Translate

Tuesday 15 January 2013

Etika Profesional


Perkembangan dunia global masa kini dalam banyak perkara seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya memang tidak dapat dinafikan lagi. Keadaan ini berlaku dengan pantas tanpa mengenal batas ruang dan waktu dalam semua peringkat. Dalam dunia perniagaan, aspek pengurusan tidak lepas daripada tanggungjawab sosial dan moralnya  dalam memberi pertimbangan berkenaan dengan ”etika profesional”. Pengurusan yang menekankan keuntungan adalah menjadi matlamat teras mereka. Walau bagaimanapun, pengurusan yang menjadi semakin sengit dan berdaya saing telah memberi masalah dan tekanan berhubung dengan perhubungan manusia, khususnya yang berkaitan dengan etika dan moral. Keadaan ini berlaku kerana banyak  penyelewengan dan penindasan dalam perhubungan manusia.
            Berkaitan dengan tugasan ini, aspek perbincangan akan menjurus kepada dunia pendidikan di mana ianya merupakan justifikasi pemilihan tajuk yang berkaitan dengan karier pengkaji sendiri. Permasalahan etika dalam pengurusan bukanlah perkara baru, sebaliknya sudah lama berlaku dalam dunia perniagaan. Organisasi perniagaan yang menekankan aspek keuntungan dan  persaingan terpaksa berhadapan dengan cabaran penipuan dan amalan pemberian rasuah sebagai budaya. Senario sebegini telah mengundang banyak masalah berhubung dengan perhubungan individu, kumpulan, masyarakat, organisasi, dan sebagainya. Permasalahan yang wujud dalam aspek pengurusan menjadi semakin rumit sehingga berlanjutan kepada masalah peribadi seseorang. Keadaan ini akan memberi dilema etika yang sukar dibendung oleh mereka.
            Dalam konteks pendidikan, isu etika mempamerkan persoalan tentang etika yang tidak berkesudahan sehingga mencetuskan perbincangan dan isu dalam kalangan masyarakat kita (Juhary dan Ishak, 2004). Etika dan moral dalam dunia pendidikan adalah satu perilaku yang dianggap “common knowledge” bagi indvidu sejak dari dulu sehingga sekarang. Dalam tamadun masyarakat penerimaan tehadap aspek ini sudah menjadi dasar dan keperluan dalam banyak perkara serta menimbulkan banyak kesan ke atas perkerjaan, pengurusan, pentadbiran dan penerapan kualiti hidup dalam keluarga (Muhammad Nuruddin, 2006).
            Persoalannya, dalam dunia moden kini banyak berlaku masalah berhubung dengan etika dan moral. Negara kita sedang dilanda dekadensi moral dan etika yang parah (M. Kamal Hasan, 2004). Kehakisan nilai dalam masyarakat dicerminkan oleh kakitangan awam dengan wujudnya jenayah kolar putih, gejala sosial, diskriminasi, penindasan dan penyalahgunaan kuasa (Mustafar Ali, 2004, M. Kamal Hasan, 2004). Kepincangan ini berlaku akibat manusia kini dipengaruhi oleh unsur materialistik dan mengabaikan nilai agama (M. Kamal Hasan, 2004). Justeru, pada pandangan saya nilai etika dan moral ini menuntut setiap insan mempraktikkan teori keperibadian mulia dalam kehidupan mereka agar konsep "the golden mean" dapat dicapai.
Etika profesional secara praktiknya menilai moral sesuatu kumpulan atau individu dalam mengawal prestasi mereka berdasarkan sumber yang ada supaya tidak menimbulkan dilema etika  dalam pekerjaan yang dilakukan. Bertitik tolak daripada konsep ilmu, etika dan nilai berdasarkan kepada keyakinan yang tinggi bagi seseorang insan merubah menjadi individu yang suka berfikir dan mulia di sisi agama dan masyarakat (Roslan, 2005). Bagi seseorang guru, dilema etika yang kerap berlaku adalah berhubung dengan masalah kendiri, dengan pihak pentadbir, rakan setugas, masyarakat (ibu bapa) dan pelajar itu sendiri. Oleh yang demikian, keadaan ini perlu ditangani dengan baik supaya tidak mencetuskan  krisis etika dan moral yang berpanjangan di sekolah.

Apa itu Etika ?
Etika berasal daripada perkataan ‘ethics’ yang diambil daripada perkataan ‘ethos’ yang membawa maksud sikap dan adat yang menentukan tingkahlaku sesuatu golongan individu. Etika boleh dibahagikan kepada dua iaitu ′Normatik′ yang merujuk kepada panduan dan peraturan yang berkaitan dengan tingkahlaku yang baik dan jahat; manakala ′Metaethic′ pula dibahagikan kepada dua iaitu Analitik yang berkaitan dengan menganalisis semua peraturan yang berkaitan tingkahlaku baik dan jahat, dan Kritikal yang berkaitan dengan mengkritik terhadap apa-apa yang telah dianalisis. Dengan lain perkataan, etika dapat didefinisikan sebagai sains moral dan prinsip-prinsip moral (Rorzali, 2003).
Menurut konsep Barat, etika secara umumnya berasaskan kepada teori keperibadian mulia dalam kehidupan seharian manusia. Teori ini menekankan konsep untuk mencari kebaikan dalam keadaan yang seimbang tetapi tidak melampau dalam setiap perilaku (Muhammad Nuruddin, 2006).Sebagai contoh, sikap ingin membantu orang adalah baik tetapi tidaklah perlu sehingga menggadai nyawa dan harta benda sama sekali. Manakala konsep  agama Islam pula, menekankan tanggungjawab dan rasa kehambaan kepada Allah S.W.T. di samping menggariskan sikap-sikap kesederhanaan, pemaaf, pembalasan dan  tanggungjawab. Etika menurut Islam lagi adalah berkaitan dengan akhlak yang menjurus kepada kata jamak (plural) kepada khuluq yang bermaksud tabiat, adab, maruah dan tingkah laku yang baik. Sifat baik dalam Islam adalah moral, selaras dengan sumber Al-Quran dan Sunnah Hadis yang bertunjangkan akidah, syariah dan akhlak kepada kebesaran Allah S.W.T. (Muhammad Nuruddin, 2006).          
                   Pada asasnya etika adalah falsafah moral yang mengambil kira tindakan atau tingkahlaku manusia secara keseluruhannya. Hal-hal moral ini menyentuh akan prinsip-prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul. Untuk membentuk etika yang baik, tingkahlaku seseorang itu adalah penting dan seseorang itu perlu ada panduan dan peraturan yang berkaitan dengan tingkahlaku bagi mengawal dirinya dalam setiap tindakan yang dilakukan. Dengan berasaskan kepada etika yang ada maka konflik terhadap keinginan boleh diselesaikan dan seterusnya meningkatkan fungsi sosial seseorang itu. Hujah ini dapat disokong dengan pendapat French dan Granrose (1995) yang mengatakan, "A set of normative guidelines directed towards resolving conflicts of interest,so as to enhance societal well-being".
Sesuatu etika yang berasaskan kepada kebaikan adalah bergantung kepada penilaian daripada beberapa tret sifat yang terpilih dan seharusnya tidak terkeliru dengan prinsip atau kenyataan tentang apa yang sepatutnya dilakukan. Etika adalah berkaitan dengan sifat-sifat semulajadi, tabiat yang dimiliki oleh seseorang atau keinginan yang dimilikinya. Moral pula boleh dikatakan sebagai sifat semulajadi yang kekal dan tabiat yang berkaitan dengan moral yang terpuji. Dengan kata lain, kebaikan (virtue) adalah berhubung dengan kualiti dalaman yang dimiliki oleh seseorang dan dilihat menerusi aktiviti sehariannya. Etika kebaikan adalah berasaskan kepada keadaan semulajadi daripada apa yang telah dilakukan (Rorzali, 2003).

No comments:

Post a Comment