Translate

Sunday 20 January 2013

Teori Pembelajaran


Teori Behaviouris

            Teori Behaviouris dipelopori oleh Bloomfeild, Edward Sapir, Fries, Boas dan Brooks dan ahli psikologinya pula ialah Skinner, Pavlov, Hull dan Thorndike.Menurut golongan ini, bahasa boleh dikuasai melalui proses pengulangan. Oleh itu, dalam proses pengajaran bahasa, perlulah memberi penekanan terhadap memberi latihan dan pengulangan yang banyak. Menurut golongan ini juga, pengukuhan, pemerhatian, sifat-sifat ingin tahu dan aktiviti meniru adalah menjadi faktor utama dalam pembelajaran bahasa.(Kamarudin bin Hj. Hussin, Pedagogi Bahasa, 1988:12)
            Dalam aspek pengajaran bahasa, aspek pengukuhan ini amat penting. Penggunaan pengukuhan ini membolehkan ilmu yang diperolehi oleh murid mudah diingati dan mengukuhkan kemahiran berbahasanya. Misalnya, aktiviti mengenalkan huruf harus diberi dalam bentuk latihan supaya murid tersebut akan sentiasa mengingati huruf tersebut.
            Teori ini juga menyatakan bahawa faktor persekitaran murid adalah penting untuk merangsang proses pengajaran dan pembelajaran bahasa yang berkesan iatiu termasuklah perlakuan guru, rakan sebaya dan suasana bilik darjah. Teori ini berasaskan kepada teori pelaziman klasik, iaitu kanak-kanak mempelajari bahasa menerusi hukuman dan ganjaran. Ini penting bagi mengekalkan tingkahlaku pembelajaran murid  yang diingini dan mengurangkan tingkahlaku pembelajaran yang tidak diingini. Misalnya Cikgu Zainab memanggil nama dan memberi pujian kepada murid yang dapat menjawab dengan betul.

Teori Mentalis
            Teori ini dipelopori oleh Chomsky. Teori ini menumpukan kepada penguasaan bahasa dengan proses berfikir berbanding dengan perlakuan
kanak-kanak. Perkembangan bahasa kanak-kanak pula mengikut tahap umur mereka. Oleh itu, dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa bahan dan strategi yang digunakan perlulah mengikut tahap perkembangan kanak-kanak supaya penguasaan bahasa dpat dicapai dengan mudah.  Teori ini mementingkan tulisan dan bacaan dalam pembelajaran bahasa.  Selain itu, tatabahasa akan diajar secara formal melalui kaedah deduktif. Menurut golongan ini juga, rumus-rumus fonologi kanak-kanak tidak terbentuk melalui proses peniruan atau latih tubi, tetapi melibatkan peranan alat pemerolehan bahasa yang sememangnya sudah sedia wujud dalam minda sejak kanak-kanak itu dilahirkan ke dunia.

Teori Konstruktivisme 

            Menurut teori ini,pembelajaran bahasa diperolehi oleh murid semasa berinteraksi dalam bilik darjah sama ada dengan rakan sebaya atau guru. Selain itu, teori ini juga menerangkan tentang perlunya pengelibatan murid secara aktif dalam memahami dan memberi makan kepada maklumat atau pengetahuan yang dipelajari.  Penglibatan aktif murid dalam  aktiviti yang dilaksanakan dapat membantu mempercepatkan kebolehan membaca mereka. Oleh itu dalam proses pengajaran dan pembelajaran beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan semasa mengaplikasikan teori ini iaitu;
            i). Berikan peluang  kepada murid mengemukakan pandangan tentang
                sesuatu konsep.
            ii). Berikan peluang kepada murid berkongsi persepsi antara satu sama
                lain.
           iii). Pengajaran perlu berpusat kepada murid.
           iv). Berikan peluang murid berinteraksi dengan guru dan juga rakan .
           v). Galakkan murid bekerja dalam kumpulan.

            Berdasarkan kepada ketiga-tiga teori tersebut, terdapat beberapa kebaikannya iaitu:
a). Teori behaviouris memberi penekanan tentang pentingnya proses  pengulangan dan latihan secara latih-tubi. Kedua-dua proses ini membolehkan perkembangan dan pengekalan penguasaan bahasa yang dipelajari oleh kanak-kanak tersebut. Oleh itu, dalam proses pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru haruslah membuat pengulangan terhadap bacaan murid supaya kemahiran membaca mereka dapat dikuasai dengan secepat mungkin. Latih-tubi juga  perlu dilakukan, misalnya menyebut bunyi sesuatu huruf dengan kerap sehinggalah murid tersebut mengenal pasti bunyinya. Menurut Thorndike, perkaitan rangsangan dan gerakbalas akan bertambah kukuh melalui latihan yang diulang-ulang. Ini bermakna seseorang murid akan menguasai kemahirannya jika latihan diadakan.

b).        Selain itu, penggunaan ganjaran dan peneguhan juga memberi manfaat kepada murid yang menerimanya. Menurut Hukum Kesan yang dikemukakan oleh Thorndike, jika sesuatu tindakan diikuti oleh sesuatu perubahan persekitaran yang menyeronokkan, kebarangkalian tindakan tersebut akan meningkat atau sebaliknya. Oleh itu, berdasarkan hukum tersebut,untuk mengekalkan sesuatu tingkahlaku yang baik, perlulah seseorang murid diberi peneguhan atau ganjaran. Dalam proses pembelajaran bahasa, ganjaran ini membolehkan atau mendorong seseorang murid untuk bertutur. Ini dapat membantunya meningkatkan dan mempercepatkan penguasaan kemahiran bacaan.

c).        Di samping itu, berdasarkan teori mentalis, pembelajaran bahasa, pengetahuan seseorang murid itu sangat penting kerana pengetahuan tersebut memudahkan pembelajaran bahasa. Oleh hal demikian, contoh dan perkataan yang digunakan oleh guru dapat disediakan mengikut pengalaman sedia ada atau persekitaran murid tersebut. Selain itu, penyediaan bahan atau perancangan strategi yang digunakan juga dapat ditentukan berdasarkan tahap umur mereka.

d).        Menurut teori mentalis juga, kesalahan murid dalam sesuatu penguasaan bahasa bukanlah merupakan kegagalan mereka semata-mata tetapi ia merupakan satu percubaan hipotesis. Ini bermakna murid tersebut berpeluang memperbaiki kelemahannya, misalnya jika seseorang murid itu tidak dapat membaca maka dia berpeluang untuk meningkatkan kemahiran membacanya.
            Berdasarkan teori konstruktivisme pula, melalui penekanan kepada aktiviti dalam kumpulan maka murid tersebut berpeluang untuk berinteraksi dengan
rakan sebayanya. Dia juga berpeluang berkongsi idea atau pendapat. Ini akan membolehkan murid tersebut untuk mengembangkan kebolehan berbahasanya dengan cepat dan dapat meningkatkan keyakinannya untuk menguasai kemahiran membaca seperti murid yang lain.

e).        Selain itu, pendekatan teori konstruktivisme ini juga membolehkan seseorang murid itu mengamalkan sikap hormat-menghormati.Ini kerana aktiviti yang dijalankan berpusat kepada murid memberi peluang kepada mereka untuk memberi pendapat masing-masing dan seterusnya membina keyakinan kepada murid yang lemah untuk meningkatkan kemahiran mereka terutamanya dalam menguasai kemahiran membaca. Di samping itu, seseorang murid yang lemah tersebut berpeluang belajar melalui rakan sebayanya yang  kemungkinan memudahkannya menguasai kemahiran membaca tersebut.

No comments:

Post a Comment