Translate

Tuesday 15 January 2013

Perkembangan Bahasa Iban Di Sarawak


Perkembangan Bahasa Iban Di Sarawak

Bahasa Iban dikatakan mempunyai sifat homogen. Menurut C.A. Bamfylde (1898), kaum Iban merupakan kumpulan etnik pribumi yang paling homogen (sejenis sahaja) iaitu tidak ada suku-suku tertentu, menggunakan bahasa yang sama dan mewarisi nilai, tradisi, kepercayaan, adat resam serta kebudayaan yang sama. Kaum Iban kaya dengan keunikan bahasanya sebagai bahasa ilmu dan komunikasi. Padal awal perkembangan bahasa Iban digunakan dalam hubungan seharian dalam kalangan masyarakat mereka. Dalam aspek komunikasi, bahasa Iban digunakan bagi menyampaikan idea dan pemikiran. Mereka berinteraksi dengan orang lain dengan menggunakan bahasa Iban mereka sendiri. Keadaan ini memperlihatkan tahap perkembangan bahasa Iban telah maju setapak lagi.

Chemaline et al, (2011) menyatakan jumlah penduduk kaum Iban yang kian bertambah telah menjadikan  bahasa Iban semakin penting dan selari dengan matlamat penggunaanya. Idea ini turut diperjelaskan oleh E.H. Gomes (1911), melalui pemerhatiannya semasa tinggal di bumi Sarawak. Catatan beliau, corak kehidupan kaum Iban yang kian bertambah baik dari segi pemikiran, penjagaan kesihatan, pertanian setelah mereka mengutamakan aspek pendidikan. Para pelajar yang sudah berjaya menamatkan persekolahan apabila mereka kembali ke kampung sendiri berupaya menjadi contoh (role model) kepada orang lain. Keadaan ini telah memberi impak positif akan peri pentingnya bahasa Iban sebagai bahasa ilmu dan perhubungan di peringkat komuniti mereka. Ukuran yang menjadi keutamaan kaum Iban bagi cara berfikir dan bersaing adalah melalui pendidikan. Mereka yang memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi mampu menghasilkan karya penulisan yang berkisar akan agama, cerita, karangan, salasilah dan sebagainya. Ekoran daripada itu mereka sudah pandai menulis surat kepada orang lain.

Bahasa Iban standing dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini, dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan komunikasi selaras dengan perubahan dan pembangunan komuniti itu sendiri. Langkah-langkah untuk memantapkan bahasa Iban dari segi tatabahasa, system ejaan dan sebagainya bertepatan dengan tahap kesediaan dan penerimaanya sebagai bahasa ilmu. Di Sarawak, banyak institusi mengambil berat terhadap penggunaan bahasa Iban. Misalnya, institusi gereja, Radio Malaysia Sarawak (RTM) adalah antara dua buah institusi yang menggunakan bahasa Iban secara pesat hingga ke hari ini. Organisasi seperti Tun Jugah Foundation (TJF) berdiri teguh meningkatkan serta memartabatkan aspek kesusasteraan kaum Iban. Selain itu, Majlis Adat Istiadat Sarawak turut memainkan peranan mereka mengkaji aspek salasilah, adat, budaya dan undang-undang dalam komuniti kaum Iban. Pertubuhan seperti Sarawak Dayak National Union (SDNU) dan Sarawak Dayak Iban Association (SADIA) berfungsi serta bekerjasama dengan institusi lainnya mempergiatkan usaha mereka dalam memartabatkan perkembangan bahasa Iban pada tahap yang tinggi.

Bahasa Iban mengikut kajian sarjana lingustik dikatakan cabang dalam rumpun Austronesia. Asmah Hj. Omar (2008), menyatakan bahasa Iban sememangnya serumpun dengan bahasa Melayu tetapi tetap mempunyai ciri-ciri dan kekuatan tersendiri berteraskan terminology serta kekukuhan kepercayaan, adat dan perundangan kaum Iban. Menurut beliau lagi bahawa bahasa Iban sudah berkembang lebih kurang 1000 tahun yang lalu. Kajian A.A. Cence dan M. Unlenbeck (1958) turut memperjelaskan bahawa bahasa Iban sebagai cabang dialek bahasa Melayu. Jika diselidiki secara mendalam dari segi etimologi bahasa Iban sememangnya tidak dapat dinafikan perhubungan kedua-dua bahasa ini namun bahasa Iban tetap mempunyai identitinya tersendiri sebagai bahasa bagi kaum Iban.


Menurut Padang Luna et al, (2011) bahasa Iban mempunyai benihnya sendiri dan berdiri atas kapasiti sebagai bahasa ibunda kaum Iban yang bertunjangkan ketinggian adat dan daya kehidupan melebihi kaum-kaum lain. Sebagai contoh, dalam aspek kesusasteraan kaum Iban terdapat tiga kategori fungsi bahasa Iban yakni bidang infomasi, hiburan dan adat resam. Struktur atau kategori penggunaan bahasa Iban secara standard dipergiatkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Pusat Perkembangan Kurikulum sebagai bahasa yang dipelajari di peringkat sekolah rendah dan menengah. Bahasa Iban turut dinilai dalam peperiksaan awam seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini dipelajari sehingga ke peringat Diploma (Institut Perguruan Malaysia) dan peringkat Ijazah di Universiti, khasnya Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Jika dibuat perbandingan  secara leksikostatistik bahasa Iban dengan bahasa Melayu mempunyai perhubungan yang agak ketara. Menurut Asmah Hj. Omar (2008), bahasa Iban dengan bahasa Melayu mempunyai 63% bekognat (berkaitan) berbanding bahasa Jawa hanya 35% sahaja. Walau bagaimanapun, Padang Luna et al, (2011) setakat hari ini belum ada kajian dibuat menjelaskan orang yang berbahasa Melayu di Pulau-pulau Melayu seperti Indonesia, Malaysia dan Filipina serta tempat-tempat lain di Asia Tenggara sehingga ke Indo-China, ke Pulau Madagaskar, Afrika dan Pulau-pulau di Pasifik dapat berbahasa Iban atau mengetahui maksud dalam bahasa Iban sekiranya tidak mempelajarinya. Freeman (1980) mengatakan bahasa Iban mempunyai sejarah perkembangan dan ketulenan lebih 5000 tahun yang lalu. Dalam masyarakat Iban ianya menunjukkan bahasa Iban  itu sendiri memiliki ketulenan apabila digunakan dalam banyak soal kehidupan mereka.

Bibliografi:
Asmah Hj. Omar (2008). Ensaiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

A.A. Cence dan M. Uhlenbeck (1958). Critical survey of studies on the language of Borneo Gravenhage : Martinus Nihoff.

Chameline Osup & Padang Luna (2011). Morfologi Jaku Iban: Malin nembiak enggau pengajar. Tanjong Malim, Perak : Pencetakan Salam Sdn. Bhd.

Freeman, D. (1980). Some reflections on the nature of Iban society. Canbera : Australia National University, Advanced School of Pacific Studies.

Jabu Numpang (1989). “Keynote Address on ‘The culture of Sarawak : An overview’ dlm. The Sarawak Museum Journal. Vol.2.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2000). Sukatan Pelajaran, Bahasa Iban. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum.

 Mohd Taib Osman (1988). Bunga Rampai Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa, Abdul Hamid Mahmood (2004).Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Padang Luna & Chemaline Osup (2011). Fonologi Jaku Iban : Malin nembiak enggau pengajar. Tanjong Malim, Perak :  Percetakan Salam Sdn Bhd.



No comments:

Post a Comment