Translate

Tuesday 15 January 2013

Kepentingan Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan


Kepentingan Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan Kebangsan
Bahasa memainkan peranan penting dalam pembangunan negara kerana melalui bahasa, sesebuah negara akan lebih dikenali dan jati diri sesuatu bangsa dapat dipupuk. Contohnya, walaupun bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia merupakan bahasa yang serumpun, namun identiti bahasa-bahasa ini berlainan kerana jati diri yang mendukungnya. Dalam perbincangan ini kita akan melihat bertapa pentingnya bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan yang boleh menentukan hala tuju pembangunan negara.
(i)                  Sebagai Pemersatuan Bangsa
Salah satu peranan penting bahasa Melayu ialah sebagai pemersatuan bangsa (Asmah Hj. Omar, 1985). Ini adalah kerana sebelum merdeka terdapat banyak bahasa serumpun seperti bahasa Minangkabau, Acheh, Mandaling, Jawa dan bahasa bumiputera Sabah dan Sarawak. Selain bahasa serumpun, rakyat di negara ini juga bertutur dalam bahasa-bahasa asli di Semenanjung Malaysia. Malah ada rakyat negara ini yang bertutur dalam bahasa yang berasal dari India Selatan dan Sri Langka seperti Tamil, Telegu dan sebagainya. Bahasa Indo-Eropah seperti Inggeris, Hindustan, Benggali dan Urdu turut dituturkan. Manakala, golongan yang kelima pula ialah bahasa Arab. Walaupun bahasa Arab ini kurang pemakainya, namun pengaruhnya dalam bahasa Melayu juga agak ketara.
            Selain itu, pola bahasa yang pelbagai dan bahasa itu sendiri mempunyai perbezaan dalaman, seperti cara sebutan yang berbeza walaupun dituturkan oleh orang yang datang dari kaum yang sama. Misalnya, bahasa Melayu keturunan Perak tidak sama sebutannya dengan bahasa Melayu orang keturunan Kelantan. Selain faktor di atas, perbezaan cara hidup dan bahasa juga disebabkan faktor geografi yang memisahkan antara dua wilayah. Oleh itu, bagi mempersatukan bangsa, maka bahasa Melayu yang mendasari sistem pendidikan negara dimartabatkan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah di Malaysia pada tahun 1967, kecuali Sabah dan Sarawak (yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada tahun 1973).
            Kesimpulannya, ketika negara menghadapi konflik ekonomi hingga tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, bahasa Melayu merupakan alat yang boleh menyatupadukan rakyat negara ini. Begitu juga dengan hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Salah satu alat yang boleh menyatupadukan kesemua rakyat yang berbeza taraf ekonomi dan budaya ialah bahasa,khususnya bahasa Melayu. Hal ini bukan sahaja dapat menyatupadukan rakyat di Semenanjung, tetapi juga dapat mendekatkan rakyat yang terdapat di Malaysia Timur. Langkahnya ialah, sistem pendidikan ini memainkan peranan yang penting.
(ii)               Pembina Jati Diri
Kepentingan bahasa Melayu dalam dasar pendidikan kebangsaan dapat dilihat apabila bangsa dan ketamadunan tidak dapat dipisahkan kerana tiada bangsa membina tamadunnya tanpa kepustakaan bahasanya sendiri (Abdullah Hassan, 2002). Dalam sejarah ketamadunan dunia, bangsa yang maju mempunyai bahasa yang kukuh. Kemajuan negara-negara seperti Jepun, Korea, Jerman, Perancis dan sebagainya adalah disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh bahasanya sendiri. Pendek kata, semakin maju negara tersebut, semakin kukuh jati diri mereka. Hal ini sejajar dengan pandangan yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun (Muqaddimah, Bab 2) yang mengatakan bahawa bangsa yang dikalahkan (dijajah) akan meniru tingkah laku bangsa yang mengalahkan mereka kerana mereka beranggapan, bangsa yang mengalahkan mereka itu lebih sempurna daripada mereka.
            Dalam konteks bahasa, golongan yang kalah ini akan lebih senang dan lebih selesa menggunakan bahasa bangsa yang menjajah mereka berbanding bahasa sendiri. Dalam hal ini Leibniz, seorang sarjana barat pernah menyatakan rakyat yang bersifat seperti ini akan kehilangan jati diri dan kebebasan pemikiran. Di sinilah kita melihat bahasa yang dipilih sebagai bahasa pengantar itu harus mendasari setiap bidang ilmunya, seperti kata pepatah Melayu “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Ini menunjukan bahawa, menerapkan bertapa pentingnya bahasa mestilah dimulakan dari awal persekolahan.
(iii)             Bahasa Nilai Ekonomi
Tidak dapat dinafikan bahawa, bahasa Melayu telah memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi negara. Jika ditinjau dari tafsiran Fagerlind dan Saha (1983), tentang maksud pembangunan, iaitu perubahan sosial, peningkatan taraf hidup dan pemodenan sesuatu negara atau rakyatnya, maka bahasa Melayu telah memainkan peranan yang baik. Bukti yang paling nyata dalam membicarakan hal ini adalah dengan melihat bilangan pemegang ijazah sains, kejuruteraan dan teknologi (SAKTI). Menurut Shaharir Mohamad Zain (2002), sejak tahun 1973, iaitu sejak lahirnya siswazah SAKTI, sudah ada puluhan ribu siswazah SAKTI berada dalam pasaran kerja. Hal ini menjelaskan bahawa siswazah SAKTI yang mendapat ilmu tersebut dalam bahasa Melayu berupaya membantu menjana ekonomi negara. 

No comments:

Post a Comment