Translate

Tuesday 15 January 2013

Globalisasi Barat

GLOBALISASI BARAT TELAH BERJAYA MERESAP DAN MENDOMINASI TERHADAP BUDAYA ISLAM

PENGERTIAN GLOBALISASI

Globalisasi sering dikaitkan dengan proses menjadikan dunia satu perkampungan sejagat yang berkembang pesat sejak akhir-akhir ini. Thomas Friedman, di dalam bukunya The Lexus and The Olive Tree menganggap globalisasi sebagai 'Orde Baru Dunia' yang diwarwarkan kuasa-kuasa Barat selepas tamatnya Perang Dingin dengan blok Komunis. Ramai mengaitkan globalisasi dengan ideologi neo-liberalisme yang kini menjadi pilihan begitu banyak kuasa-kuasa dunia. Ada pelbagai definisi mengenai gelombang persejagatan yang melanda dunia dewasa ini. Namun secara umumnya, bolehlah diertikan bahawa globalisasi membawa erti proses saling-pergantungan yang makin meningkat bagi seluruh dunia yang semakin kecil. Dunia semakin hari menjadi entiti yang 'satu'. 

Definisi yang komprehensif mengenai globalisasi ialah proses perubahan dalam segala aspek yang mengecilkan dunia menjadi perkampungan sejagat. 

KONSEP DAN TEORI GLOBALISASI
Dewasa ini, istilah “globalisasi” diberi beberapa pengertian dan difahami di dalam pelbagai konteks penggunaannya. Berikut adalah beberapa definisi dan penjelasan tentang globalisasi. Menurut Princeton N. Lyman, Felo Kanan di Institut Keamanan, Amerika Syarikat dan bekas Duta negara itu ke Afrika Selatan, globalisasi biasanya diertikan sebagai merujuk kepada “rapid growth of interdependency and connection in the world of trade and finance.” Tetapi beliau sendiri berpendapat bahawa globalisasi tidak boleh dihadkan kepada fenomena perdagangan dan pengaliran kewangan yang berkembang dan kian meluas. Ini kerana “There are other trends driven by the same explosion of technological capability that have facilitated the financial changes. Globalization of communications is one such trend.” 
Dalam terbitan yang menjelaskan agenda penyelidikannya, Pusat Kajian Globalisasi dan Regionalisasi, Universiti Warwick, England juga menolak pengertian globalisasi yang yang terhad kepada fenomena ekonomi. Di samping itu, ia tidak dapat menerima pandangan yang mengatakan bahawa apa yang disebut globalisasi hanyalah merupakan fenomena Amerika Utara, bukannya fenomena Eropah. Insitut itu menekankan pendiriannya bahawa kefahaman tentang globalisasi mengambil pelbagai dimensi, iaitu politik, ideologi, ekonomi dan budaya. Globalisasi ialah suatu himpunan proses pengaliran global berbagai-bagai jenis objek yang melibatkan pelbagai bidang aktiviti manusia. Objek yang diglobalisasikan boleh jadi fizikal atau bukan fizikal. Boleh jadi ia dalam bentuk maklumat, idea, nilai, institusi, atau sistem. Himpunan proses pengaliran global ini dan bidang aktiviti manusia yang terlibat kian kait mengait, saling bergantung dan kompleks sifatnya. Dengan bersandarkan takrif dan penjelasan ciri-ciri utama globalisasi yang dinyatakan di atas, kita dapati adalah munasabah untuh membahagikan fenomena dan proses globalisasi kepada pelbagai dimensi termasuklah empat dimensi yang terpilih untuk dibincangkan kesannya terhadap budaya Islam. 


