Translate

Thursday 17 January 2013

Mengaplikasikan pengetahuan psikolinguistik dan sematik dalam konteks pendidikan dan pengajaran bahasa


Pendidikan peringkat rendah adalah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Falsafah Pendidikan Negara. Pada peringkat ini, Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Dalam hal ini proses pengajaran dan pembelajaran yang baik dan berkesan adalah melibatkan kemahiran yang pelbagai serta mengintegrasikan unsur-unsur lain supaya menjadi lebih berkesan dan kreatif adalah amat penting dan berkesan. Peranan guru yang kreatif dan inovatif juga penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mereka adalah efektif. Abd. Rahim (1999) menyatakan daya kreativiti yang tinggi membolehkan sesuatu kaedah  atau metod pengajaran mencorakkan  perkembangan minda, emosi, sikap dan nilai para murid. Manakala inovatif pula ialah kebolehan seseorang guru memulakan sesuatu yang baru dalam bentuk kaedah, sistem pendekatan dan sebagainya. Kaedah pengajaran adalah satu siri tindakan guru (cara) yang sistematik bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan.

Strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Negara. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid-murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir.   

(i)                 Pendekatan Teori

Pada peringkat sekolah rendah pembelajaran merupakan suatu proses yang berlaku dalam akal fikiran atau lebih dikenali sebagai kognitif dan kesan dari proses ini akan dapat dilihat melalui perubahan dalam tingkah laku dan percakapan. Bagi memastikan proses pembelajaran ini akan lebih berkesan kepada murid-murid salah satu teori yang ditemui ialah Teori Konstruktif. Pengajaran dan pembelajaran (P&P) berdasarkan teori konstruktif ini menyeimbangkan peranan guru dan murid untuk saling bersandar di antara atu sama lain. Peranan guru hanya dilihat sebagai pengawal bilik darjah selain mereka seharusnya menerima murid-murid sebagai individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza. Melalui teori ini ianya dapat membuka ruang serta peluang kepada guru untuk memilih kaedah yang sesuai dalam memperolehi sesuatu konsep dan pengetahuan.
           

Konstruktif di ambil dari perkataan bahasa Inggeris ‘konstruktivisme’ yang membawa maksud falsafah membina. Di bawah konteks pembelajaran teori konstruktif menganggap bahawa ilmu pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda tetapi dibina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar iaitu pengetahuan dibina melalui proses pengaruh di antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran terbaru yang berkaitan. Murid-murid membina ilmu pengetahuan dengan aktif dalam merialisasikan teori ini. Pendekatan teori pembelajaran ini menyediakan peluang kepada murid-murid untuk membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari dengan mewujudkan jaringan antara idea serta fakta yang sedang diajar atau dipelajari.
  
Peranan guru sebagai pembimbing dan fasilitator juga dapat membantu dalam mengawal disiplin para murid dengan baik. Di dalam menghadapi situasi di mana kewujudan murid yang enggan melibatkan diri di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru seharusnya lebih kreatif dalam mempelbagaikan aktiviti serta mengajukan pelbagai persoalan sebagai ransangan terbaik sebagai jaminan keterlibatan aktif murid-murid dalam menemukan idea-idea terbaru. Melalui teori konstruktif ini kita tidak lagi melihat aktiviti pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid.

Manakala murid sekali-kali tidak menganggap guru hanya sebagai pembekal maklumat tetapi sebagai sesuatu dari sumber pengetahuan untuk membantu mereka mencari maklumat dan peransang bagi mereka berfikir dan berkomunikasi. Ilmu baru yang terbentuk adalah berasakan kepada inisiatif diri individu dan perkongsian pandangan di kalangan mereka selain mengadaptasi setiap pengalaman yang dilalui dengan alam sekeliling sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan. Dengan wujudnya lontaran-lontaran idea dan pengalaman murid ini secara tidak langsung berjaya memecahkan suasana ‘dingin’ di kalangan murid itu sendiri.

Sehubungan dengan pendekatan teori psikolinguistik dan semantik dalam konteks pendidikan dan pengajaran bahasa di sekolah rendah, responden (guru) terbabit sangat memahami  teori huraian bahasa sebagai pendapat yang memerihalkan teori dalam bahasa menurut pandangan satau pemikiran tokoh-tokoh seperti Panini, Bloomfield, Chomsky dan Halliday berhubung dengan fonologi, morfologi, dan sintaksis. Sebagai seorang guru yang mengajar bahasa yang baik beliau berupaya menggunakan bahasa Melayu yang menjurus kepada fungsi sebagai alat komunikasi bagi menggambarkan fikiran dan emosi murid-murid.

(ii)               Prinsip Pedagogi

Pengajaran dan pembelajaran adalah proses   yang berterusan dan tidak statik selari dengan perubahan-perubahan di sekeliling kita. Dalam era teknologi moden kini, perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran menuntut profesionalisme guru mendalami inovasi dalam pedagogi bagi memperbaiki serta memperkukuhkan kapasiti sebagai seorang pendidik. Bagi mengoptimumkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran terdapat pelbagai teori pembelajaran menjelaskan bagaimana seseorang belajar. Pendekatan teori-teori pengajaran  dan pembelajaran memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu pengajaran dan pembelajaran dalam bidang pendidikan.

Pada pandangan saya pengajaran responden lebih berasaskan kepada Teori Pembelajaran Konstruktivisme di mana aliran Behaviorisme, proses pembelajaran individu mensasarkan pengetahuan diperolehi secara kognitivisme. Kaedah pembelajaran telah ditemui berhubung dengan manusia sebagai cara untuk mengubah tingkah laku manusia (behavior change) dan potensi (potential behavior change) yang ada pada seseorang, khususnya murid-murid. Dengan lain perkataan, proses pembelajaran manusia atau organisma berlaku berasaskan ‘hukum pekaitan’ (Law of Association) yang diutarakan oleh ahli Falsafah Yunani awal seperti Aristotle. Ivan Pavlov seorang ahli psikologi Rusia telah menjalankan satu siri percubaan secara saintifik dan sistematik mengkaji bagaimana pembelajaran berlaku pada sesutau organisma. Menurut Ivan  Pavlov (1849-1936) ‘sesuatu organisma akan teringat sesuatu kerana sebelum ini ia pernah mengalami sesuatu yang berkaitan’. Tambah  beliau lagi, ‘Learning is a result  on an association formed between a stimulus (such as food) and a respond (the animal salivating)’. Dalam kajian ini, anjing telah ‘belajar’ mengaitkan bekas makanan yang dilihat dengan makanan yang diberikan kelak. Oleh sebab itu, pemilihan prinsip pedagogi pengajaran yang sesuai untuk sesuatu pelajaran amat penting supaya penglibatan murid-murid pada tahap optimum.

Bertitik tolak daripada aliran Behaviorisme ini, proses pembelajaran murid-murid mensasarkan  pengetahuan diperolehi secara kognitivisme. Seorang sarjana, Jean Piaget mengatakan bahawa kognitivisme adalah perwakilan mental yang dikenali skema. Skema akan menentukan bagaimana data dan maklumat yang diterima akan difahami oleh minda manusia. Jika maklumat tersebut sesuai dengan skema yang ada, maka skema tersebut diterima atau mungkin ditolak atau diubah suai.

Pandangan  kognitivisme telah melahirkan Teori Pembelajaran Konstruktivisme yang menjelaskan pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir. Dalam konteks ini, murid-murid tidak menerima sebarang maklumat (pengetahuan) tanpa berfikir dan menyesuaikannya dengan idea dan maklumat baru selaras dengan pengetahuan sedia ada mereka. Keadaan ini terbentuk hasil daripada interaksi sosial[1] bersama guru dan rakan mereka. Bagi mencapai matlamat ini, guru perlu memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan pelbagai kebolehan dan minat pelajar.

