Translate

Sunday 20 January 2013

Pendidikan Seni Visual : Mencorak dan Rekaan



Sistem pendidikan di Malaysia berkembang sejajar dengan perubahan masa dan keperluan masyarakat serta negara. Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah garis panduan yang digubal dan perlu diikuti oleh semua warganegara dalam merealisasikan usaha kerajaan bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan taraf hidup rakyat (Yahya Don, 2005). Sejajar dengan usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, Kurikulum Pendidikan Seni Visusl bertujuan membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya kesenian.

            Dalam konteks Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain.  Dari segi kandungan, pengetahuan asas dalam seni visual mencakupi bidang menggambar, membuat rekaan dan corak, membentuk dan membuat binaan, kraf tradisional manakala asas seni reka meliputi aspek unsur, prinsip dan struktur. Antara lain, subjek ini menegaska kegiatan dalam proses penghasilan dengan melibatkan aspek pemahaman, penghayatan dan kritikan. Murid-murid perlu kreatif dalam pembelajaran mereka. Menurut Kementerian  Pendidikan Malaysia (2000) pengajaran dan pembelajaran  akan lebih berkesan  dengan aktiviti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK).

”Creatiity is a matter of talent – there is nothing you can do about it except get creative people” (de Bono, 1996)

Oleh yang demikian, peranan guru haruslah berkesan ke arah merancang, menyampai dan menilai pengajarannya dengan lebih berkesan lagi. Dalam konteks ini, guru akan dapat mengaplikasikan kemahiran yang ada bagi membentuk pelajar yang celik seni dan menghargai budaya warisan bangsa.


1.0        Mencorak Dan Membuat Rekaan

Bidang mencorak dan membuat rekaan adalah sebahagian daripada pengetahuan asas dalam subjek seni visual. Bidang ini secara umumnya memberi ruang dan peluang kepada pelajar memahami pelbagai cara untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan yang berlainan. Manakala mencorak pula ialah proses menghasilkan struktur susunan ulangan berdasarkan motif yang dibuat secara terkawal atau bebas. Dalam bidang seni visual, corak kerapkali meliputi aspek semulajadi seperti bunga, siput, kayu, serangga dan haiwan. Dari segi bahan yang dihasilkan, objek yang kerapkali dihasilkan adalah seperti kerusi, meja, rumah dan sebagainya. Pada kebiasaannya, bahan-bahan yang dihasilkan berbentuk geometri yakni seperti bulat, segi tiga dan segi empat.

Corak Teknik Resik
Corak Cetakan Tai
Corak Garisan Grid
Corak Teknik Cerminan
Corak Teknik Anyaman
Corak Teknik Pualaman
Corak Terancang
Corak Tidak Terancang

Rajah 1 : Penghasilan Corak
(Sumber : Modul HBAE2103 hal.5-7)

Berkenaan dengan jenis dan susunan corak, terdapat corak-corak yang lazimya digunakan seperti berselang-seli, batu bata, berusat, beralun, berpusat dan sebagainya. Dalam menghasilkan corak bagi sesuatu karya ianya boleh dilakukan secara terancang dan tidak terancang. Corak secara terancang meliputi corak seperti lukisan, catan, cetakan, capan, lipatan dan guntingan, resis, kolaj dan kaligrafi. Manakala corak tidak terancang pula seperti titisan, renjisan, ikatan dan celup, tiupan, pualaman, lipatan dan tarikan. Dalam menghasilkan sesuatu karya seni lazimya pengkarya menggunakan gabungan kedua-dua corak ini supaya hasil seni yang dihasilkan lebih menarik dan cantik.

Susunan Ulang Sekata
Susunan Bertimbal
Susunan Berselang Seli
Susunan Beralun
Susunan Batu Bata
Susunan Berpusat

Rajah 2 : Jenis Susunan Dalam Corak Dan Rekaan
(Sumber : Modul HBAE2103, hal. 7- 10)

            Berkenaan dengan tujuan membuat corak dan rekaan, selalunya guru akan mempertimbangkan aspek perlakuan, persepsi dan pengetahuan budaya. Dari segi perlakuan, kriteria pemilihan warna untuk tujuan tertentu amat penting supaya bentuk asas yang dihasilkan memperlihatkan perbezaan yang jelas.


2.0        Kepentingan Mempelajari Corak Dan Rekaan Dalam Membantu
            Pembelajaran  Dan Perkembangan Kanak-kanak

Dalam bidang seni visual kepentingan membuat corak dan rekaan adalah perkara yang sewajarnya berlaku. Secara prinsipnya, kepentingan aspek ini adalah bersandarkan citarasa dan keinginan seseorang pengkarya seni ingin melihat hasil seninya cantik dan menarik. Sebagai seorang manusia biasa, kita suka akan sesuatu yang cantik, menarik dan mengiburkan. Begitu jugalah hakikatnya dengan hasil seni yang akan bakal kita hasilkan. Mengikut Mohd. Zaihidee (2007) (dalam modul) kepentingan membuat corak dan rekaan adalah bertujuan mencantikan bahagian atau permukaan luar sesuatu objek. Kedua, corak yang dihasilkan turut bertindak sebagai elemen hiasan yang menarik. Ketiga, corak disifatkan sebagai nilai estetik yang tidak ada tolok bandingnya dalam hasil karya seni.

3.1        Kepekaan Pengamatan

Hasilan karya seni seseorang pengkarya boleh diterjemahkan melalui ketelitian dan kepekaan pengamatannya dalam menghasilkan karya seni. Aspek ketelitian dan kepekaan yang tinggi bagi seseorang pengkarya seni dapat ditonjolkan melalui pengamatan yang tinggi ke atas aspek seperti garisan, warna, jalinan, rupa, bentuk dan ruang. Pengamatan dari segi garisan yang merupakan cantuman satu siri titik yang boleh dalam bentuk tebal, nipis, berbulu, putus-putus, bergeriggi dan sebagainya merupakan unsur yang penting dalam kerja melukis dan menggambar. Melalui kaedah ini, garisan yang dibuat bagi tujuan menulis, melakar, membuat jalinan gambar, membuat rupa dan membentuk merupakan elemen penting dalam hasil karya. Teknik-teknik koyakan, tamplan, kolaj, gosokan, cetakan dan capan yang digunakan berupaya menghasilkan unsur seni yang menarik. Sebagai seorang guru kita wajar menanam kepentingan aspek-aspek ini agar pelajar (kanak-kanak) dapat mempelajari sesuatu yang bernilai berhubung dengan karya seni.

Dari segi warna, pemilihan warna dalam kategori warna asas, sekunder dan tertier amat penting bagi membentuk warna-warna yang sesuai. Melalui usaha ini, seseorang pengkarya seni dapat mempraktikkan kepekaan pengamatan yang tinggi dalam karya mereka.

Berhubung dengan kesan jalinan pada permukaan objek yang dihasilkan turut memperlihatkan kepekaan pengamatan ke atas  hasil seni. Dalam hal ini, seseorang pengkarya seni wajar menampakkan jalinan tampak dan sentuh dengan jelas supaya satah gambar yang dihasilkan bersifat dua dimensi dan maujud. Dari segi rupa cantuman antara dua hujung garisan iaitu permulaan garisan dan penghujung garisan dapat membentuk rupa jenis objek khusus seperti bulat, empat segi, kun, kubus, selinder, empat segi bujur, piramid dan sebagainya. Terdapat beberapa jenis rupa yang boleh terbentuk yakni seperti positif dan negatif, rupa dan corak, rupa dan lambang serta rupa dan muka taip.

            Pengamatan dari segi bentuk pula bersandarkan kepada konsep isipadu. Konsep isipadu ini sangat sinonim dengan rupa. Bentuk akan terasil sekiranya sifat hasil seni tersebut digambarkan dalam bentuk ton, jalinan ruang sekaligus menghasilkan  bentuk ilusi (dua dimensi) dan bentuk konkrit (tiga dimensi). Dan aspek yang terakhir pula ialah ruang. Ruang juga tidak kurang pentingnya dalam kepekaan pengamatan dalam karya seni. Ruang yang seimbang dan tersusun bakal menghasilkan karya seni yang baik. Prinsip ruang yang dirancang dengan baik akan membentuk garisan, perspektif, warna dan bentuk yang sesuai bagi sesuatu karya seni.

3.2       Kognitif

Kepentingan mempelajari corak dan rekaan dari segi kognitif sememangnya perkara yang sangat penting. Pada peringkat kanak-kanak tahap kognitif pelajar mudah diasuh dan senang meniru serta akur dengan arahan. Melalui pendekatan teori-teori seperti Teori Gestalt dan Teori Sosial-Interaksi Piaget berhubung dengan kognitif kanak-kanak menunjukkan proses dalaman minda kanak-kanak mudah memahami sesuatu objek atau material yang seterusnya mempengaruhi kapasiti mereka mempelajari sesuatu. Dalam bidang seni visual, teori gestalt bukan sahaja meliht kepada produk atau hasil kerja kanak-kanak tetapi memberikan penekanan yang tinggi ke atas proses penghasilan produk (hasil seni) itu sendiri.

Dalam seni visual, elemen ini amat penting kerana aplikasi proses mestilah betul untuk sampai kepada penghasilan hasil seni yang baik. Oleh itu, guru haruslah memberi penekanan kepada proses di dalam pengajaran dan haruslah menggalakkan para pelajar agar tidak mementingkan hasil kerja seni semata-mata. Penilaian kerja para pelajar (kanak-kanak)  juga harus dimasukkan elemen proses dan bukannya hanya menilai hasil karya yang sudah siap sahaja. Dalam konteks pengajaran, guru harus lah sedar bahawa setiap rangsangan yang diperkenalkan mungkin akan mendapat penerimaan yang berbeza daripada para pelajar.

Proses perkembangan kognitif kanak-kanak sememangnya bekembang. Sebagai seorang guru, saya sangat akur dan setuju dengan Teori Sosial-Interaksi Piaget yang mengkategorikan perkembangan kognitif kanak-kanak kepada peringkat-peringkat seperti Peringkat Deria-Pergerakan, Peringkat Pra-Olahan, Peringkat Pengolahan Konkrit dan Peringkat Pengolahan Formal.

Berkenaan dengan pendekatan konstruktivis dalam pengajaran, guru berupaya memahamkan para pelajarnya dalam menguasai kemahiran mencorak dan rekaan dengan menekankan perbezaan iaitu melatih para pelajar agar bijak membezakan jenis dan sifat maklumat yang diterima oleh mereka. Kedua, kanak-kanak sewajarnya berupaya menstrukturkan maklumat agar lebih mudah diterima dan difahami. Ketiga, guru-guru sebolehnya menyampaian pengajaran mereka secara tertib di samping disokong material pengajaran yang sesuai. Seterusnya, sifat dan bentuk ganjaran atau hukuman yang akan dikenakan sekiranya pelajar berjaya atau gagal melakukan sesuatu bakal mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat dan kondusif.

3.3       Kreativiti

Menurut Ensiklopedia Malaysiana (1996)  ‘kreativiti’ membawa maksud  kemampuan mencipta atau menghasilkan sesuatu. Dalam kes ini, kreativiti kanak-kanak akan dilihat dari segi menghasilkan hasil seni mereka.  Kebolehan murid-murid menggembangkan kemahiran mencipta, menghasilkan sesuatu yang baru berdasarkan idea yang baru dan asli amat digalakkan. (Kamus Dewan, Edisi 3, 2000)  Bagi  Mclnerney & Mclnerney (1994) melihat aspek kreativiti berkaitan dengan personaliti, ada yang memberi tumpuan kepada proses pemikiran dan juga penekanan kepada hasil usaha mereka sebagai kriteria kreativiti.  Dalam konteks kemahiran seni mencorak dan mereka,  keupayaan  mencipta perlambangan dan idea baru kepada  bentuk organisasi baru bakal memberi nafas baru kepada idea-idea mereka yang bersifat kreatif. 

Kreativiti merupakan suatu konsep yang bersifat  multi dimensi dan inter disiplin bagi semua bidang yang berkaitan dengan ilmu. Perkembangan bidang kreativiti di kalangan manusia [pelajar] kian menyerlah dewasa kini hasil penemuan dan penyelidikan yang berterusan  oleh pakar yang terlibat.  Dalam konteks seseorang individu seperti pelajar di sekolah rendah, kreativiti dalam membuat corak dan rekaan disifatkan sebagai organisasi memahami, mengetahui dan mampu mengaplikasikan daya kreativiti bagi menghasilkan sesuatu kerja projek. Menurut Mohd. Azhar (2003) literasi kreatif menekankan kefahaman individu terhadap persoalan ’know-what’ ; ’know-why’ ; dan ’know-how’ dalam konteks pengetahuan dan pengaplikasiannya. Atau paling tidak, pada tahap sederhana individu mengetahui dan faham akan konsep kreativiti serta tahu bagaimana untuk berkreativiti dalam pelbagai keadaan dan suasana. Di samping itu, Amabile (1992) menyifatkan institusi sekolah merupakan tempat paling sesuai untuk memupuk alam kreativiti di kalangan kanak-kanak, khususnya dalam konteks prasekolah. Dengan perkataan lain, usia awal kana-kanak sangat mudah menerima pelbagai bentuk pembelajaran yang berkaitan  dengan mereka.

Mempelajari corak dan rekaan adalah  salah satu  cabang Pendidikan Seni Visual (PSV) yang berkaitan  aktiviti-aktiviti  perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri. Kegiatan ini merangkumi penerokaan kesan seni dalam kehidupan  dengan alat-alat yang sesuai. Kegiatan ini berkait rapat dengan kemahiran mereka cipta hasil karya seni. Fokus kegiatan seni mereka akan memperkembangkan  persepsi visual murid dan kesedaran terhadap unsur-unsur seni seperti warna, garisan, susunan dan kesannya.

4.0      Kesimpulan

Sebagai kesimpulan dapatlah dikatakan bahawa aspek-aspek seperti kepekaan pengamatan, kognitif dan kreativiti  sememangnya penting bagi menjayakan proses membantu pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak (pelajar) di sekolah. Namun begitu, peranan guru dan pihak sekolah lainnya turut sama  penting dalam proses membantu pembelajaran pelajar.

2 comments: