Translate

Tuesday 15 January 2013

Etika Komunikasi Dalam Profesyen Keguruan


Etika Komunikasi Dalam Profesyen Keguruan
Dalam Etika Profesyen Keguruan, tugas dan peranan guru bukan semata-mata tanggungjawab terhadap pelajar, ibu bapa, masyarakat dan negara, serta rakan sejawat dan profesyen keguruan itu sendiri malah dalam aspek komunikasi ianya menggariskan akan pentingnya Kod Etika tersebut mereka dapat berkomunikasi dan berinteraksi secara berkesan dengan ibu bapa dan penjaga, menghormati peranan, tanggung jawab dan minat mereka dalam pembelajaran pelajar. Guru memainkan peranan penting dan merupakan nadi kepada pembentukan manusia. Guru sangat perlu bagi melahirkan insan yang seimbang dari semua segi.
Pembangunan insan harus diseimbangkan agar nilai-nilai moral masyarakat supaya sentiasa terpelihara. Mantan Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohammad menyeru agar guru-guru mempunyai sahsiah dan akhlak yang boleh diteladani oleh pelajar dan masyarakat di samping menguasai pelbagai ilmu, antara lain dalam bidang yang berkaitan dengan teknologi maklumat, bahasa dan kemahiran berkomunikasi. Guru memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk watak, sahsiah dan moral pelajar. Usaha ini perlu dimulakan dengan mewujudkan sekolah dengan watak yang dapat dibanggakan oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat. Pembangunan insan cemerlang menjadi begitu penting sekali bagi negara yang akan menjadi negara maju pada awal abad yang akan datang.
Etika komunikasi dalam profesyen keguruan termaktub dalam Etika Profesion Perguruan Malaysia dan Etika Kerja yang mantap perlu diamalkan untuk memastikan warga Kementerian Pendidikan Malaysia mempunyai sifat-sifat luhur, bertanggungjawab, dan tahap profesionalisme yang tinggi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Matlamat untuk mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia dan memjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini menjadi panduan yang menjadi pegangan setiap warga Kementerian Pendidikan Malaysia berdasarkan nilai-nilai akhlak mulia. Jelasnya, etika komunikasi dalam profesyen keguruan ditakrifkan sebagai “satu cabang ilmu pengetahuan yang berurusan dengan apa yang baik dalam interaksi dan komunikasi berteraskan nilai-nilai agama dan moral”.
Dalam hal ini, guru-guru yang mempunyai sifat komunikasi yang baik berupaya menjalankan tugas sebagai penasihat, mentor, fasilitator, pelatih dan pakar kurikulum dalam usaha membawa pembaharuan dalam sekolah. Guru haruslah mengekalkan kepercayaan orang lain terhadap dirinya. Hal ini kerana ia dapat melahirkan perasaan hormat dari orang yang dipengaruhi iaitu pelajar. Jadi, menjadi tugas guru untuk memperkembangkan personaliti diri bagi menarik berkesan adalah guru yang memperoleh ilmu pengetahuan khususnya kemahiran mengajar yang berkaitan dengan aspek komunikasi seperti: (1). Menguasai ilmu pengetahuan dalam teori pembelajaran dan psikologi manusia. (2). Menunjukkan sikap jujur yang dapat menggalakkan pembelajaran serta mewujudkan interaksi yang positif dalam pelbagai hala. (3). Memperoleh ilmu pengetahuan yang lengkap dalam mata pelajaran yang diajar. (4). Menggunakan kaedah dan teknik mengajar  yang  mewujudkan aktiviti pembelajaran dalam kalangan pelajar mereka. Perkara terpenting yang harus dilakukan guru ialah mencurahkan ilmu yang mereka ada kepada para pelajar supaya mereka dapat menempa kejayaan dalam bidang akademik.
Guru memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi kecenderungan dan minat pelajar terhadap pelajaran. Guru perlu mempunyai kemahiran, kebolehan, beriltizam dan berketrampilan serta mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang tugas agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan berkesan. Terdapat banyak peranan yang perlu dimainkan oleh guru di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pendidik. Dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik, guru diharapkan menjadi pemimpin yang berjaya membina pelajarnya. Beliau berperanan membuka minda pelajarnya, mengenal pasti kemahiran dan potensi yang mereka miliki, membina potensi yang baik yang ada pada mereka dan mengarahkan mereka memilih kerjaya supaya sesuai dengan kecenderungan dan kemahiran yang ada pada diri mereka. Guru juga berperanan membantu pelajar menyelesaikan masalah akademik, peribadi dan kemasyarakatan yang sering dihadapi oleh pelajar.
Selanjutnya, tugas para guru yang paling penting dalam menyahut etika komunikasi ini adalah tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara. Selaras dengan amalan komunikasi yang baik dan positif mereka wajar mengelakkan diri dari menyebarkan sesuatu ajaran yang yang boleh merosokkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan dengan Rukun Negara. Sepatutnya guru mendidik, mencorak, membimbing di samping memberi ilmu pengetahuan supaya pelajar dapat berfungsi dalam masyarakat dengan penuh tanggungjawab dan harmonis. Tetapi tindakan yang menyimpang daripada etika komunikasi ini di mana ada guru yang menerapkan nilai, kepercayaan dan fahaman mereka sendiri seperti apa yang berlaku guru membawa bersama-sama pelajar dalam gerakan refomasi;  membentuk pelajar mengikut apa yang  mereka fikirkan betul; dan terdapat fahaman guru berkonflik dengan hasrat dan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara atau Tatasusila Profesioan Perguruan Malaysia. Keadaan seperti ini tidak sepatutnya wujud dalam kalangan guru-guru.
Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai-nilai yang  boleh membantu dan membimbing mereka menjadi warganegara yang yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna menghormati orang tuan dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama. Perkara ini biasanya dibentuk melalui kegiatan ko-kurikulum di sekolah, di mana pelajar diasuh menghormati ketua. Kegiatan ko-kurikulum boleh membantu pelajar dalam menanam sikap suka tolong menolong, melakukan amal kebajikan, menjauhi perkara keji ,dan merupakan etika komunikasi yang  mulia yang dapat dilahirkan melalui kegiatan ko-kurikulum. Dari sudut yang lain, tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara ialah mewujudkan kerjasama melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). PIBG dan masyarakat sama-sama memainkan peranan dalam memajukan sekolah. Walau bagaimanapun terdapat sekolah di mana PIBG hanya wujud pada namanya sahaja tetapi semua perkara diuruskan oleh pihak sekolah. Sebagai contoh sambutan Hari Guru setiap tahun ianya dijalankan sendiri oleh warga pendidik. Sepatutnya pihak ibubapa harus terlibat sama bagi menghargai pengorbanan guru-guru mendidik anak-anak sehingga berjaya. Walaupun perkara ini terdapat dalam etika perguruan tetapi dari segi realitinya hanya pihak guru memainkan peranan tanpa sokongan dari pihak lain. Dari segi etika komunikasi, guru sememangnya memainkan peranan cergas dalam meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendikiawan masyarakat tetapi biasanya guru lebih bertindak bersendirian dalam hal ini.
Berhubung kait dengan tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesyen keguruan, para guru harus mengelakkan diri dari membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibubapa atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru. Sebagai seorang yang profesional maka sudah tentulah seseorang guru akan menjaga profesion perguruan dan maruah seseorang guru. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib, menegaskan ‘untuk mencapai hasrat kita ke arah mewujudkan word class education dan seterusnya world class nation, kita memerlukan gabungan tenaga, pemikiran dan daya kreatif dari setiap warga Kementerian. Warga Kementerian perlu visi dan nilai yang dikungsi bersama’.
           Oleh hal yang demikian kita perlu sama-sama menjaga  profesion perguruan supaya pelanggan dan stakeholder kita berasa berpuas hati dan kehendak-kehendak mereka yang sah dapat dipenuhi.  Apa yang masyarakat mahu ialah penghasilan kerja sama ada perkhidmatan atau barangan dikeluarkan tanpa cacat, tepat, dan boleh dipercayai. Sehubungan dengan ini maka kita perlu menjaga profesion perguruan maruah seseorang guru.               
 Kepentingan  Etika Komunikasi
Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa etika komunikasi dalam profesyen perguruan sangat penting dan selari dengan Kod Etika Profesion Keguruan sedia ada. Sifat profesyen perguruan yang profesional sejajar sebagai satu pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan  latihan ikthisas yang berkualiti, bersikap jujur, dedikasi , bertanggungjawab, bermoral tinggi dan mempunyai autonomi bertugas serta mematuhi etika yang ditentukan oleh organisasinya (Mak Soon Sang, 2004). Menurut beliau lagi, walaupun profesion keguruan masih belum dianggap sebagai suatu profesion sepenuhnya seperti doctor dan peguam, namun beliau membuat rumusan bahawa keguruan juga mempunyai ciri-ciri tertentu yang terkandung dalam konsep profesion iaitu: [1]. Mempunyai latihan Ikthisas dalam Perguruan; [2]. Mempunyai autonomi menentukan kaedah mengajar dalam bilik  darjah; [3]. Menjadi ahli kesatuan yang menentukan kod etika sebagai panduan guru dalam segala aktiviti profesionalnya; dan [4]. Pekerjaanya merupakan perkhidmatan yang penting kepada individu dan Negara. Kesemua ini bersandarkan akan kepenting etika komunikasi dalam menjalankan tugas serta tanggungjawabnya di sekolah.
Tambahan pula, kaum guru dikatakan pakar dalam pendidikan. Mengikut Mok Soon Sang (2004) untuk menjadi guru yang berkesan guru seharusnya mempunyai sifat-sifat dan kualiti profesional yang murni seperti berikut; [1]. Sifat ingin Tahu yakni sifat  mendorong guru sentiasa menambah  ilmu pengetahuannya dengan terus belajar dan mendalami dalam apa jua bidang khususnya dalam bidang kurikulum  demi kepentingan kerjaya dan profesyennya. Sebagai seorang guru yang professional beliau harus mengamalkan budaya pembelajaran seumur hidup (longlife learning).
            Bagi menyahut cabaran masa kini, guru harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan seperti ilmu psikologi, pedagogi, kandungan mata pelajaran dan kaedah penggunan Bahan Bantuan Mengajar (BBM). Selain itu mereka disaran banyak membaca agar mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam dengan ini penyampaian pelajaran akan lebih yakin seterusnya kualiti professional guru dapat  dipertingkatkan. Aspek komunikasi yang penting di mana mereka harus mahir bertutur dan menjadi penyampai yang berkesan. Apabila mereka mahir bertutur dalam penyampaian pelajaran   akan lebih berkesan seperti  penggunaan sebutan  dan tatabahasa yang betul murid-murid tidak akan tersilap.  Para guru juga harus mempunyai daya ingatan yang kuat supaya dapat menyampaikan isi pelajaran dengan sepenuhnya kepada murid agar tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka. Sifat daya usaha yang tinggi para guru adalah diharapkan supaya tidak rasa bosan dengan rutin tugas  harian. Mereka  akan sentiasa mencari pendekatan mengajar yang baru supaya pengajaran sentiasa menjadi menarik dan berkesan. Perkara yang lebih penting lagi di mana para guru dituntut supaya menjadi pendengar yang  baik (good listener).
            Dalam era perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, para guru sewajarnya menyahut cabaran etika komunikasi agar menguasai ilmu ICT (Information Communication Techonology). Guru dituntut agar menggunakan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Fungsi guru dalam era ICT adalah sebagai fasilitator atau pemudahcara oleh itu mereka perlu mempunyai pelbagai ilmu terutama  dalam mata pelajaran yang diajar dan kemahiran komputer. Mereka mesti sentiasa mendahului pelajarnya dalam ilmu pengetahuan. Dari aspek bahasa, penguasaan bahasa Inggeris yang baik dalam kalangan guru akan lebih mudah meneroka ilmu melalui internet. Dengan pelaksanaan dasar kerajaan yang mewajibkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tuntutan untuk menguasai bahasa tersebut adalah semakin perlu. 

No comments:

Post a Comment