Translate

Tuesday 15 January 2013

Teori Komunikasi : Pemikiran Kelompok (Groupthink)


Pengenalan
Komunikasi didefinisikan sebagai satu proses pemindahan mesej oleh seseorang individu kepada individu lain dengan bertujuan mempengaruhi tingkahlaku individu tersebut. Komunikasi adalah penting dalam masyarakat ke arah mencapai matlamat bersama yang telah dirancang.  Fred C. Lunenburg (1995) menjelaskan bahawa dalam ‘sistem sosial’ wujudnya bentuk interaksi antara manusia dengan manusia dan kerjayanya. Kemajuan dalam bidang pengurusan masa kini telah memaksa proses komunikasi mejadi semakin  penting dan kompleks. Masyarakat memerlukan banyak informasi dalam kehidupan mereka. Justeru, bidang ini menjadi platform dalam membentuk perhubungan yang berkesan dalam kalangan masyarakat.
A.L. Ramaiah (1999) menyatakan komunikasi adalah satu proses yang melibatkan pertukaran idea, maklumat dan pendapat  menjadikan proses penghantaran dan penerimaan simbol yang bermakna. Dalam keadaan ini, hubungan manusia bagi sesebuah organisasi sangat penting. Komunikasi disifatkan sebagai strategi dan proses untuk mencapai target yang diharapkan dalam sesebuah organisasi. Dalam hal komunikasi yang berkaitan dengan pemikiran kelompok (groupthink), kemahiran komunikasi, ‘interpersonal’ dan Teori Hubungan Sesama Manusia untuk menarik perhatian dan memahami matlamat sesebuah organisasi. Oleh sebab itu, teori pemikiran kelompok (groupthink) adalah model untuk memperlihatkan hubungan kritis dalam komunikasi berkaitan dengan proses membuat keputusan (decision making).
Teori Komunikasi Kumpulan : Tahap Pembangunan
(Stages of Group Development)
            Kumpulan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan peringkat memerlukan bentuk komunikasi yang pelbagai dalam perhubungan dan interaksi mereka. Keadaan ini menjadi lebih rumit dan sofistikated[1] dalam konteks masyarakat global dan dinamik. Berhubung dengan teori komunikasi kumpulan (group), kumpulan dapat didefinisikan sebagai proses interaksi individu yang terdiri daripada dua atau lebih yang saling bergantungan antara satu sama lain berdasarkan objektif atau tujuan yang ingin dicapai bersama.
            Dalam hal ini, kita dapat membahagikan kumpulan kepada dua jenis iaitu kumpulan formal dan informal. Kumpulan formal mempunyai struktur yang jelas iaitu ada ketua atau pengerusi dan lain-lain jawatan yang formal selaras dengan peraturan yang digubal manakala kumpulan informal tiada struktur rasmi tetapi mempunyai ketua dalam konteks ‘terbuka dan bebas’[2]. Bagi membincangkan proses perkembangan kumpulan, aspek yang paling mustahak ialah mempastikan gelagat setiap individu dalam kumpulan tersebut. Pelbagai tingkahlaku dalam kumpulan bakal mencorakkan kumpulan tersebut ke arah pembentukkan organisasi yang bermatlamat dan berkesan.
            Menurut Tuckman (1965)  melalui ‘Stages Theory’,  menjelaskan frasa-frasa perkembangan kumpulan dan proses membuat keputusan (decision making). Proses pembangunan kumpulan adalah bersifat dinamik dan kompleks. Justeru, kumpulan-kumpulan yang terbabit berada pada keadaan berubah dan berterusan selari dengan perkembangan masa.
            Tahap pembangunan kumpulan (Stages of Group Development) terbahagi kepada lima:-
·         Pembentukan (Forming)
·         Pergeseran (Storming)
·          Kebiasaan (Norming)
·         Perlakuan (Performing)
·         Penangguhan (Adjourning)
                               Sumber : Bruce Tuckman, 1965.
            Tahap ‘pembentukan’ (Forming) bagi pembangunan kumpulan adalah bertujuan mengenal pasti  tujuan, struktur, kepimpinan, di mana ianya bercirikan ketidakpastian. Keadaan ini merupakan langkah pertama kumpulan mengenal pasti ahli serta latar belakang mereka. Bentuk kumpulan yang bakal wujud adalah melalui interaksi mereka dalam sistem sosial yang berbagai-bagai (Abdul Aziz Hussien Sazally, 2003). Setiap individu harus faham bahawa interaksi antara individu adalah satu proses yang tidak dapat dielakkan. Justeru, kadang kala menimbulkan keadaan ketidakpastian  dan selesa dalam proses berkongsi idea.
            Pembangunan kumpulan bercirikan ‘pergeseran’ (Storming) pula, akur akan kumpulan yang dibentuk tetapi menolak wujudnya individualiti  dalam kumpulan tersebut. Pergeseran (konflik) akan berlaku sekiranya sistem organisasi dan peranan setiap ahli tidak jelas. Maka wujud persepsi siapa yang bakal mengawal dan memimpin kumpulan ke arah hieraki yang jelas dan mencapai hala tuju yang difokuskan.
            Keadaan ‘kebiasaan’ (Norming) bercirikan perhubungan yang erat.  Hubungan yang baik dan jelas berlaku dalam kumpulan masing-masing. Semangat setiakawan jelas terpancar. Struktur kumpulan kian mantap dan bergerak ke positif secara konsensus[3]. Keadaan ini jelas menggambarkan perkongsian kes dan risiko dalam bentuk kerjasama sinergistik[4]  dalam kumpulan berkenaan (Abdul Aziz Hussien Sazally, 2003).
            Berkenaan dengan proses ‘perlakuan’ (Forming), setiap ahli dalam kumpulan berfungsi sepenuhnya selaras dengan jawatan dan kedudukan mereka dalam organisasi tersebut. Justeru, mereka wajar memahami tugas serta melaksanakannya berdasarkan kriteria dan panduan yang telah ditetapkan. Setiap ahli harus bergerak ke hadapan selaras dengan  anjakan paradigma ke arah satu model, pola dan set peraturan atau kerangka yang dipegang dalam sesebuah organiasi kumpulan. Menurut Thomas Kuhn (1963) kemajuan perlakuan saintifik bukanlah satu proses evolusi tetapi satu siri revolusi intelektual berteraskan konsep ‘World View’  ke arah kejayaan organisasi yang dibentuk. Keadaan ini disokong dengan pacuan teknologi maklumat dan kemajuan sains yang lainnya.
            Di samping itu, ‘penangguhan’ (Adjourning) adalah kumpulan atau jawatankuasa yang bersifat sementara dalam sesebuah organisasi. Penekanan aktiviti bersandarkan kepada  keperluan serta desakan bersifat segera dan penting dalam proses pemindahan serta penyesuaian. Perubahan perlu berlaku dengan segera. Sebagai contoh, pemesatan penambahan dalam bidang atau peringkat lain yang mempengaruhi kumpulan organisai seperti ‘K-economy’, kerajaan elektronik ‘(e-government)’ perdagangan elektronik (e-commerce) dan sebagainya akan menuntut penilaian semua kepada bentuk dan cara bertindak sekaligus mempengaruhi cara berfikir. Keadaan seumpama ini menganjur kepada permerhatian serta perubahan  bersifat sementara bagi menyemak pencapaian dan hala tuju sesebuah organisasi.
            Sehubungan dengan proses perkembangan kumpulan tang dipelopori oleh Tuckman, 1965; idea ini turut diperkembangan oleh seorang sarjana iaitu Fisher, 1970, melalui “Model OCER”. Model ini turut menjelaskan perkembangkan kumpulan dan proses membuat keputusan (decision making) selaras dengan perkembangan masa. Proses-proses tersebut mencakupi orientasi (Orientation); konflik (Conflict); muncul (Emergence); dan peneguhan (Reinforcement).
       O
    C
       E
         R


Orientasi
(Orientation)
Konflik
(Conflict)
Muncul
(Emergence)
Peneguhan
(Reinforcement)
                                                                       
Rajah 1 : Diubahsuai daripada, Model OCER (Fisher, 1970)

            Teras utama model ini adalah  berfokus kepada  proses membuat keputusan (Decision making) berkenaan dengan sesebuah kumpulan. Menyelesaikan masalah adalah berkaitan dengan proses membuat keputusan yang melibatkan proses mental[5]. Menyelesaikan sesuatu masalah boleh menjadi cabaran kepada seseorang. Justeru, penyelesaian terbaik adalah penyelesaian yang telah mengambil kira kesemua kesan dan akibatnya.
            Sebagai rumusan, tonggak kecemerlangan sesebuah kumpulan yang membentuk organisasi terletak kepada jentera pengurusan peranan setiap ahli tersebut. Untuk mencapai keberkesanan, sesebuah kumpulan organisasi perlu membentuk dan mengamalkan budaya yang baik. Lazimnya, kumpulan tersebut harus mempamerkan satu persamaan yang bakal memberi kekuatan kepada mereka dalam konteks cabaran global.
            Dalam situasi kerja berkumpulan yang berkesan biasanya dikaitkan dengan sistem nilai, norma, sikap dan etika kerja yang dipegang oleh setiap ahli (Zahidi Mohd Daud, 2003). Empat elemen ini menjadi aras untuk mengawal perlakuan, cara berfikir, perhubungan antara satu sama lain dan berinteraksi dengan persekitarannya. Keadaan ini menentukan iklim pekerjaan dan budaya untuk mencapai matlamat (goal) bersama.
·         Nilai
Pengertian nilai secara ringkas memberi maksud tanggapan dan penerimaan individu dari sudut pemikiran masing-masing. Setiap manusia mempunyai pandangan tersendiri mengenai sesuatu perkara kerana setiap individu meletakkan satu nilai berdasarkan pengetahuan, pengalaman, kepercayaan atau bagaimana mereka mentafsir keadaan yang berlaku. Manusia selalu membuat keputusan atau membuat pilihan dalam hidupnya dan setiap keputusan atau pilihan yang dibuat adalah berdasarkan sistem nilai yang berada dalam dirinya serta berperanan sebagai kayu ukur atau penentu dalam membuat sesuatu tindakan. Sekumpulan manusia yang membentuk  organisasi akan berkongsi nilai berdasarkan prinsip permuafakatan.
·         Norma
Norma bermaksud peraturan-peraturan hidup dan amalan yang diterima oleh masyarakat. Dalam konteks  organisasi kumpulan, ia adalah cara bekerja yang diterima umum dan diamalkan menjadi nilai budaya organisasi itu.
·         Sikap
Sikap adalah kesediaan seseorang dari segi mental dan fizikal untuk bertindak terhadap sesuatu. Sikap mempunyai peranan penting sebagai faktor pendorong dalam tindakan manusia sama ada menerima atau menolak sesuatu.  Sikap seseorang juga dipengaruhi (dan juga berubah) oleh pengalaman ke arah kematangan.
·         Etika
Etika adalah prinsip-prinsip kerja yang terbentuk daripada gabungan  unsur nilai, norma dan sikap yang dikongsi bersama dalam kumpulan. Apabila ahli-ahli sesebuah organisasi memiliki satu matlamat yang sama maka wujud keharmonian dalam organisasi tersebut untuk mengamalkan etika kerja yang sama. Nilai, norma dan sikap dikongsi bersama secara positif akan menerbitkan prinsip-prinsip kerja yang baik lalu mewujudkan satu budaya organisasi yang baik secara keseluruhan.

Pemikiran Kelompok (Groupthink)
            Proses membuat keputusan secara berkumpulan dikenali sebagai pemikiran kelompok (groupthink). Teori ini telah diperkenalkan oleh Irving Janis tahun 1982. Proses membuat keputusan merupakan proses yang  paling penting untuk kejayaan bidang pengurusan bagi sesebuah organisasi. Menurut Siew Mei, Khong (1997) keputusan merujuk kepada pilihan yang dibuat melalui pelbagai alternatif yang sedia ada. Justeru, pilihan itu merupakan satu fungsi kepada objektif si pembuat keputusan untuk menilai alternatif yang dipilih dari segi kesan tindakan yang dibuat. Pemilihan dikatakan melibatkan elemen-elemen ketidakpastian.
            ‘Pemikiran Kelompok’ (groupthink), digambarkan satu keadaan dalam kumpulan yang mempengaruhi pencapaian kepuasan kumpulan yang tinggi tetapi menghasilkan output yang tidak efektif. Oleh itu, pemikiran kelompok merujuk kepada faktor-faktor yang menghalang keberkesanan mental, pengujian realiti, dan penilaian moral yang disebabkan tekanan dalam kumpulan[6].  Keadaan turut berlaku hasil daripada pengaruh ahli-ahli yang lain dalam kumpulan tersebut.
            Pendekatan ‘pemikiran kelompok (groupthink) disifatkan sebagai kaedah lembut dalam proses membuat keputusan. Pemikiran kelompok (groupthink) merupakan satu kecenderungan dalam memupuk perpaduan dan sikap tolak ansur dalam menyelesaikan sesuatu situasi  (Siew Mei, Khong,1997).  Oleh sebab itu, ahli kumpulan menumpukan perhatian dalam memelihara perpaduan dan mengelakkan isu-isu sensitif yang boleh menyinggung perasaan serta mengeruhkan keadaan.

Tanda-Tanda Pemikiran Kelompok (Groupthink)
            Menurut Janis, Irving L.,1972 (dalam Hartini) ; terdapat lapan tanda pemikiran berkelompok (groupthink):-
(i)                 Matlamat jelas
Ahli-ahli akan komited kepada matlamat pasukan, tahu apa yang sepatutnya mereka capai, dan faham bagaimana mereka boleh bekerjasama untuk mencapai matlamat tersebut.
(ii)               Skil Relevan/Sesuai
Terdiri daripada individu yang berkebolehan. Mereka mempunyai skil teknikal yang diperlukan  dan berkeupayaan untuk mencapai matlamat yang diharapkan. Di samping juga, turut mempunyai ciri-ciri personal yang baik untuk mencapai kecemerlangan.
(iii)             Kepercayaan Bersama
Kepercayaan ahli kepada integriti, karektor, dan kebolehan dalam diri setiap ahli.
(iv)             Kesatuan Komitmen
Mempunyai rasa setia dan dedikasi kepada pasukan untuk memastikan kejayaan pasukan.
(v)               Komunikasi Baik
Ahli dapat menyampaikan mesej antara satu sama  lain dengan jelas dalam keadaan bersedia. Mesej ini termasuklah tidak lisan (non verbal) selain daripada mesej secara lisan. Terdapat maklumbalas yang baik dalam kalangan ahli dan pengurus untuk memandu ahli dan memperbetulkan sebarang kesilapan.
(vi)             Skil Berunding
Pasukan yang boleh menjadi fleksibel dan secara berterusan boleh menyesuaikan perkara yang berkaitan dengan deskripsi tugas, peraturan dan prosedur organisasi dan sebarang dokumen formal untuk menjelaskan peranan ahli.
(vii)           Kepimpinan Yang  Tepat
Keupayaan untuk memotivasikan ahli walaupun dalam situasi genting untuk mencapai matlamat. Memperjelaskan matlamat, mengenal pasti perubahan yang mungkin wujud, serta dapat meningkatkan keyakinan ahli-ahli. Pemimpin tidak hanya mengawal dan mengarah tetapi berperanan sebagai jurulatih dan fasilitator.
(viii)         Sokongan Dalaman dan Luaran
Wujudnya persekitaran yang menyokong iaitu sokongan dalaman sebagai contoh kemudahan prasarana, latihan, sistem pengukuran yang difahami oleh ahli untuk mengukur prestasi keseluruhan mereka. Sokongan luaran pula ialah berkaitan dengan sumber-sumber yang disediakan kepada pasukan bagi memastikan kerja dilaksanakan dengan baik.

Halangan Pemikiran Kelompok
            Cabaran teori pemikiran kelompok dalam proses membuat keputusan ialah menghadkan perbincangan akibat kekangan masa. Proses interaksi dan perjumpaan yang kerap kali akan memakan masa berbanding dengan keputusan yang boleh dibuat secara individu. Selain itu, terdapat kumpulan pemikiran berkelompok  tidak bersifat kritikal dalam membincangkan sesuatu isu. Sikap terburu-buru membuat keputusan akibat pengaruh minoriti akan mengambil keputusan akhir berhubung dengan fenomena komunikasi. Keadaan ini akan memburukkan sesuatu kumpulan organisasi serta merugikan dalam banyak aspek seperti produktiviti dan budaya mengurus.
            Tekanan untuk patuh menyebabkan fenomena pemikiran kelompok (groupthink). Fenomena ini menyebabkan ahli akan bertindak untuk menyokong keputusan kumpulan dan mengabaikan pandangan pakar yang bijaksana dalam membuat keputusan. Keberkesanan dalam pengurusan kumpulan organisasi perlu menawarkan khidmat sokongan, pakar selaras dengan pelan pembangunan supaya maklumbalas yang positif bakal diperolehi serta menguntungkan organisasi.
            Selain itu, tanggungjawab individu dalam kumpulan yang masih kabur turut mengundang keputusan akhir yang tidak telus dan tepat. Peranan individu yang bercanggah akan menyebabkan konflik dan persoalan tentang siapakah yang bertanggungjawab terhadap keputusan akhir. Justeru, peranan ketua atau pemimpin perlu bersifat menyeluruh bagi memastikan sistem FAC 360 ° Feedback berbentuk ‘developmental’ perlakuan  individu dalam kumpulan menepati kehendak ‘Compentency-based human resourse management’ (Zainal Yang, 2002).
            Menurut Janis, Irving, 1972; dalam bukunya, ‘Victims of groupthink : A psyhological study of foreign policy decisims and fiascoes’, menjelaskan kepentingan ‘konsensus’ dalam membuat keputusan. Dalam membuat keputusan bagi sesuatu kumpulan yakni pemikiran kelompok (groupthink). Keadaan ini merujuk kepada persetujuan bersama yang dicapai dalam perbincangan tersebut. Halangan yang jelas berhubung dengan situasi ini di mana pihak yang terbabit begitu yakin dengan keputusan yang dicapai dan tidak bersedia dengan perancangan kontijensi yang lain. Kesan daripada tindakan ini akan menjejaskan prestasi kumpulan dalam proses membuat keputusan mereka. Justeru, banyak pihak yang gagal menyemal alternatif lain dalam membuat keputusakan akan menghambat keberkesanan kumpulan organisasi dalam konteks pemikiran kelompok (groupthink)
            Oleh sebab yang demikian, setiap kumpulan harus mendokong teori pemikiran kelompok ini (groupthink) dengan sebaik mungkin supaya hasilnya dalam membuat keputusan kumpulan lebih efisien dan berjaya.
Meningkatakan Keberkesanan Pemikiran Kelompok (Groupthink)
            Dalam proses membuat keputusan kumpulan melalui teori pemikiran kelompok (groupthink), sewajarnya pihak terbabit memikirkan cara untuk meningkatkan keberkesanan proses ini dalam kumpulan organisasi mereka. Antara lain, membina semangat kekitaan (espirt de corps) dalam memupuk kerjasama. Norma positif dalam kumpulan mendorong setiap ahli berjaya dan sekaligus meningkatkan kepuasan tindakan mereka. Di samping itu, usaha memberi ruang kepada pengurus untuk melakukan perancangan strategik melalui semangat kerja berpasukan akan mengurangkan masa menyelia setiap ahli. Keadaan ini akan memberi banyak masa kepada pengurus melaksanakan pemikiran strategik.
            Meningkatkan fleksibiliti organisasi membuat keputusan berkaitan masalah kerja akan memberi ruang ruang  fleksibel dan cepat untuk bertindak kerana mereka mempunyai banyak maklumat serta mudah diperolehi dalam konteks kumpulan mereka. Latar belakang dan penyelarasan yang berbeza dalam kumpulan akan menyumbangkan banyak  idea yang inovatif dan boleh membawa kepada keputusan yang lebih baik. Keadaan ini lahir daripada kepelbagaian tenaga kerja dalam kumpulan tersebut. Sistem 360 ยบ Feedback boleh menambahkan prestasi dan mengarah kepada perubahan perilaku yang kreatif dan inovatif dalam memajukan kumpulan organisasi mereka (Zainal Yang, 2002).
            Akhir sekali, peningkatan prestasi atau pencapaian mampu mengurangkan pembaziran, rangsangan idea untuk penambahbaikan serta meningkatkan output pekerja dalam kumpulan organisasi mereka. Usaha ini memberi impak kejayaan kepada tahap pembangunan kumpulan berdasarkan pemikiran kelompok (groupthink) secara keseluruhannya.
Pengalaman Berdasarkan Pemikiran Kelompok (Groupthink)
            Berdasarkan pengalaman sebagai seorang pendidik (guru), tanggungjawab membantu pelajar membuat keputusan dalam kumpulan adalah satu kebiasaan. Guru berperanan menyediakan aktiviti pembelajaran  yang menggalakkan pelajar berfikir[7] serta menyediakan pelbagai rangsangan untuk mencabar pemikiran mereka dalam membuat keputusan.  Dalam proses membuat keputusan, pelajar didedahkan dengan teknik membuat keputusan dengan mempertimbangkan pilihan dan kesan akibatnya. Berikut adalah Carta Pengurusan Grafik (PG) untuk membuat keputusan yang boleh digunakan oleh pelajar:-
Menyedari Masalah
Memahami Masalah
Meneroka Pilihan-Pilihan Penyelesaian
Meninjau Kesan Akibat Pilihan
Memilih Pilihan Terbaik Sebagai Penyelesaian
                                   
Sumber : Dipetik, http://mahirkbkk.tripod.com/masalah.htm
Pengaplikasian Dalam Pengajaran
(i)         Permulaan – Perkenalkan tajuk bagi mata pelajaran yang diajar dan kemahiran berfikir yang dipilihdan ransangkan perbincangan (pengurusan lisan) bagi menyelesaikan masalah menggunakan bahan rangsangan  yang berkaitan dengan situasi yang memerlukan penyelesaian.
(ii)        Perkembangan – Perkenalkan proses membuat keputusan dan Pengurusan Grafik (PG) yang hendak digunakan.
(iii)      Penutup – Merumuskan pilihan terbaik yang telah dibincangkan bagi menyelesaikan masalah berkaitan.                                                                                    
Penutup
            Sebagai kesimpulan, dapatlah dikatakan bahawa proses pembangunan kumpulan dan teori pemikiran kelompok (Groupthink) amat penting dalam bidang komunikasi. Fenomena ledakan teknologi maklumat dan komunikasi di negara ini banyak mempengaruhi cara manusia berfikir serta membuat keputusan  dalam kehidupan mereka yang semakin mencabar serta bersifat global. Zulkiple (2001) menegaskan bahawa perubahan dalam kehidupan manusia sama ada secara evolusi atau revolusi turut memberi pelbagai pembaharuan dalam bidang teknologi  maklumat dan komunikasi.
 Bibliografi:
Abdul Aziz Hussien Sazally, 2003. Individu Dalam Organisasi. Qalam INTURA
 : Penerbitan INTAN Wilayah Utara.
A.L. Ramaiah, 1999. Kepimpinan Pendidikan Cabaran Masa Kini (edisi baru). Selangor :
            Cetakrapi Sdn. Bhd.
Fred C. Lunenburg, 1995. The Principalship Concept and Application. London : Prentice
            Hall Inc.
Hogarth, R.M., 1980. Judgement and Choice : The Psychology of decision making.
            Chichester : Wily.
Janis, Irving L., 1972. Victims of groupthink : A psychological study of foreign policy
            Decisions and fiascoes. Boston : Houghton Miffin Company.
Janis, Irving L., 1972. Victims of Groupthink . New York : Houghton Miffin.
Siew Mei, Khong.1997. Buat Keputusan.
Som Hj. Nor dan Mohd Dahlan Mohd Ramli, 1998. Kemahiran  Berfikir Secara Kristis
            & Kreatif (KBKK). Petaling Jaya, Selangor : Longman.
Zahidi Mohd. Daud, 2003. Budaya Kerja Cemerlang. Qalam INTURA : Penerbitan
            INTAN Wilayah Utara.
Zainal Yang, 2002. Isu-Isu Dalam Penilaian Penuh Bulatan MaklumBalas
360ยบ Feedback Dan Amalan Perkhidmatan Awam Di Kanada. Mutiara ILMU : INTAN Kampus Wilayah Tengah Kuala Lumpur.
Zulkiple Abd Ghani, 2001. Islam, Komunikasi dan Teknologi Maklumat. Selangor :
            Dasar Cetak (M) Sdn. Bhd.
Laman Web:
Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif http://mahirkbkk.tripod.com/masalah.htm.



[1] Mempunyai cita rasa pelbagai.
[2] Sesiapa juga boleh menjadi ketua mengikut perubahan masa dan tugas.
[3] Persetujuan / permuafakatan untuk mencapai matlamat bersama.
[4] Sinergi berasal daripada perkataan Greek “Synergia” atau “Synergos” yang bermaksud kerjasama. Lihat juga, Peter Corning (Synergy and Self Organization in the Evolution of Complex Systerus-www.Complexsystems.com)
[5] Lihat, Horgarth, 1980; “Conceptualised the decision making process from a cognitive perspective, particularly focussing on the mental operation involved at each stage of the process.
[6] Lihat juga, Janis, Irving L,1972; “Occurs when a group makes faulty decisions  because group pressures lead to a deteriovation of “mental  efficiency, reality testing, and moral judgment” (p.9)
[7] Kemahiran berfikir secara kristis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

1 comment: