Translate

Tuesday 15 January 2013

Pendidikan Moral : Fungsi dan kepentingannya


Pengenalan

Pendidikan Moral memainkan peranan penting dalam merealisasikan matlamat pendidikan dan sebagai wardah untuk mencapai hasrat negara. Mata pelajaran ini merupakan satu subjek yang penting di sekolah dalam melahirkan generasi yang berilmu, berdisiplin dan berwawasan. Tambahan pula, dalam usaha melahirkan insan yang bermoral, peranan Guru Pendidikan Moral memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan pelajarannya dengan berkesan dan menjadi contoh (role model) kepada para pelajarnya. Dalam penghidupan (sosialisasi), seseorang individu perlu melalui berbagai proses perkembangan sehingga mencapai kematangan. Salah satu proses yang dialami ialah proses perkembangan moral. Antara lain, proses sosialisasi pelajar akan mempengaruhi pemikiran, emosi dan tingkah laku di mana akan memberi perubahan besar dalam kehidupan mereka.

Sosialisasi berlaku secara sedar atau tidak sedar. Walaupun pelajar diajar secara langsung (delibrate) cara-cara tingkah laku, sikap-sikap dan nilai-nilai yang baik di rumah dan di sekolah, tingkah laku, sikap dan nilai kumpulan dalam masyarakat yang lain secara tidak langsung juga akan dipelajari oleh pelajar hasil daripada tingkah laku atau perbuatan-perbuatan orang-orang dewasa di sekitarnya. Ramai ahli sosiologi berpendapat bahawa kita tidak dilahirkan sebagai manusia, tetapi kita menjadi manusia melalui proses interaksi atau sosialisasi. Sosialisasi mengubah organisme bilogikal kepada insan sosial. Melalui sosialisasilah seseorang belajar isi kandung kebudayaannya. Melalui sosialisasilah kebudayaan manusia dapat dipindahkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.

Justeru, kepentingan proses sosialisasi pelajar di sekolah terutama dalam mempengaruhi pemikiran, emosi dan tingkah laku mereka memang tidak dinafikan lagi. Oleh sebab itu, mengikut sukatan pelajaran Pendidikan Moral (Pusat Perkembangan Kurikulum 1988), penaakulan moral merupakan hasil yang penting dalam pengajaran Pendidikan Moral.

Agen Perubahan Sosialisasi Individu

Dalam proses sosialisasi pelajar terdapat lima agen utama yang turut membawa perubahan dalam diri mereka, yakni keluarga, rakan sebaya, sekolah (institusi), agama dan media massa.

Seringkali ditimbulkan bahawa faktor keluarga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kejayaan anak-anak dalam pelajaran. Ibu bpa yang sentiasa memberi galakkan dan perangsang sehingga menimbulkan minat, semangat ketekunan dan keyakinan diri dalam menghadai pelajaran. Ibu bapa juga berupaya membentuk pola-pola tingkah laku pelajar. Faktor-faktor seperti dorongan dan galakkan, disiplin di rumah, hubungan mesra antara ibu bapa dan anak serta keluarga yang utuh memberi kesan ke atas pembentukan personaliti, motivasi dan pencapaian akademik anak-anak yang masih bergelar pelajar. Ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan dan bantuan dikaitkan dengan kejayaan yang tinggi. Di samping itu, ibu bapa juga dikaitkan sebagai satu faktor persekitaran yang banyak mempengaruhi pembentukan dan perkembangan sosialisasi khususnya yang berkaitan dengan personaliti dan sahsiah mereka. Tak syak lagi pepatah Melayu mengatakan, “jikalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sehubungan dengan itu Mohd. Azhar et.al, (2001)  menyatakan bahawa ketika kecil dan dalam keluarga pendidikan asas serta pembentukan keperibadian itu mesti diberikan dasar yang jelas dan kukuh.

Pada diri remaja, pengaruh dalam lingkungan perilaku diakui cukup kuat. Walaupun remaja telah mencapai tahap perkembangan kognitif yang memadai untuk menentkan tindakannya sendiri, namun penentuan diri remaja dalam berperilaku banyak dipengaruhi oleh tekanan dari kelompok teman sebaya (Conger, 1991). Kelompok teman sebaya juga diakui dapat mempengaruhi pertimbangan dan keputusan seseorang remaja tentang perilakunya (Conger, 1991). Rakan sebaya dilihat mempunyai nilai-nilai tersendiri dan mempunyai pengaruh yang ketara. Raka sebaya di sekolah dapat mempengarui disiplin seseorang remaja. Sekiranya nilai-nilai rakan sebaya tidak mementingkan ketekunan, tanggungjawab, kerjasama, menepati masa, menghormati guru dan mematuhi peraturan, begitulah juga sikap pelajar berkenaan. Sebaliknya sifat-sifat sosial positif rakan sebaya akan menghasilkan seseorang ndividu yang amat menekankan nilai moral dalam satu-satu masyarakat seperti sifat-sifat kepimpinan, bertimbang rasa dan bekerjasama. Rakan sebaya juga memainkan peranan penting bagi membentk konsep diri, sikap dan pandangan seseorang pada dirinya sendiri sama ada dirinya dihargai ataupun sebaliknya di sisi masyarakat. Contohnya, cara berpakaian, hobi, aktiviti-aktiviti sosial, jenis permainan, kumpulan belajar dan sebagainya.

Di samping itu, pelajar menghabiskan hampir seluruh masanya di sekolah. Pengaruh sekolah (institusi) adalah kedua pentingnya berbanding dengan pengaruh keluarga. Apabila kanak-kanak bersekolah, interaksinya dengan masyarakat menjadi bertambah luas. Di sekolah kanak-kanak bukan sahaja belajar sosialisasi secara formal yang ditentukan oleh kurikulum sekolah tetapi ia juga melalui kurikulum tersembunyi dengan cara menyesuaikan diri dalam suasana baru sekolah seperti beratur mengikut giliran, mengikut peraturan, bekerjasama dengan orang lain dan bersaing dalam aktiviti-aktiviti sekolah. Organisasi dan struktur belajar di sekolah seperti pengagihan pelajar mengikut pencapaian, pihak berkuasa yang menekankan peperiksaan, bentuk, strutur ganjaran dan hukuman, sikap dan harapan guru, kesemuanya menggalakkan perubahan dalam proses sosialisasi mereka. Jenis kepimpinan dan suasana sekolah turut mempengaruhi perkembangan personaliti pelajar. Sebagai contoh, pengetua atau Guru Besar yang tegas melaksanakan disipln pasti menegaskan kepada remaja, keadaan disiplin adalah penting bagi menjamin kejayaan perlaksanaan sesuatu tugasan sebaliknya pengetua atau Guru Besar yang tidak tegas menghasilkan kesan yang negatif pula (Rosiadi et.al, 2008).
Agama di dapati mempunyai hubungan dengan perlakuan moral. Ramai berpendapat agama adalah penting untuk mencapai perlakuan moral yang baik. Adalah didapati pelajar yang menghadiri kelas-kelas agama lebih jujur daripada pelajar yang tidak menghadiri kelas agama. Ramai berpendapat pelajar-pelajar menggunakan ajaran agama sebagai petunjuk dalam proses perkembangan moral mereka. Walau bagaimanapun, terdapat juga kes-kes di mana orang-orang yang percayakan agama tidak menggunakan prinsip-prinsip moral yang tinggi dalam perlakuan mereka seharian. Ini kerana tidak ada keimanan di dalam diri mereka. Sekiranya pelajar-pelajar ini diberi didikan agama yang kuat dan berpegang kepada keimanan nescaya mereka tidak akan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan moral manusia malahan agama itulah yang akan membentuk jiwa, moral dan akhlaknya kerana di dalam agama itu ada cara dan kaedah untuk membentuk akhlak-akhlak yang baik dan berjiwa luhur kepada tuhan seperti yang terkandung di dalam agama Islam. Keadaan ini sekaligus membentuk proses sosialsasi dalam diri individu serta membawa perubahan besar dalam hidup mereka.
Ada pendapat yang mengatakan media massa mempunyai pengaruh sosialisasi sama kuatnya seperti pengaruh rakan sebaya dan sekolah. Media massa yang merangkumi surat khabar, majalah, radio dan terutama televisyen boleh meninggalkan kesan yang negatif dan positif ke atas sosialisasi seseorang. Pengaruh baik atau buruk yang diterima oleh pelajar-pelajar melalui media massa bergantung kepada apakah bahan atau unsur yang didedahkan kepada mereka. Rancangan-rancangan televisyen mempunyai tema yang berbagai. Tema yang baik seperti cerita di mana orang yang baik selalu mendapat kejayaan dan sebaliknya orang jahat menerima hukuman atau balasan dapat membantu perkembangan pertimbangan moral pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar patut digalakkan untuk menonton rancangan sedemikian. Sebagai ibu bapa dan guru yang bertanggung jawab adalah menjadi tanggung jawab mereka untuk mendidik pelajar-pelajar supaya mereka tahu memilih apakah rancangan televisyen dan bahan-bahan bacaan yang baik dan sesuai untuk mereka.

Peranan Guru Pendidikan Moral

Menurut Kamus Dewan (1970) ‘guru’ bererti pendidik, pengajar dan pengasuh. Daripada pengertian di atas, jelas menunjukkan guru merupakan insan yang berkecimpung dalam arena perguruan yang dikaitkan sebagai suatu bidang mengajar atau melaksanakan dalam konteks institusi pendidikan dalam usaha menyampaikan ilmu kepada anak murid atau masyarakat. Dalam kerengka tugas sebagai Guru Pendidikan Moral yang berwibawa, khususnya dalam meningkatkan perkembangan moral kognitif remaja (pelajar) ke arah melahirkan generasi yang bertanggungjawab dan berwawasan, seseoang Guru Pendidikan Moral harus sedar bahawa pelajar yang datang ke sekolah telah mempelajari serba sedikit persoalan moral di rumah daripada keluarga dan masyarakat.

Keadaan ini bermakna, para pelajar harus diberi harapan dan kepercayaan agar tabiat tentang moral yang dipelajari bakal melahirkan pengetahuan moral mereka sekaligus perkembangan moral kognitif terus subur. Dengan cara ini kita dapat memupuk nilai-nilai dan prinsip hidup golongan remaja agar menjadi remaja yang berilmu serta berdisiplin. Kenyataan ini dapat disokong oleh pendapat Yahya Buntat at.el, (2003)  di mana Guru Pendidikan Moral bukan sahaja berkemahiran mengajar dan mengembangkan ilmu, malah sikap, tingkah laku dan disiplin diri harus di bentuk ke arah profesionalisme.

Dalam mengajar mata pelajaran Pendidikan Moral,Pendekatan Perkembangan Moral Kognitif adalah berasaskan kepada teori perkembangan moral Kohlberg (1962) yang memberi fokus kepada merangsang perkembangan moral para remaja (pelajar). Pedekatan ini banyak membantu membina kebolehan menaakul golongan remaja di peringkat yang lebih tinggi. Bailey (1979) dalam (Chang Lee Hoon, 2005) turut menyatakan bahawa perkembangan moral pada peringkat ini lebih tertumpu kepada perkembangan karaktor moral, sikap terhadap peraturan moral dan membuat pertimbangan moral. Di samping itu juga, istilah ‘perkembangan’ memberi satu gambaran yang menunjukkan satu perubahan yang progresif ke tahap yang lebih kompleks yang tidak boleh diterbalikkan, maka perkembangan moral membayangkan andaian mengenai apakah yang dianggap matang dari segi moral (Downey & Kelly (1978) dalam Chang Lee Hoon (2005).

Terdapat beberapa perspektif atau teori perkembangan moral yang membawa implikasi terhadap pendidikan moral, khususnya dalam kebanyakan gejala sosial yang berlaku kini. Penaakulan moral yang matang adalah penting kerana pemikiran yang rasional memudahkan pembelajaran dan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan remaja (Loganathan, 1995). Stoll & Beller dalam Loganathan (1995) turut  melaporkan bahawa sekolah-sekolah kini sedar bahawa sesuatu harus dilakukan untuk mengajar nilai-nilai murni dan yang lebih penting lagi adalah mengajar pelajar cara menaakul tentang sesuatu nilai. Namun, Wilson (1973) memang telah menjelaskan bahawa penaakulan moral merupakan suatu kemahiran yang boleh diajar dan dipelajari.

Guru Pendidikan Moral juga harus sedar bahawa di sekolah sendiri merupakan sumber pembelajaran moral secara tidak langsung. Suasana sosial di sekolah, cara sekolah itu ditadbir dan bagaimana guru-guru bertingkah laku akan memberikan pengaruh secara tidak lanagsung kepada pembelajaran moral para pelajar di sekolah. T. Mariuthu (1980) dalam Rosiadi (2008) menjelaskan bahawa remaja menghabiskan hampir seluruh masanya di sekolah. Pengaruh sekolah adalah kedua pentingnya berbanding dengan keluarga. Organisasi dan struktur belajar di sekoah seperti pengagihan pelajar mengikut pencapaian, pihak berkuasa yang menekankan peperiksan, bentuk, struktur ganjaran dan hukuman, sikap dan harapan guru, kesemuanya menggalakkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar yang lemah dari segi akademik.

Keadaan ini sudah tentu berbeza jika pelajar yang belajar di sekolah yang ternama dan tinggi penghayatan moralnya sudah tentu lebih beruntung dan mudah proses pemupukan nilai dilakukan berbanding dengan sekolah yang sebaliknya. Dengan cara ini, Guru Pendidikan Moral di sekolah terbabit berperanan mengembangkan moral kognitif pelajar yang bermasalah. Menyentuh pernanan guru dalam menangani masalah vandalisme di sekolah, ia perlu dilihat dari sudut sikap guru itu di mana beliau hampir dengan pelajar selepas ibu bapa (Abdullah, 2005). Sudah tentu usaha ini akan memberi kesan kepada masalah pelajar kerana tanggungjawab mendisiplinkan pelajar terlelak di bahu guru di sekolah.

Selaras dengan kepentingan Perkembangan Moral mengikut skema Kohlberg (1975) mengatakan bahawa penaakulan moral bukan sahaja merupakan salah satu faktor yang menggerakkan tingkah laku moral tetapi penaakulan moral juga adalah faktor paling penting yang pernah dikaji dan terbukti dapat menggerakkan tingkah laku moral.  Kohlberg membicarakan bahawa bagaimana individu boleh bertingkah laku moral jika dia tidak faham dan tidak berfikir tenang sebab kenapa dia patut bertingkah laku sebegini. Justeru, Guru Pendidikan Moral harus bersedia mengajar nilai-nilai moral sekaligus memperkembangkan pengetahuan moral pelajar agar mencapai matlamat untuk melahirkan individu yang bermoral tinggi. Tambahan Loganathan (1995) penaakulan moral yang matang adalah penting kerana pemikiran yang rasional memudahkan pembelajaran dan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan remaja di sekolah.

Selain itu, Guru Pendidikan Moral haruslah bertanggungjawab menyalurkan objektif-objektif seiring dengan penerapan nilai-nilai murni Pendidikan Moral dalam kalangan pelajar. Di bawah rancangan KBSR dan KBSM, nilai-nilai murni diterapkan bukan sahaja dalam mata pelajaran Pendidikan Moral tetapi juga dalam semua mata pelajaran yang lain.[1] Selaras dengan Falsafah Pedidikan Kebangsaan, KBSR dan KBSM digubal berdasarkan kepada prinsip kesepaduan unsur-unsur yang membolehkan potensi individu berkembang secara menyeluru dan seimbang. Justeru itu, bagi mencapai matlamat Pendidikan Kebangsaan, pelajar-pelajar sekolah akan diberi peluang menghayati nilai-nilai murni serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka. Keadaan ini sejajar dengan perkembang moral kognitif pelajar berkenaan dengan ‘pertimbangan moral’ (moral judgement) Kohlberg (1987) dalam Chang Lee Hoon (2005) yang mengklasifikasikan terdapatnya tiga ciri pertimbangan moral bagi golongan pelajar iaitu (i) pertimbangan tentang nilai bukan fakta (ii) pertimbangan sosial yang melibatkan pertimbangan tentang manusia dan (iii) pertimbangan normatif atau preskriptif, pertimbangan tentang patut, hak dan tanggungjawab dan bukan pertimbangan nilai tentang kecenderungan sendiri.

            Sejajar dengan tanggungjawab besar para guru seperti yang terkandung dalam Etika Profesion Perguruan (EPP), Guru Pendidikan Moral juga tidak lepas daripada tanggungjawab ini. Ikrar dalam EPP, ‘.... dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan’ (Yahya Buntat, et.al, 2003). Dengan menjalankan tugas penuh dedikasi sebagai seorang pendidik, adalah diharapkan bahawa matlamat pendidikan kebangsaan dapat dicapai bagi menghasilkan pelajar-pelajar yang bertanggungjawab dan mempunyai akhlak yang bermoal tinggi serta mulia. Adalah diharapkan juga para pelajar menolak sikap devian mereka agar tidak terlibat dalaam gejala vandalisme di tempat awam ataupun sekolah.

Antara lain, kekuatan moral bakal melahirkan masyarakat “berminda kelas pertama” adalah masyarakat yang berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral. Masyarakat tersebut juga tahu menghayati dan menghargai budaya, kesenian dan warisan serta sejarah negara, bangsa dan agamanya. Identiti nasionalnya kekal terserlah melalui pembinaan jati diri yang kukuh dan tidak mudah dihanyutkan oleh arus globalisasi. Prinsip-prinsip kepercayaan kepada Tuhan dan kesetiaan kepada Raja dan negara senantiasa dijunjung. Semangat Islam Hadhari yang menekankan kepada pegangan prinsip-prinsip berasaskan nilai-nilai universal yang luhur, akan diterapkan.

            Menyentuh tentang konsep ‘Guru Pendidikan Moral dan Aspirasi Negara’ di mana telah meletakkan satu tanggungjawab penting kepada semua guru. Selain Kod Etika Profesion Perguruan (EPP), aspirasi negara disandarkan kepada tanggungjawab untuk membangunkan negara. Guru berkenaan harus menjadi teladan (role model) dalam mempraktikkan prinsip yang positif di samping menyebarkan mesej yang diingini kepada para pelajar. Dalam isu ini, mesej untuk menolak sebarang perbuatan yang bercanggah dengan norma masyarakat dan undang-undang negara wajar ditonjolkan  dalam kalangan pelajar melalui penggemblengan usaha bersama agar imej institusi pendidikan dapat dipelihara sepenuhnya sekaligus membentuk generasi Malaysia yang bertanggungjawab dan berwawasan.


Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran Penyelesaian Konflik


Proses perkembangan bangsa dan proses kemajuan negara berkaitan secara langsung dengan sistem pendidikan. Pendidikan bermutu bakal melahirkan generasi yang sedar dan insaf dengan erti hidup dan tanggungjawab. Mereka berusaha memperkembangkan potensi masing-masing bagi mencapai kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, pendidikan berfungsi sebagai alat untuk memenuhi kepeluan-keperluan negara dalam pelbagai aspek sama ada politik, ekonomi dan sosial.

            Dalam membincangkan proses pendidikan, kita harus memberi fokus akan kepentingan aspek pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan engeluaran idea yang kreatif dalam kalangan pelajar. Pengajaran dan pembelajaran melibatkan kemahiran yang pelbagai serta mengintegrasikan unsur-unsur lain[2] supaya menjadi lebih berkesan dan kreatif. Antaranya ialah kaedah penyelesian koflik. Di samping itu, peranan guru yang kreatif dan inovatif[3] amat penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mereka adalah efektif. Menurut Abd. Rahim (1999) daya kreativiti yang tinggi membolehkan sesuatu kaedah  atau metod pengajaran mencorakkan  perkembangan minda, emosi, sikap dan nilai para pelajar. Manakala inovatif pula ialah kebolehan seseorang guru memulakan sesuatu yang baru dalam bentuk kaedah, sistem pendekatan dan sebagainya.

            Justeru, guru adalah pemangkin kepada para pelajar membina daya pemikiran yang analitikal, kritis dan kreatif bagi menghadapi perubahan-perubahan semasa. Ungkapan di bawah menggambarkan betapa pentingnya peranan guru sebagai penyalur ilmu dan kemahiran kepada para pelajarnya.

“As teachers we must believe in change, we must know it is possible, or we wouldn’t be teaching – because education is a constant prosess of change. Every single time you  “teach” something to someone, it is ingested, something is done with it, and new human being emerges”
(Leo Buscaglia & Boon Pong Ying dalam Mok Soon Sang, 2002 )

            Pengajaran dan pembelajaran adalah proses   yang berterusan dan tidak statik selari dengan perubahan-perubahan di sekeliling kita. Dalam era teknologi moden kini, perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran menuntut profesionalisme guru mendalami inovasi dalam pedagogi bagi memperbaiki serta memperkukuhkan kapasiti sebagai seorang pendidik. Bagi mengoptimumkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam menjana idea kreatif  para pelajar, guru boleh menggunakan kaedah penyelesaian konflik.

            Penyelesaian konflik dalam bentuk sumbang saran (brainstorming) adalah satu bentuk perbincangan yang membolehkan satu kumpulan mengeluarkan sebanyak mungkin idea secara spontan dan berkelompok. Setiap idea perlu diterima untuk dikaji sama ada sesuai dengan tajuk perbincangan atau tidak. Jangan mengkritik idea-idea pada peringkat awal kerana akan menghalang kelahiran idea-idea baru. Pada akhir sesi idea-idea yang sesuai akan diasingkan dengan idea yang tidak sesuai untuk dibuat rumusan. Rumusan itulah menjadi hasil sesi sumbang saran.

Betapa banyaknya permasalahan moral yang boleh dibincangkan oleh murid kita. Mereka mampu berbincang, mencari punca masalah, kenapa dan mengapa masalah itu terjadi. Mereka berbincang tentang kesan atau akibatnya. Mereka juga mampu untuk menyarankan cara-cara penyelesaiannya. Tetapi bagaimanakah dengan penghayatan dan tindakan mereka? Adakah mereka menghayati apa-apa yang mereka bincangkan dan bertindak sebagaimana  yang mereka persetujui dalam perbincangan? Contoh isu-isu yang boleh dibincangkan ialah gejala melepak, lumba haram, menonton televisyen yang keterlaluan, membuang masa yang berharga dan sebagainya. Berikut merupakan model pengurusan grafik bagi teknik perbincangan (sumbang saran) yang berkaitan dengan kaedah penyelesaian konfik.


Rumusan

Sebagai rumusan dapatlah dikatakan bahawa Guru Pendidikan Moral memainkan peranan amat penting dalam menjadi teladan (role model) kepada pelajar di sekolah melalui beberapa kriteria nilai keperibadian yang ditunjukkan. Tugas untuk menjadi guru contoh di sekolah bukanlah mudah ianya memerlukan sokongan padu daripada pihak pentadbir, guru lain, pelajar dan masyarakat secara keseluruhannya. Namun dalam proses membentuk sosialisasi pelajar terdapat lima agen utama yang turut membawa perubahan dalam diri mereka, yakni keluarga, rakan sebaya, sekolah (institusi), agama dan media massa.

Di atas kepentingan tugas Guru Pendidikan Moral adalah bertepatan dengan visi dan misi Kementerian Pelajaran Malaysia bagi melahiran insan pelajar yang seimbang dalam semua aspek kehidupan mereka. Justeru, dalam melahirkan insan pelajar yang kreatif dan inovatif dalam pembelajaran mereka sudah tentu memerlukan tanggungjawab, kaedah, teknik, strategi dan pendekatan proses pengajaran serta pembelajaran yang baik dan berkesan. Oleh yang demikian, kaedah penyelesaian konflik (perbincangan / sumbang saran) merupakan idea yang kreatif dalam menggalakkan pelajar yang aktif dan proaktif dalam pembelajaran mereka, khususnya dalam mata pelajaran Pendidikan Moral.



[1] Nilai-nilai murni ‘merentasi’ kuriklum di sekolah.
[2] umpamanya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan (pembinaan perisian pengajaran dan pembelajaran berbentuk Komputer (PPBK).
[3] Sesuatu perubahan atau pembangunan dari segi idea, alatan atau latihan berbanding dengan keadaan sebelumnya (Bieimans, 1992).

2 comments: