan tidak lupa akan lirik lagu tersebut. Perbuatan ini kerap dilakukan oleh murid perempuan.

d). bergaduh dengan rakan
            Seorang murid perempuan(Tahun 5) telah bertindak mengoyakkan buku teks rakannya kerana sangat marah terhadap rakannya itu. Dia bertindak dengan melepaskan kemarahannya dengan cara mengoyakkan buku rakan dengan harapan berasa puas hati kerana dapat membalas dendam.

e). Sikap tidak bertanggungjawab
            Semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan terdapat di kalangan murid yang suka mencatat maklumat yang disampaikan oleh guru di atas meja. Berdasarkan dapatan yang diperolehi , mereka berbuat demikian kerana memudahkan mereka mencatatkan maklumat dan tidak perlu mengambil buku di dalam beg. Selain itu, mereka juga menganggap harta benda sekolah bukan milik mereka. Mereka merasa bahawa kemudahan yang terdapat di sekolah bukan harta benda mereka sendiri. Ini bermakna mereka tidak perlu menjaga harta benda tersebut. Terdapat juga di kalangan mereka yang duduk di atas kerusi tanpa mengikut tertib yang betul iaitu duduk dengan menggerakkan kerusi tersebut.

f). Sikap terbawa-bawa dri rumah
            Terdapat di kalangan murid ini yang melakukan vandalisme, mereka membawa budaya menconteng dari rumah. Di rumah mereka menconteng tanpa dilarang oleh ibu bapa atau ahli keluarga. Ini secara langsung mengakibatkan mereka terbawa-bawa pebuatan tersebut ke sekolah. Ini bermakna perlakuan menconteng ini merupakan perkara biasa bagi mereka dan tidak tahu kesan buruk daripada perbuatannya itu.
            Secara keseluruhannya, masalah vandalisme ini berlaku kerana sikap tidak ambil berat yang sudah tersemai di kalangan masyarakat. Vandalisme yang berlaku di sekolah secara langsung menular ke atas kemudahan awam. Dewasa ini, masalah vandalisme ini semakin menjadi-jadi walaupun pihak  Kementerian  Pelajaran telah melakukan pelbagai ikhtiar dalam menerapkan nilai murni dalam kurikulum.


No comments:

Post a Comment