Globalisasi yang diberi erti luas ini adalah suatu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan. hakikat yang dinamakan globalisasi itu sebenarnya sudah wujud sebelum istilah globalisasi diperkenalkan lagi. “Globalization was a reality without a name.” Globalisasi tanpa nama ini sudah wujud bukan sahaja dalam era penjajahan dan imperialisme Barat yang bermula di sekitar tahun 1500 tetapi juga sebelumnya dalam era tamadun Islam menguasai dunia. Malahan trend globalisasi dalam era dominasi Islam pula dapat dikesan akar umbinya ke zaman pra Islam. Pada sifatnya, imperialisme adalah suatu bentuk globalisasi. Paling tidaknya, ia boleh dianggap sebagai agen globalisasi. Setiap imperialisme mempunyai kecenderungan untuk menglobalisasikan objek-objek tertentu. Dari segi ini, kita boleh memperkatakan bahawa sebelum Islam, tamadun Romawi dan tamadun Parsi telah mencetuskan trend-trend tertentu globalisasi dalam eranya atau pun memperpesatkan trend-trend yang sedia ada. Dalam membuat dakwaan bahawa globalisasi adalah suatu kenyataan sebelum zaman kontemporari. Terdapat perbezaan ketara antara globalisasi dalam satu era dengan globalisasi dalam era yang lain. Namun demikian, perbezaan itu bukan dari segi sifat tetapi dari segi ciri-cirinya. 

Fenomena globalisasi boleh dikiaskan sebagai gelombang yang melanda dunia. Gelombang globalisasi pada zaman moden lebih besar, kuat dan laju daripada gelombang globalisasi dalam era Islam. Tetapi gelombang globalisasi zaman pasca moden lebih besar lagi, lebih perkasa dan lebih pantas lagi jika dibandingkan dengan gelombang globalisasi zaman moden. 


GLOBALISASI DALAM ERA DOMINASI ISLAM
Globalisasi dalam era Islam tertonjol dalam empat bidang, iaitu bidang ilmu, bidang ekonomi khususnya perdagangan, bidang agama dan bidang sains dan teknologi. Bukanlah suatu perkara yang menghairankan kita kalau Islam muncul sebagai pencetus dan penggerak utama globalisasi pada masa lampau atau pada bila-bila masa. Sesebuah kuasa atau sesuatu peradaban tidak boleh menjadi penggerak globalisasi sekiranya ia tidak memiliki semangat globalisme. Adalah suatu kebenaran bahawa “tidak ada globalisasi tanpa globalisme.” Islam mempunyai semangat globalisme dan sangat berminat untuk melihat segala persoalan kemanusiaan dari perspektif global. Salah satu sumbangan besar Islam terhadap peradaban dunia ialah semangat globalisme dan kesejagatan yang telah dipupuknya dan ditiupnya ke segenap penjuru dunia. Semangat inilah yang telah memungkinkan Islam menjadi pengasas penulisan sejarah dunia, ilmu perbandingan agama, sosiologi, tradisi sains sejagat, institusi saintifik bertaraf “antarabangsa” dan penggembaraan dunia. Tanpa terasas semua amalan yang berdimensi global ini, sudah pasti kemajuan dunia dan proses globalisasi di zaman-zaman berikutnya lebih perlahan. 

Di samping mempunyai semangat globalisme, Islam juga mempunyai institusi yang berperanan besar dalam meniupkan roh globalisasi di sepanjang zaman. Institusi haji merupakan agen terpenting globalisasi dalam peradaban Islam. Peranan institusi ini memang unik. Ia mencetuskan dan menggerakkan globalisasi dalam berbagai-bagai bidang termasuklah globalisasi maklumat dan ilmu dan globalisasi politik. Oleh kerana institusi ini kekal sifatnya, maka peranannya sebagai agen terpenting globalisasi dalam Islam juga berkekalan. Hari ini pun, pada ketika dunia Islam tidak bermaya menghadapi cabaran globalisasi kontemporari, institusi hajilah satu-satunya institusi yang dapat menjamin semangat globalisme akan terus dihayati oleh dunia Islam. 

Ilmu adalah salah satu penggerak utama peradaban Islam. Sikap positif Islam terhadap semua jenis ilmu pengetahuan telah memungkinkan tercetusnya gelombang pertama globalisasi ilmu yang pernah disaksikan oleh dunia. Dalam zaman kemegahannya, institusi ilmu seperti universiti betul-betul telah berperanan sebagai agen globalisasi ilmu dalam pengertian yang difahami hari ini. Pelajar-pelajar bukan Islam dari Cina di sebelah Timur dan dari England sebelah Barat seperti Roger Bacon dari Oxford telah menuntut di pusat-pusat ilmu dunia Islam untuk menimba ilmu pengetahuan. Sebagai salah satu kesan globalisasi ilmu ini, bahasa Arab telah diglobalisasikan sebagai bahasa ilmiah antarabangsa yang perlu dipelajarai oleh sesiapa juga yang inginkan kemajuan pada masa itu. Mulai kurun kesepuluh Masehi, bahasa Arab telah diajar di pusat-pusat ilmu di Jerman, Perancis, England, dan Itali. Kepantasan penyebaran ilmu terkini juga mengkagumkan. Telah dilaporkan bahawa dua saintis agung Islam, Ibn Sina dan al-Biruni yang hidup sezaman pada kurun kesepuluh telah berdebat di Asia Tengah tentang beberapa isu saintifk. Beberapa hari kemudian, perbahasan itu telah heboh diperkatakan oleh para ilmuwan di Sepanyol. Ini menunjukkan tahap globalisasi ilmu yang telah dicapai dalam era pra internet. 

Globalisasi moden tidak mungkin menjadi suatu kenyataan sekiranya tidak ada tradisi pelayaran dan penggembaraan global sebelumnya. Kemunculan peradaban Islam sebagai sebuah peradaban global telah membuka suatu era baru dalam dunia pelayaran dan pengembaraan. Faktor-faktor khusus yang telah merevolusikan dunia pelayaran dan pengembaraan dalam era Islam dan perihal banyaknya tertulis kisah-kisah pengembaraan telah diterangkan oleh Seyyed Hossein Nasr seperti berikut:
The vastness of the Islamic world, and the unity imposed upon it by a common law, sacred language and cultural elements, facilitated travel to the farthest regions by both land and sea. The accounts of these travels, which vary greatly in quality, provide a precious source for the study of many different human societies, as well as of aspects of natural history and geography. There is hardly a region which some traveler did not visit, whether in Central Africa, in northern Europe or in the farthest confines of Asia

Selama empat kurun, iaitu dari kurun kesepuluh hingga ke kurun keempatbelas Masehi, pelayar-pelayar Islam menjadi “raja laut” yang tidak ada tandingan. Inilah zaman pengembaraan yang telah menghasilkan legenda Sinbad the Sailor dalam kisah SeribuSatu Malam yang masih mempesona imaginasi dunia. Kemajuan dalam bidang pelayaran berkaitrapat dengan kemajuan komunikasi dan globalisasi perdagangan. Maka bukanlah secara kebetulan sahaja bahawa tempoh empat kurun yang dinyatakan tadi merupakan tempoh Islam mendominasi perdagangan dan ekonomi dunia. Terdapat suatu pertalian dan interaksi yang dinamis antara dua bidang itu. Kalaulah hari ini peniaga-peniaga Jepun, Amerika dan Eropah membanjiri dunia Islam untuk urusan perniagaan dan perdagangan, di masa lampau dalam kurun-kurun yang tesebut di atas peniaga-peniaga Islam yang membanjiri pasaran dunia. Di negeri Cina, salah sebuah pusat perniagaan terkemuka di dunia pada zaman itu, masyarakat peniaga-peniaga Islam yang datang dari serata dunia Islam agak besar dan mereka amat dihormati. Ibn Battuta yang pernah melawat negara itu pada kurun keempatbelas Masehi telah merakamkan pemerhatiannya:
In every Chinese city there is a quarter for Muslims in which they live by themselves, and in which they have mosques both for the Friday services and for other religious purposes. The Muslims are honoured and respected.......When a Muslim merchant enters any town in China, he is given the choice between staying with some specified merchant among the Muslims domiciled there, or going to a hostelry. 
Rantau Nusantara yang terletak di kawasan geografi yang amat strategik di tengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa yang menghubungkan Timur dan Barat telah menerima pengaruh dan kesan besar daripada globalisasi ekonomi era Islam ini. Berkat gelombang globalisasi ekonomi ini, alam Melayu telah menerima kedatangan kaum pedagang Islam yang singgah atau bermastautin di sini. Sebagai salah satu kesan utamanya, agama Islam mula tersebar di dunia sebelah sini. Pada hari ini terlalu sukar untuk kita bayangkan kaum pedagang boleh menjadi pengembang agama. Budaya pedagang moden dan kontemporari tidak serasi dengan tuntutan “budaya bermartabat tinggi” (high culture) sama ada budaya agama atau budaya intelektual. 
Oleh yang demikian, adalah suatu yang terpuji bahawasanya kaum pedagang Islam telah memberi sumbangan signifikan terhadap pengembangan agama Islam di rantau ini. Zaman yang sama juga telah menyaksikan peningkatan globalisasi keagamaan menerusi aktiviti global dakwah Islam. Kedatangan Shaykh Isma’il, utusan Sharif Mekah, ke Samudra pada kurun ketigabelas M. untuk berdakwah dengan disertai oleh bekas Raja Ma’abri (Coromandel coast), Sultan Muhammad, yang sanggup turun takhta demi dakwah dan kedatangan Makhdum Karim (Tuan Sharif Awliya’) ke Sulu pada kurun keempatbelas M. untuk menyebarkan Islam di kawasan itu harus dilihat dalam konteks globalisasi dakwah yang mendapat momentum baru mulai kurun ketigabelas M. Sebagai akibat dua dimensi globalisasi ini, Islam telah berkembang pesat di alam Melayu. Peradaban Melayu-Islam muncul sebagai peradaban terbesar dan paling berpengaruh di Asia Tenggara. 
Globalisasi ekonomi dalam era Islam juga mengamalkan pasaran dan perdagangan bebas tetapi amalan itu berdasarkan nilai-nilai kerohanian dan moral seperti keadilan dan kamakmuran bersama. Peradaban ekonomi yang negara ini perlukan ialah sistem, institusi dan amalan ekonomi yang didasarkan kepada nilai-nilai seperti itu. Prinsip-prinsip ekonomi dan ajaran-ajaran lain yang relevan dengan ekonomi seperti yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. boleh memberi sumbangan besar terhadap usaha untuk membentuk peradaban ekonomi yang dihajatkan ini. Tetapi malangnya, dari segi teori dan amalannya, prinsip-prinsip ini agak terbiar. Apa yang disebut-sebut sebagai ekonomi Islam oleh beberapa kalangan perlu dikaji semula.

Di Barat sendiri ada wacana tentang konsep pembangunan yang berasaskan keimanan dan kepercayaan agama (faith-based development). Misalnya, baru-baru ini dialog telah diadakan di Universiti Harvard antara agama-agama tentang konsep pembangunan ini. Dialog itu dianjurkan oleh beberapa pihak dan beberapa buah badan termasuk World Peace Foundation, Archbishop of Canterbury, Aga Khan Foundation dan World Bank. Tumpuan perbincangan ialah kepada pendekatan Islam terhadap isu pembangunan yang berasaskan keimanan. Institusi ekonomi yang didasarkan kepada ibadat haji dan prinsip zakat adalah contoh penting pembangunan ekonomi dalam pengertian yang diperkatakan. Ini menunjukkan bahawa idea pembangunan ekonomi yang berteraskan ajaran-ajaran Islam boleh diglobalisasikan. 

GLOBALISASI DALAM ERA PENJAJAHAN BARAT

Dunia Islam dan peradabannya tidak jatuh seluruhnya serentak. Peradaban naik dan turun mengikut hukum-hukum alamnya sendiri. Ia tidak naik secara tiba-tiba dan tidak turun dengan serta merta. Setelah merosot ke suatu tahap, ia boleh naik semula ke puncak baru. Dalam era yang diperkatakan ini masih muncul kuasa baru dari kalangan umat Islam. Khasnya, Turki telah muncul sebagai kuasa dunia yang digeruni Eropah. Seluruh Balkan ditaklukinya. Tentera Turki mara hingga ke “gates of Vienna.” Tetapi pada umumnya, proses kemerosotan peradaban Islam telah bermula. Namun demikian, di tengah-tengah kebangunan Eropah ini dengan kuasa yang kian mendominasi dunia, Islam terus menerus memberi tentangan dan persaingan hingga ke hari ini. Globalisasi era kedua ini yang berakhir dengan kemerdekaan bangsa-bangsa yang telah dijajah oleh kuasa-kuasa Barat bolehlah dilihat sebagai pertarungan sengit antara kuasa-kuasa Barat dan kuasa-kuasa Islam dan sebagai perebutan pengaruh antara peradaban Barat dan peradaban Islam. Dari segi pandangan kuasa-kuasa Barat sendiri, semangat globalisasi dalam gelombang kedua ini disemarakkan oleh tiga G yang masyhur, iaitu God, Gold and Glory. Dalam bahasa Melayunya, 3 K, iaitu “Ketuhanan, Kekayaan dan Keagungan.” Amat mustahak kita memahami semangat tiga G ini sekiranya kita ingin menyelami psiki (psyche) Barat yang mendorong mereka untuk mendominasi bukan sahaja globalisasi era penjajahan ini tetapi juga globalisasi kontemporari. Ada kesinambungan semangat antara dua era globalisasi ini. 

GOD ( KETUHANAN )

Barat berminat untuk menyebarkan agama Kristian ke seluruh dunia. Agama Kristian macam juga agama Islam adalah agama tabligh. Tetapi Islamlah yang mula-mula menglobalisasikan agama. Dunia Barat menglobalisasikan agama Kristian sebagai reaksi dan persaingan kepada Islam yang telah pun menjadi agama global. Fakta ini akan terus menjanjikan perebutan pengaruh dan pengikut antara dua agama ini. Implikasi politiknya juga banyak. Sepanyol dan Portugal yang merupakan dua kuasa dunia terawal dari Barat dalam era globalisasi yang diperkatakan ini telah berjaya menjadikan benua Amerika Selatan sebagai benua Katolik. Asia Tenggara turut menerima kesan globalisasi agama Sepanyol yang mula tiba di kawasan ini di pertengahan kedua kurun keenambelas M. Kepulauan Filipino telah diKristiankan. Hanya keberanian dan kegagahan bangsa Moro yang telah menyekat kemaraan Kristianisasi ke Filipina Selatan. Apa pun, konflik 300 tahun di Filipina Selatan yang masih berterusan adalah kesan berpanjangan globalisasi agama yang diterajui oleh Sepanyol. Walaupun selepas kurun ketujuhbelas M pengaruh agama Kristian di Barat mengalami kemerosotan, namun di Afrika dan Asia agama itu terus berkembang. Dewasa ini, banyak kumpulan gereja di Barat bergerak cergas sebagai agen globalisasi agama Kristian. Kumpulan evangelical muncul sebagai penggerak yang paling aktif dan agresif. 

GOLD ( KEKAYAAN )

Kuasa-kuasa Barat berminat untuk mengaut kekayaan tanah jajahan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing. Perebutan emas dan sumber kekayaan lain di tanah jajahan di tiga benua dan monopoli perdagangan dunia merupakan penggerak utama globalisasi era ini. Mereka telah berperang sesama sendiri kerananya. Alam Melayu terjejas bermacam cara dengan konflik di kalangan kuasa-kuasa kolonial ini. Khususnya, pembangunan dan kemajuan peradaban Melayu-Islam terjejas teruk. 


GLORY ( KEAGUNGAN )

Dunia Barat telah mempunyai tanggapan yang berubah-ubah mengikut perubahan zaman. Di peringkat awal era penjajahan ini, maksud “glory” yang meliputi ide kebanggaan dan kemegahan ditujukan kepada raja dan bangsa. Kemudian, apabila timbul kesedaran meluas terhadap hakikat peradaban Barat yang dikongsi bersama oleh pelbagai bangsa Eropah, konsep keagungan mula dipindahkan kepada peradaban Barat. Hari ini yang diagungkan ialah nilai-nilai Barat seperti nilai dan sistem demokrasi, yakni sistem pemerintahan. Dalam konteks zaman ini, tiga G merujuk kepada “gold, governance, and God.” 

BUKTI GLOBALISASI BARAT TELAH BERJAYA MERESAP DAN MENDOMINASI TERHADAP BUDAYA ISLAM : 
KESAN POSITIF GLOBALISASI BARAT

(1) Wujudnya peranan pelaburan asing (FDI) dalam mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan di sebilangan negara. 

(2) Wujudnya peningkatan mobiliti sosial dan pengukuhan kelas menengah.

(3) Wujudnya peluang yang lebih luas untuk mendapatkan maklumat dan menyebarkan ilmu pengetahuan berkat teknologi baru komunikasi dan maklumat.

(4) Wujud komunikasi yang lebuh mudah dan juga murah.

(5) Wujud peluang yang lebih luas untuk manusia dari berbagai-bagai kumpulan etnik, budaya dan agama berinteraksi. 

(6) Wujud peluang lebih luas untuk menzahirkan simpati dan rasa keperimanusiaan mereka terhadap mangsa-mangsa pelbagai jenis bencana alam dan tragedi buatan manusia di seluruh dunia.

(7) Wujudnya penonjolan idea-ide dan amalan pemerintahan yang baik seperti pertanggungjawaban awam, peraturan undang-undang dan hak-hak asasi manusia 

(8) Telah berlakunya penonjolan hak-hak asasi kaum wanita. 

KESAN NEGATIF GLOBALISASI BARAT

1) kualiti alam sekitar semakin merosot sebagai akibat terlalu mementingkan faktor keuntungan.

2) Pembangunan yang tidak seimbang dan jurang perbezaan ekonomi yang semakin melebar antara kawasan-kawasan di sesebuah negara dan antara sektor-sektor ekonomi.

3) Pengabaian keperluan asas hidup di kalangan rakyat termiskin di banyak negara terutamanya di negara-negara Selatan

4) Modal jangka pendek yang keluar masuk pasaran seperti kilat sebagai akibat amalan baru yang menjadikan wang sendiri sebagai komoditi keuntungan.

5) Pengangguran yang semakin memburuk dan jurang perbezaan pendapatann yang semakin melebar di negara-negara Utara sendiri.

6) Penyebaran budaya pengguna yang bertentangan dengan tuntutan nilai-nilai kerohanian dan moral yang murni dan yang merendahkan martabat keinsanan manusia.

7) Kecenderungan ke arah pembentukan suatu budaya global yang homogen menerusi peranan yang dimainkan oleh perbadanan transnasional dan media komunikasi global.

8) Penyebaran budaya pop Amerika yang “menyegarkan pancaindera dan mematikan roh”.

9) Kecenderungan pusat-pusat pengajian tinggi untuk memberi keutamaan kepada kursus-kursus ilmu pengurusan dan teknik dengan mengabaikan kursus-kursus ilmu kemanusiaan dan kemasyarakat.

10) Pembanjiran maklumat yang tidak berguna.

11) Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah memanipulasikan isu-isu demokrasi dan hak-hak asasi manusia untuk mendominasi politik dunia.

12) Pengantarabangsaan jenayah yang menyukarkan jenayah dibendung.

13) Pengantarabangsaan penyakit. 