Teori Konstruktivisme ini merupakan proses pembelajaran yang mewujudkan bagaimana pengetahuan (knowledge) disusun dalam minda pelajar. Teori ini bertitik tolak daripada pandangan aliran Behaviorisme yang mengkaji perubahan tingkah laku sehingga kepada kognitivism yang mengkaji tentang cara manusia (murid-murid) belajar dan memperolehi pengetahuan yang menekankan perwakilan mental mereka. Pengetahuan (knowledge) dikembangkan secara aktif dan lazimnya pembelajaran berpusatkan murid-muirdn(student-centred)[2].

Bruner (1973) turut menyatakan bahawa pembelajaran merupakan proses di mana murid-murid membina idea atau konsep baru berdasarkan  pengetahuan semasa mereka.  Kelebihan proses ini murid-murid dapat memilih dan menginteprestasikan maklumat, membina hipotesis dan membuat keputusan yang melibatkan pemikiran mental (struktur kognitif seperti skema dan model mental) memberi  makna dan pembentukan pengalaman  dan membolehkan individu ‘melangkau melebihi maklumat yang diberikan’ (Beyond the information given). Justeru, pembelajaran adalah usaha murid sendiri dan bukannya dipindahkan daripada guru kepada murid. Konsep ‘menuang ilmu’ kepada murid-murid itu sendiri tidak wujud, sebaliknya mereka berusaha dan menggunakan pengalaman atau pengetahuan  sedia ada mereka.

Prinsip pembelajaran teori konstruktisvisme lebih menekankan aspek pembelajaran (learning) berbanding dengan pengajaran (teaching). Kekuatan teori ini memberi peluang dan ruang bagi murid-murid memilih goal (goal), strategi dan penilaian ke  atas pembelajaran mereka. Para guru hanya berperanan sebagai fasilitator (pemudah cara) serta membimbing murid-murid ke arah pembelajaran mereka. Keadaan ini akan memberi lebih keyakinan dan motivasi kepada murid-murid dalam meneroka pembelajaran berdasarkan inisiatif sendiri. Keupayaan murid-murid mengkonstruk pengetahuan melalui aktiviti pembelajaran seperti projek atau kajian dan seumpamanya telah memaksimumkan kecenderungan kognitif (cognitive predisposition) mereka. Bagi mengatasi murid-murid yang lemah membaca, penekanan diberi kepada mereka bagi membentuk kemahiran (skill) dan pengetahuan (knowledge) dengan mengaitkan pengalaman lampau untuk kegunaan masa depan. Murid-murid harus membina sendiri proses berfikir mereka dan kemahiran berkomunikasi yang baik dan jelas.

(iii)             Pendekatan Pembelajaran

Sebagai seorang guru bahasa Melayu yang baik dan berkesan responden telah menggunakan pendekatan pembelajaran induktif dalam proses pengajaran dan pembelajarannya.  Berdasarkan tajuk yang diajar, ‘haiwan’ di mana beliau mengarahkan murid-murid mengumpul dan mentafsir maklumat dan seterusnya membuat generalisasi (kesimpulan). Melalui langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran terdapatnya aspek ansur maju dalam usaha membimbing murid-murid. Kaedah inkuiri penemuan diamalkan apabila mengajar mata pelajaran bahasa Melayu [dalam langkah 2] dengan meminta murid-murid menyatakan cirri-ciri binatang berdasarkan petikan yang diberi.

Prinsip penggunaan pendekatan pembelajaran induktif digunakan oleh guru apabila murid-murid dibimbing untuk mencari kesimpulan dalam konteks kognitif dan sosial. Selain itu, responden ternyata menggalakkan murid-muridnya sentiasa berfikir dan mengakses maklumat sendiri dengan menggunakan akses internet. Dalam hal ini keupayaan berfikir berkait rapat dengan keupayaan berbahasa murid-murid. Menurut Tarigan (1990) proses kognitif dalam bacaan membantu pembaca mengorganisasi, menginterprestasi dan menghubungkan pertalian dengan maklumat baru bagi menyalin makna. Selain itu, pembelajaran aktif dianggap sebagai aktiviti sosial juga menggalakkan dialog dan perbincangan sesama pelajar atau antara guru dan pelajar. Oleh yang demikian, faktor berbahasa (membaca) dan kemahiran berfikir dalam kalangan  murid perlu dititikberatkan.

Dari sudut bahan bantu mengajar (BBM) yang baik, mencukupi dan berkesan ianya dilihat sebagai langkah yang proaktif  dalam meningkatkan suasana pembelajaran yang menarik, bermakna dan seronok dapat dihasilkan. Antara lain, penggunaan deria-deria murid dalam pelbagai aktiviti bahasa dapat membentuk interaksi sosial murid dengan persekitaran telah membentuk maklumat dan idea baru ke dalam struktur pengetahuan yang sudah sedia ada. Murid-murid akan  menjadi kreatif dan kritis. Aapabila berlaku pertembungan idea lama dan baru, murid-mutrid akan berupaya membuat analisis dan membentuk idea baru mereka yang lebih konkrit dan relevan.

(iv)             Kaedah Pengajaran

Dalam proses mencerap responden ternyata beliau dapat membuat persediaan sebelum proses pengajaran dan pembelajaran; semasa proses pengajaran dan pembelajaran; dan selepas proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Kaedah pengajaran adalah satu siri tindakan guru (cara) yang sistematik bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan. Kaedah pengajaran juga merupakan usaha keseluruhan yang terdiri daripada prosedur yang tersusun berdasarkan pendekatan yang dipilih (Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub dan Mohd. Zohir Ahmad, 2003).

Pada peringkat permulaan pelajaran responden berupaya mencungkil pengetahuan yang sedia ada pada murid; mengaitkan pelajaran lepas dengan pelajaran baru; dan menumpukan perhatian serta minat murid pada pelajaran yang akan dipersembahkan. Responden dapat menghubungkaitkan set induksi dengan isi pelajaran berhubung dengan ciri-ciri binatang. Murid-murid turut teransang untuk belajar secara lebih lanjut. Kaedah pengajaran yang digunakan oleh responden  adalah bersoaljawab, mengakses maklumat, dan membimbing murid-murid dari mula hingga akhir proses pengajaran dan pembelajaran.

Pada peringkat perkembangan pelajaran, peringkat ini soalan digunakan untuk menduga kefahaman murid mengenai bahan pelajaran yang dibincangkan; memastikan penyertaan murid yang aktif; dan mengekalkan minat murid serta tumpuan perhatian mereka.

Manakala peringkat penutup, soalan pada peringkat penutup digunakan untuk membuat rumusan pelajaran; menguji kefahaman murid secara menyeluruh. Pada umumnya turutan menyoal di dalam kelas boleh dijalankan seperti yang berikut; [1] guru mengemukakan soalan kepada murid, [2] guru memberi masa untuk murid menjawab; [3] guru boleh tujukan soalan tersebut kepada semua murid di kelas; [4] guru boleh memanggil murid tertentu menjawab; dan [5] guru memberi perhatian kepada jawapan yang dikemukakan dan seterusnya ajukan jawapan murid tersebut kepada murid lain.

Oleh itu pengajaran terancang memerlukan murid menghabiskan masa mereka memperoleh pengetahuan atau memaparkan pengetahuan yang telah diajar. Pengajaran terancang merupakan teknik pedagogi utama yang dibangunkan oleh pakar teori Skinner sebagai aplikasi eksplisit tentang prinsip teori pembelajaran operan atau teori peneguhan. Oleh itu setiap pencapaian mestilah diikuti dengan peneguhan.

(v)               Bahasa
Keupayaan mengajar merupakan salah satu peramal kepada prestasi kerja guru. Dua dimensi penting bagi keupayaan mengajar ialah pengetahuan asas dan pengetahuan pedagogi isi kandungan guru. Dalam pengajaran bahasa terdapat beberapa kemahiran yang perlu diajarkan oleh guru kepada pelajar. Kemahiran-kemahiran itu diajarkan secara berperingkat-peringkat iaitu kemahiran mendengar yang merupakan kemahiran asas, kemahiran bertutur, membaca dan kemahiran menulis. Dalam kajian ini, responden mampu melahirkan penerbitan bahasa dalam pertuturan dan komunikasi dalam kalangan murid-muridnya dengan membaca teks prosa, mempelajari system bahasa seperti ayat tunggal dan ayat majmuk di samping menguasai kosa kata yang berkaitan dengan isi pelajaran.
Aspek interaksi sosial antara guru dengan murid, dan murid sesama murid merupakan kecekapan komunikatif penguasaan bahasa secara naluri (instinc) yang dimiliki oleh seseorang penutur (murid) yakni keupayaan murid menggunakan dan memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan berinteraksi dengan individu lain dan jalinannya dengan konteks sosial. Dari sudut psikolinguistik penerbitan bahasa guru dan murid-murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran merupakan pertuturan mengkaji segala proses mental yang berlaku dalam otak ketika seseorang cuba berfikir.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas proses formulasi adalah berkaitan dengan konsep penterjemahan bahasa dari segi fonologi, sintaksis dan semantik. Operasi semantic dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini melibatkan pemilihan perkataan yang sesuai dengan makna petikan prosa seperti liar, berlari, beranak dan melompat. Operasi sintaksis pula merupakan hal pemilihan  pola ayat yang sesuai dan dalam pola ayat inilah semua perkataan yang terpilih itu disusun supaya menjadi frasa dan ayat tunggal dan majmuk.

Sebagai contoh frasa ialah ‘hidup liar’; ayat tunggal; ‘Monyet bergayut di atas pokok’; dan ayat majmuk; ‘Katak melompat ke dalam kolam sewaktu dikejar oleh seekor ular tedung selar’.  Manakala fonologi pula melibatkan tugas menerbitkan idea dalam bentuk bunyi bahasa yang dihasilkan oleh sistem ujaran seperti lidah. Dalam hal ini kaedah menyebut dan membaca perkataan dan  ayat perlu betul selaras dengan sukukata dan struktur ayat tersebut. Pengajaran dan pembelajaran membaca, membina dan menulis ayat ditekankan oleh responden dalam kajian ini.

(vi)             Kajian Proses Pelajaran

Berkenaan data-data yang diperolehi melalui instrument pencerapan pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan oleh pengkaji didapati respoden telah menjalankan satu proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik [instrument dilampirkan]. Persediaan sebelum proses pengajaran dan pembelajaran telah dirancang dengan baik umapamanya rancangan pelajaran tahunan, harian, pengurusan kelas dan set induksi yang sesuai. Responden berjaya menghubungkaitkan set induksi dengan becerita mengenai binatang dengan isi pelajaran berhubung dengan ciri-ciri binatang. Isi pelajaran berkaitan dengan set induksi yang dipilih oleh responden. Keadaan ini dapat menarik perhatian dan minat murid-murid beliau untuk terus mengikuti pelajaran selanjutnya.

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran responden mampu merancang dan menyampaikan isi pelajaran dengan baik dan berkesan kerana mempunyai pengetahuan mata pelajaran yang mendalam, penggunaan bahasa yang tepat, beransur maju, pengurusan masa yang baik, BBM yang baik, pengintegrasian ICT[3], pembelajaran berpusatkan murid, murid aktif, teknik penyoalan yang berkesan, penilaian dan peneguhan berterusan, kawalan kelas yang baik serta membuat rumusan yang tepat dan bersesuaian dengan topik. Melalui pemerhatian oleh pengkaji respon murid-murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran beliau sangat aktif. Teknik ansur maju dalam proses penyampaian isi pelajaran sangat menepati kehendak kurikulum KBSR. Tambahan pula, murid-murid disyorkan meneroka dan mengakses maklumat[4] berhubung dengan topik yang diajar bagi mendapatkan seberapa banyak maklumat yang berkaitan.

Selepas proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung responden turut memberi tugasan dan latihan kepada murid-murid. Di samping itu, di akhir sesi pengajaran dan pembelajaran beliau turut membuat refleksi dan hasil tugasan murid-murid disemak dengan teliti.  Dalam proses pengajaran dan pembelajaran responden turut mengadakan aktiviti bimbingan ke atas murid-murid yang lemah dan bai murid-murid yang cergas beliau turut memberikan latihan tambahan (pengayaan) kepada mereka. Keadaan ini dilihat sangat baik dan berkesan dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang efisien dan kondusif.

Penutup

Sebagai rumusan dapatlah dikatakan bahawa melalui kajian kes ini responden sebagai guru bahasa Melayu mampu menunjukkan komitmen dan usaha bersungguh-sungguh dalam menjayakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. BBM yang sesuai dan menarik minat murid turut memberi kesan kepada suasana pembelajaran yang aktif. Murid-murid sangat aktif melibatkan diri dalam pengajaran beliau. Tambahan pula, aspek ansur maju dalam perkembangan isi pelajaran tidak membunuh semangat dan usaha murid-murid untuk terus belajar. Sikap guru yang proaktif dalam mendorong dan memotivasikan murid-murid dalam rumusan pengajaran dan pembelajarannya dapat mengukuhkan lagi kefahaman mereka dari segi kognitif dan sosial. Justeru, murid-murid akan sentiasa bersemangat dan tidak sabar menunggu sesi pengajaran dan pembelajaran selanjutnya.

Bibliografi:

________ (2009). Modul HBML 3303 Psikolinguistik dan Sematik. Universiti Terbuka Malaysia : Meteor Doc. Sdn. Bhd.

Abd. Rahim Abd. Rahsid (1999). Kemahian Befikir Merentasi Kurikulum. Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Brown, H.D. (1994). Teaching by principle : An introductive approach to  language pedagogy. New  Jersey : Prentice Hall Reprints.

Bruner, J. (1973). Going Beyond the Information Given. New York : Norton.

Lev. S. Vygotsky (1978). (Terjemahan) Teori Pembelajaran Sosial.

Mok Soon Sang (2002). Pedogogi Untuk Kursus Diploma Perguruan. Subang Jaya. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Shahabuddin, et.al (2003) dalam Ana Melissa binti Zainal dan rakan-rakan. Pendekatan Proses pengajaran dan pembelajaran. 21 – 24 Mei 2007 : Hotel Capitol, Kuala Lumpur.

Tarigan, H.G. (1990).  Membaca dalam Kehidupan. Bady. Penerbit Angkasa.



[1] Lihat, L.S. Vygotsky (1978), “interaksi sosial”, amat penting dalam membentuk perkembangan kognitif pelajar.
[2] Lihat, Brown (1994), “The student-centred approach is best suited to support student for optimum learning as the subject matter is intregrated in one lesson. It allows students to discover (discovery learning) for themselves in the process of learning”.
[3] Aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan menggunakan komputer yang berasaskan teori konstruktivisme dalam pembinaan perisisian pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan penting dalam membekalkan program pengajaran yang sesuai dan mengembangkan potensi murid.
[4] Lihat Papert (1998) menegaskan bahawa komputer mempunyai impak ke atas kanak-kanak (murid) kerana dengan menggunakan komputer ia dapat memberi pengalaman yang konkrit.

No comments:

Post a Comment