Translate

Tuesday 15 January 2013

Falsafah Pendidikan Kebangsaan


1.0       Pengenalan : Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pada tahun 1982, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) telah dilaksanakan secara percubaan di 305 buah sekolah seluruh Malaysia. Menyorot kembali latarbelakang penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Jawatankuasa Kabinet telah memberi perhatian serius kepada pembangunan kemanusiaan. Tindakan untuk menterjemahkan perkara tersebut telah menjelma dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah seperti yang ternyata dalam huraian matlamat pendidikan sekolah rendah di bawah:
“…matlamat pendidikan rendah adalah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika sosial.”
                                                                         (Kurikulum Baru Sekolah Rendah, 1991:5)
2.0          Falsafah  Pendidikan Kebangsaan , matlamat,  dan objektif   
           (a)        Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan merupakan tonggak kemajuan, sama ada kemajuan individu, masyarakat mahupun negara. Pendidikan juga menentukan corak manusia dan masyarakat. Manusia yang berpendidikan lebih berdisiplin berbanding manusia yang tidak mendapat pendidikan sempurna. Pendidikan yang sempurna dan berkesan dapat diperoleh apabila wujud satu sistem yang teratur.  Dalam sistem itu digarisi visi dan misi, matlamat, peraturan dan undang-undang.  Antara aspek pendidikan sempurna dan bersistem ialah apabila digubal satu falsafah pendidikan yang seragam untuk semua bangsa dalam sebuah negara berdaulat. Pada awalnya, falsafah pendidikan dalam sistem pendidikan Malaysia dinamakan Falsafah Pendidikan Negara, sebagaimana di bawah.

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Sekitar akhir tahun 1990-an, penyataan falsafah pendidikan itu disemak dan diperkemaskan. Kini ia dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sebagaimana di bawah.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

(b)        Matlamat Pendidikan
Bagi mencapai pelaksanaan falsafah, Kementerian Pendidikan telah merangka satu sukatan pelajaran bagi setiap subjek yang diajar di sekolah. Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dinamakan Sukatan Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa Melayu untuk digunakan di sekolah rendah, manakala Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Bahasa Melayu untuk kegunaan di sekolah menengah. Dalam sukatan berkenaan digarisi satu matlamat pendidikan, iaitu;
Matlamat kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan ini untuk memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian.

(c)        Objektif  Pendidikan
Setiap sukatan mata pelajaran bagi sekolah rendah dan menengah mempunyai objektif masing-masing. Objektif ini akan berubah-ubah setiap kali semakan dilakukan. Hal ini bagi memenuhi keperluan semasa dan demi satu sistem pendidikan yang berkesan. Objektif Sukatan Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa Melayu (edisi semakan) cetakan tahun 2003 ialah sebagaimana di bawah;
I.    mendengar dengan teliti serta memahami dan menghayati pengucapan dalam konteks perbualan harian dan situasi formal;
II. bertutur dengan petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai situasi;
III. berbincang dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara;
IV. membaca pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan dengan menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis;
V. menyemai budaya membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan;
VI. memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca dan menulis;
VII. mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan bentuk kreatif dan berunsur pengetahuan dengan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul;
VIII. menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa, dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis;
IX. menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu; dan
X. menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme, dan perasaan cinta akan negara.

No comments:

Post a Comment