GLOBALISASI DARI PERPSEKTIF ISLAM

Bagaimana sebenarnya hubungan Islam dan proses globalisasi ini? Meskipun hari ini globalisasi makin dilihat sebagai hegemoni Barat-Kristian yang berkiblatkan Amerika, sifat Islam sendiri sebagai satu agama yang sejagat memperlihatkannya memainkan peranan aktif di dalam fenomena sedunia sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Islam dianggap agama yang benar-benar universal dari segi penganutnya, jika dibandingkan dengan agama-agama lain. Islam menganjurkan semangat inquisition yang meniupkan semangat kepada peneroka dan ilmuwan menjelajah dunia mencari ilmu pengetahuan. 

Kini kuasa globalisasi sedang mengubah pasaran antarabangsa merentasi jarak geografi dan sempadan negara-bangsa. Ekonomi satu-satu negara tidak lagi mampu memencilkan diri mereka dari arus perubahan di luar, kerana wujudnya saling pergantungan antara satu ekonomi dengan ekonomi yang lain. Negara-negara Islam seringkali dilihat agak ketinggalan di arus ini, khususnya di Asia Selatan dan di Afrika. 


Peradaban yang dibawa oleh Islam sendiri adalah peradaban yang memanfaatkan globalisasi. Islam adalah antithesis kepada pemikiran 'katak di bawah tempurung'. Sarjana-sarjana Islam dahulu mengamalkan pemikiran terbuka untuk mempelajari ilmu pengetahuan dari peradaban Rom, Yunani dan India. Ibnu Rusyd, misalnya, dikenali sebagai seorang Muslim yang warak meskipun mengkaji falsafah Aristotle. Ibnu Sina, disamping penemuan yang dilakukan menerusi kajiannya sendiri, turut menerima inspirasi dari kajian-kajian sarjana purba Yunani di dalam menghasilkan magnum opusnya, Al Qanun Fi Al Tibb. Semangat ini boleh dilihat bercambah dari ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. - Iqra' atau "Bacalah". 

Namun globalisasi hari ini banyak membawa kerugian kepada umat manusia, memfakirkan lagi (dari segala aspek) golongan mustadhifin. Dunia barat sering mahukan sistem nilai mereka diaplikasikan di seluruh dunia. Mereka mahu segala tamadun di dunia ini menerima seks bebas, sekularisme, homoseks dan individualisme, tanpa memikirkan kompleksiti peradaban-peradaban lain. Bagi Islam, nilai-nilai Islam meskipun bersifat akomodatif dan progresif kepada perubahan zaman, aspek-aspek fundamental teguh dan tidak berubah iaitu masih berbalik kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Persejagatan budaya menerusi media mencabar nilai-nilai Islam di alam masyarakat. Menurut Professor Salleh Yappar dari USM, sekiranya tidak diawasi, globalisasi maklumat dan media boleh meruntuhkan kesatuan institusi dan masyarakat Islam. 

Kita lihat bagaimana ramalan Martin Khor pada 1995, betapa "Bagi kami di dunia ketiga, globalisasi sudah kami kenali berabad-abad yang lampau sebagai imperialisme," menjadi kenyataan. Tahun demi tahun, kuasa kerajaan semakin terhakis, dan berpindah milik kepada entiti-entiti multinasional gergasi. Badan-badan korporat baru hari ini cuba mempamerkan diri mereka sebagai badan yang mempunyai perkiraan sosial, setelah bertahun-tahun menindas pekerja dan alam sekitar. Kita lihat bagaimana umat Islam di Aceh ditindas syarikat petroleum antrabangsa, Exxon-Mobil. Malangya, dosa bukan bulat-bulat pada badan-badan korporat, tetapi juga tercalit di tangan-tangan pimpinan Islam. 
Dunia Islam menguasai sebahagian besar pengeluaran petroleum antarabangsa - namun rakyat di negara-negara pengeluar minyak, mahupun umat Islam lainnya, tidak dapat menikmati kekayaan tersebut. Di negara Malaysia dan Indonesia pula, sebagai contoh, kemaslahatan yang diperolehi dari globalisasi ekonomi terhad dikalangan suku-sakat pihak tertentu. Peminggiran sesetengah rakyat dari proses globalisasi ini membawa lahirnya proses penentangan di dalam bentuk nasionalisme yang sempit dan ekstrim. Dialog-dialog antara negara-negara Islam hari ini sering menghadapi masalah kepentingan negara-bangsa. Dari segi globalisasi maklumat dan ilmu, kesan terburuk dimensi ini ialah pembanjiran maklumat yang tidak berguna. Islam sebagai agama yang menekankan kecintaan terhadap ilmu dan hikmah memandang dengan cukup serius masalah maklumat dan ilmu yang tidak berguna. Bahaya maklumat tidak berguna ini perlu diatasi dengan segera kerana ia boleh membantut usaha kita untuk melahirkan manusia yang benar-benar berilmu dan usaha mewujudkan budaya ilmu yang sihat. Tradisi ilmu Islam yang positif perlu dihayati. Maklumat yang tidak benar dan yang tidak berguna mungkin sukar untuk dibendung daripada terus mengalir ke dalam masyarakat kita. Kalaupun ia tidak boleh disekat, ia boleh dijawab dengan maklumat dan ilmu yang benar. Kebenaran perlu disebarkan seluas-luasnya. Selain masalah bahaya maklumat tidak berguna, kita juga berhadapan dengan masalah jurang perbezaan peluang untuk mengakses maklumat. Jurang ini antara rakyat bandar dan rakyat luar bandar semakin melebar. Masalahnya, ia membabitkan perbezaan antara kaum dan kumpulan etnik. Keadilan dalam bidang ilmu pengetahuan juga perlu dilihat dalam masyarakat kita. 
Merujuk kepada globalisasi politik, kita perlu menghadapi cabaran penyebaran idea-idea seperti fahaman demokrasi hak-hak asasi manusia dengan berpandukan ajaran-ajaran yang ada dalam agama dan tradisi kita. Yang nyatanya, wacana tentang idea-idea tersebut perlu dipertingkatkan. Sebilangan intelektual Muslim yang menetap di Barat menegaskan bahawa demokrasi bukanlah sistem yang ideal tetapi mereka juga berpendapat bahawa dalam konteks zaman ini ia merupakan yang terbaik untuk manusia. Apa pun pandangan kita tentang demokrasi, isu ini perlu ditangani dalam suasana bebas dan tenang. Kita yakin boleh diwujudkan sistem demokrasi yang lebih baik lagi dan yang serasi pula dengan ajaran Islam. 

KESIMPULAN

Globalisasi, dari segi konsep, dari segi teorinya sememangnya menghidangkan kita seribu satu manfaat. Dunia tanpa sempadan dapat memberi peluang kepada Islam bertapak semakin kuku hdi seluruh pelusuk dunia. Islam menuntut kita membuka pemikiran kita, jangan jumud, namun tanpa mengorbankan akidah dan iman kita. Islam tidak mahu globalisasi yang membawa erti Amerikanisasi dan Kristianisasi budaya dan nilai sejagat. Kita mesti belajar dari satu sama lain, namun bukan dengan mengubah jati diri kita. Globalisasi menghidangkan pelbagai cabaran. Cabaran untuk golongan multinasional sedunia menjadikannya satu proses yang benar-benar membawa manfaat kepada semua. Cabaran kepada negara-negara Islam untuk mengekalkan jati diri umat Islam disebalik gelombang perubahan yang makin menekan. Cabaran kepada syeikh-syeikh, amir-amir, presiden dan perdana menteri negara-negara Islam untuk memberi peluang kepada segenap lapisan rakyat menikmati manfaat globalisasi. Dan yang paling penting sekali, cabaran buat individu Muslim membuat keputusan yang betul berdasarkan Iman dirinya, dengan hadirnya begitu banyak pilihan. Kebaikan globalisasi perlu dimakmurkan dan perlu dimanfaatkan oleh rakyat negara ini. Keburukannya perlu dihindari dan diatasi sebaik mungkin supaya budaya Islam ini tidak terjejas. 


Rujukan
http://muhtarsuhaili.tripod.com
http://www.geocities.com
http://www.kompas.com




No comments:

Post a Comment