Translate

Thursday 17 January 2013

Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen


Dalam konteks Malaysia sebagai negara demokrasi berparlimen di mana pemerintahan yang dijalankan secara perwakilan dengan rakyat mengambil bahagian dalam pemerintahan melalui wakil-wakil yang dipilih. Menurut Ruslan Zainuddin (2010), amalan demokrasi ini dilakukan melalui pilihan raya bagi memilih wakil-wakil dalam badan perundangan yang kemudiannya berperanan untuk membentuk kerajaan dan menjalankan pemerintahan. Amalan utama sistem demokrasi di negara ini sangat mementingkan prinsip muafakat dengan kaedah membuat keputusan dilakukan di setiap peringkat kepimpinan.

Rakyat mempunyai suara mutlak dalam menentukan pemerintahan melalui pilihan raya umum. System ini berteraskan konsep ‘kerajaan rakyat’ oleh rakyat dan untuk rakyat. Menurut Raminah Hj Sabran et. Al (2010), terdapat beberapa cirri demokrasi; (a) rakyat menikmati kebebasan persamaan dan hak asasi; (b) system pilihan raya dijalankan dari semasa ke semasa; (c) badan perundangan terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat; (d) warganegara yang berumur 21 tahun berhak mengundi dan bertanding dalam pilihan raya; (e) kemenangan pilihan raya berdasarkan jumlah undi yang banyak; dan  (f) parti atau individu yang memperoleh undi majoriti akan memerintah negara tersebut.

Dalam hal ini, bentuk kerajaan demokrasi terdapat dua jenis iaitu demokrasi berparlimen dan demokrasi berpresiden. Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen menetapkan Raja atau Perdana Menteri mempunyai simbolik. Parti politik yang mendapat kerusi majoriti di Dewan Rakyat akan mengetuai pentadbiran negara ini. Lebih daripada satu parti yang bersaing untuk mentadbir negara. Selain itu, aspek pengasingan kuasa sangat penting di mana terbahagi kepada ekeskutif, perundangan dan kehakiman.

Menurut Ranjit Singh Malhi (2000), idea terpenting mengenai pengasingan kuasa ialah orang yang sama tidak harus bertanggungjawab bagi membuat undang-undang, menguatkuasakannya dan menghukum orang-orang yang melanggarnya. Ini bermakna doktrin tersebut melibatkan pembahagian kuasa pemerintahan yang jelas antara badan-badan perundangan, eksekutif dan kehakiman tanpa sebarang pertindihan. Yang di-Pertuan Agong (YDPA) merupakan Ketua Negara yang berkuasa dalam ketiga-tiga badan tersebut.

Dari segi perundangan (legislative), Bab 4, Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan  meletakkan ‘Kuasa Legislatif Persekutuan adalah terletak pada Parlimen yang mengandungi Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.’ Dalam hal ini, fungsi dua dewan dan Yang di-Pertuan Agong yang sifat anggotanya adalah berlainan orang adalah satu ciri yang menarik kerana ada pengasingan kuasa dan kawalan dalam meluluskan satu-satu undang-undang itu  mengikut Perkara 49 dan Perkara 66, Perlembagaan Malaysia.  Pentadbiran perundangan di peringkat persekutuan lazimnya diletakkan di bahu Perdana Menteri,  ahli-ahli kabinet serta ahli-ahli Parlimen yang terlibat dalam proses penggubalan undang-undang. Manakala, di peringkat kerajaan negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri menjalankan tugas pentadbirannya. Ini merupakan satu lagi contoh doktrin pengasingan kuasa dalam aspek perundangan di Malaysia.
Dalam Perlembagaan Persekutuan Bab 3, Perkara 39 ada memetik ‘Kuasa pentadbiran (executive) bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang di-pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, kuasa itu boleh dijalankan olehnya atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tapi Parlimen  boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintahan kepada orang-orang lain’.  Dalam hal ini, kuasa eksekutif kini boleh dijalankan oleh jemaah Menteri atau Menteri Kabinet yang dilantik.  Tapi pada setiap ketika mereka melaksanakan kuasa itu mereka melaksanakan atas nama ‘Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong’. Di peringkat persekutuan, kuasa tertinggi bagi ketiga-tiga badan terletak pada Yang di-Pertuan Agong manakala di peringkat negeri pula pada Sultan (Raja) atau Yang di-Pertuan Negeri sebagai pemilik kuasa eksekutif tertinggi.
Bagi bidang kehakiman (judiciary) pula, doktrin pengasingan kuasa meletakkan badan kehakiman ada kebebasan dari campur tangan.  Kebebasan kehakiman tentang jawatan dan pendapatan adalah terjamin mengikut perlembagaan, walaupun pada dasarnya hakim-hakim Mahkamah Tertinggi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu. Jaminan ini ada diperuntukkan dalam Perkara 125 dan Perkara 127. Dari segi perlembagaan, doktrin pengasingan kuasa bidang kehakiman ini menuntut supaya  Peguam Negara mempunyai kebebasan dalam bidang kehakiman serta hal-hal perundangan.
Dalam hal ini kuasa telah diberi oleh Parlimen Malaysia. Bagi pentadbiran kehakiman di peringkat persekutuan para jemaah menteri atau menteri-menteri perlu mendapat nasihat Peguam Negara dalam soal-soal undang-undang negara. Bagi melaksanakan peranannya, badan kehakiman terdiri daripada badan mahkamah atasan, rendah, khas dan tribunal dan badan pengadilan lain (Raminah Hj Sabran et al, 2010).

Doktrin ini juga menjelaskan bahawa badan yang membuat undang-undang hanya dibenarkan membuat dan tidak boleh menyerahkan kuasa itu kepada badan-badan lain serta tidak boleh mempunyai kuasa-kuasa lain. Badan yang memerintah hanya dibenar menjalankan pemerintahan negara dan tidak boleh membuat undang-undang dan menjalankan kuasa kehakiman. Begitu juga dengan badan kehakiman yang hanya dibenarkan melaksana kuasa kehakiman dan tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa pemerintahan. Matlamat doktrin pengasingan kuasa ialah untuk mengelakkan pemusatan kuasa di dalam tangan mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment